Tuesday 19 July 2011

Teknik pembenihan EM Palet ikan

Umpama berada di sekolah. Itulah yang dirasakan penulis ketika melawat tapak penternakan ikan keli milik sebuah syarikat penternakan ikan air tawar, JMI Resources Sdn Bhd.

Mana tidaknya, di sana, penulis berpeluang belajar langkah demi langkah serta mencuba sendiri teknik penternakan, penjagaan, pembenihan serta cara-cara membuat makanan ikan keli.

Tapak tersebut terletak di Kampung Setia, Kuang, Sungai Buloh, diuruskan oleh Muhammad Zahied Muhammad Ariff dengan dibantu lima pekerjanya.

Dengan keluasan 0.2 hektar, terdapat lapan kolam kanvas bersaiz 15 meter(m) x 8m untuk ikan yang berusia tiga hingga empat bulan, 10 kolam kanvas pembenihan (4m x 15m) dan enam kanvas bagi rega (aruhan awal).

Muhammad Zahied berkata, kawasannya itu memang sering kali dianggap sebagai ‘sekolah’ terutama pesertanya yang mengambil kursus penternakan ikan keli melalui syarikatnya itu.

“JMI Resoucers Sdn Bhd menawarkan kursus penternakan ikan keli yang dijalankan sebulan sekali dengan bayaran sebanyak RM265.

“Kursus ini meliputi teknik pembenihan, penggredan, penjagaan, cara-cara membuat makanan ikan, timbangan ikan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui InfoAgro di lokasi ternakan ikan kelinya, di Kampung Setia, Kuang, Sungai Buloh, baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam setiap kursus yang diajar, peserta digalakkan untuk mencuba sendiri bagi mengetahui dan memahami selok-belok ‘pelajaran’ tersebut dengan lebih tepat.

“Harapan kami pada setiap peserta yang menghadiri kursus ini agar tidak berputus asa bak kata pepatah ‘Di mana ada kemahuan di situ ada jalan’,” katanya.


Teknik pembenihan


Dalam pada itu, sepanjang berada di sekolah, antara ‘silibus pelajaran’ paling menarik perhatian penulis adalah teknik pembenihan.

Muhammad Zahied berkata, permintaan terhadap benih ikan keli meningkat berkali-kali ganda namun pada masa ini, tahap pengeluarannya tidak dapat menampung permintaan yang begitu tinggi.

“Anak benih keli yang bermutu tinggi sentiasa mendapat permintaan di luar jangkaan. Bayangkan, harga bagi seekor anak benih keli bersaiz tiga inci boleh mencecah 16 sen mengikut harga pasaran,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya menghasilkan benih ikan keli menggunakan teknik aruhan.

“Teknik aruhan merujuk kepada suntikan hormon kepada induk keli di mana telur yang diperah daripada induk betina dan sperma yang dibedah dari induk jantan akan disenyawakan untuk mendapatkan benih maksimum dan persenyawaan menjadi lebih sekata,” katanya.

Menurutnya, setiap kali pembenihan dijalankan, tiga ekor ikan keli jantan dan seekor ikan keli betina diperlukan ditambah dengan suntikan dos hormon sebanyak 0.07 mililiter (ml).

“Selepas suntikan hormon, ikan keli tersebut akan ‘dibiarkan’ selama 10 jam bagi memastikan hormon terbabit sebati dan dapat menghasilkan telur dan sperma yang berkualiti.

“Perlu diingatkan, semasa teknik aruhan dijalankan, suasana sekeliling perlu berada dalam keadaan tertutup dan tidak berangin agar sperma yang dihasilkan tidak kering,” katanya.

Katanya, selepas mengeluarkan telur dan sperma, keduanya perlu dicampur dan dikacau secara sekata dengan menggunakan bulu ayam.

“Kami menggunakan bulu ayam kerana sifat bulu tersebut yang halus dan ini tidak akan merosakkan telur-telur tersebut,” katanya.

Menurutnya, oleh sebab permintaan tinggi, pihaknya mempunyai lebih 300 kolam kanvas bersaiz 4m x 6 m yang dijadikan sebagai kolam pembenihan terletak di Segambut. (Sinar Harian)

No comments:

Post a Comment