Thursday 18 August 2011

Krisis AS & Eropah, tidak jejas bank lokal, - Maybank

KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Sektor perbankan Malaysia tidak dan tidak akan terjejas oleh krisis kewangan dan hutang yang berlarutan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata sektor itu amat berdaya tahan; krisis itu mungkin menjejaskan sedikit sektor lain, tetapi tidak segmen perbankan.

Abdul Wahid (gambar) berkata tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan sebarang gangguan dalam operasi domestik dan antarabangsa Maybank.

“Kebanyakan daripada pendedahan bank-bank Malaysia ialah di dalam negara dan rantau Asean, sekali gus menjadikan pendedahan ke arah Eropah dan AS amat minimum,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata 90 peratus daripada pendedahan Maybank adalah melalui kegiatannya di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Mengenai operasi Maybank di New York, Abdul Wahid berkata setakat ini cawangan itu mempunyai tahap kecairan yang positif.

Bagaimanapun Wahid enggan mengulas tentang soalan ‘cepumas’ — perkembangan terbaru dalam rundingan antara Maybank dengan RHB Capital Bhd mengenai kemungkinan kedua-dua institusi perbankan itu digabungkan.

Pada 31 Mei, Bank Negara Malaysia memberikan kelulusan kepada Maybank dan CIMB Group Holdings Bhd untuk memulakan rundingan, sah selama tiga bulan dari tarikh tersebut.

Selepas rundingan peringkat awal, kedua-dua Maybank dan CIMB dilaporkan membatalkan hasrat itu pada Jun dengan alasan kedua-duanya tidak dapat melaksanakan gabungan yang boleh mewujudkan nilai, berdasarkan beberapa perbincangan dan penilaian mengenai jangkaan dan harapan pemilik kepentingan.

Bagaimanapun, kebelakangan ini terdapat laporan-laporan yang mengatakan Maybank telah menyambung semula rundingan dengan RHB. Jika rundingan ini berjaya, akan wujud institusi kewangan terbesar di Asia Tenggara.

Maybank adalah bank terbesar di negara ini berdasarkan aset. (The Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment