Sunday 28 August 2011

Bagaimana Ekonomi Berteraskan Aqidah?

CATATAN SANTAI IH: Kuliah Eko IH (siri 1)

MAAF anak muda! Saya cuba jawab dalam bentuk santai dan bahasa yang mudah. Persoalan tuan mengenai ekonomi berteraskan Islam atau bertreaskan aqidah?

(Soalan: Che said... Salam.. boleh tuan terangkan secara detail tak bagaimana ekonomi berteraskan Islam....setakat yang saya tahu ianya bebas riba dan gharar.. saya ingin tahu lebih lanjut lagi dari segi mata wang dinar/dirham dan dari segi bagaimana keuntungan diperolehi.. terima kasih.. 23 August 2011)

Mengenai segi mata wang dinar/dirham dan dari segi bagaimana keuntungan diperolehi.. sila lihat E-Buku IH-2: Wang Syariah: Tugas Kita Belum Selesai.
E-Buku IH-2: Wang Syariah: Tugas Kita Belum Selesai.

Kini sudah semua orang tahu Islam itu agama langit (samawi) 'way of life (nizamul hayat)' meliputi seluruh hidup, roh dan jasad, aqidah,
politik, ekonomi serta kemasyarakatan. Bermula dengan negara Madinah Al-Munawwarah, termasuk bidang ekonomi, Rasul SAW mengadakan pasar muamalat secara Islam. Dari sini ekonomi Islam telah berkembang berdasarkan syariat Islam bagi membentuk sebuah peradaban dunia yang beretika dan berakhlak tinggi.

Islam menyediakan sebuah sistem ekonomi sempurna di dalam mempergunakan sumber kurniaan Allah SWT. Ianya bagi memenuhi keperluan semua manusia, dan menyediakan keadaan kehidupan ini lebih selesa. Harta kekayaan sebagai satu amanah dari Allah dan mestilah digunakan dengan baik kerana ia adalah satu ujian akidah. Bahkan 'pemilikan' oleh manusia hanya sebagai pemegang amanah dengan 2 objektif penting iaitu, kesejahteraan manusia sejagat dan keadilan sosioekonomi.
Jom toleh belakang untuk lihat kedepan...

Dari segi istilah, ekonomi Islam di bahagi 2 bahagian. Pertama: Asas-asas tetap. Dikenali sebagai ‘ideologi’. Dijelaskan dalam al-Quran, dan wajib patuhi. Tidak akan berubah walaupun dengan perubahan masa, keadaan dan tempat. Kedua: Asas-asas berubah-rubah. Dikenali ‘sistem pengurusan’. Prinsip ini berdasarkan etika pengurusan ekonomi dan peraturannya. Ia boleh berubah mengikut situasi keadaan, masa, tempat, keperluan masyarakat dan negara. Begitu kira-kira..

Mai kita lihat 'Asas-asas Tetap'
Asas tetap ialah perkara pokok dan asas yang ditetapkan oleh syarak melalui al-Quran dan as-Sunnah. Semestinya dipatuhi oleh umat Islam sepanjang masa dan tempat. Dikenali sebagai “Ideologi ekonomi Islam” (Mazhab Iqtisodi al-Islami). Di antara perkara tetap yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah mengenai ekonomi ialah :

Satu: Tuhan ialah Pemilik.

Segala harta perbendaharaan di semesta alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya diberi amanah untuk memelihara dan menjaganya.

  • Firman Allah yang bermaksud : Dan hanya kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi” (al-Najm 31)
  • “Dan nafkahlah sebahagian dari harta kamu yang Allah telah jadikan kamu menguasainya” (al-Hadid 7)
  • “Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di bawah perut bumi” (Taha 6)

Konsep harta amanah Allah untuk mereka urus saja, merupakan aspek penting menjadikan manusia perlu sentiasa beriltizam sungguh-sungguh. Bila konsep “Allah ialah Pemilik” sudah terpahat di hatinya, maka akan lahir golongan sentiasa bersyukur kepada Tuhan kerana harta yang telah diberikan Nya. Ia juga merasa mulia kerana sebahagian dari harta kekayaan Tuhan telah diserahkan kepadanya untuk diuruskan. Perlu diingatkan bahawa kesemua harta , tubuh, badan, jasad dan ruh adalah ciptaan Allah dan hak miliknya.

Allah bebas memberi dan menarik segala harta jika Ia kehendaki. Berapa ramai orang miskin menjadi kaya dan orang kaya menjadi miskin. Kesemua ini tertakluk kepada kekuasaan dan kehendak Allah yang Maha Perkasa. Manusia hanya mempunyai tekad, usaha dan azam dalam mencari perkara yang ingin diperolehi dalam hidupnya. Dengan usaha dan tekad yang gigih manusia akan dapat hasil dari harta kekayaan Tuhan. Walaupun manusia itu kata, '"Ah, harta ini kuperolehi hasil titik peluhku sendiri..", tetapi sebenarnya adalah pemberian dari Tuhan untuk menguji samada manusia itu bersyukur atau tidak.

Melalui azam dan tekad, manusia menjuruskan segala usaha, menggunakan tubuh badan dan pancaindera. Hal itu merupakan ciptaan Tuhan dan harta Allah bagi mencari kekayaan di dunia ini. Oleh itu segala harta kekayaan yang dimiliki oleh manusia adalah milik Allah, yang diamanahkan untuk mengurus, memelihara dan berbelanja dengan sederhana sambil bersyukur. Di hari akhirat Allah akan menanyakan setiap hambaNya mengenai harta kekayaan, dari mana dia memperolehi dan kemana dibelanjakannya.

Dua: Jaminan harta kepada setiap individu dan masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud..

  • “Tahukah kamu orang yang mendustan agama itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (al-Maa’un 1-3)
  • “Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu bagi orang miskin yang meminta dan orang tidak punyai apa-apa yang tidak mahu meminta” (al-Maarij 24-25)

Tiga: Menegakkan keadilan sosial dan perseimbangan ekonomi di antara anggota masyarakat.

Ekonomi Islam berteraskan keadilan dan seimbang. Tidak ada jurang yang begitu jauh antara oarng miskin dengan orang kaya. Persaudaraan yang dipupuk oleh Islam akan berhasil sekiranya perseimbangan dan agihan kekayaan adalah saksama dikalangan masyarakat. Pendapatan dan pengagihan 'tidak sama' yang berleluasan, sudah tentu akan merosakkan persaudaraan umat Islam.

Islam amat menekankan keadilan sosial dan perseimbangan ekonomi supaya setiap individu dijamin dapat menikmati taraf hidup sempurna sejajar dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

  • Firman Allah yang bermaksud.. “Supaya harta itu jangan hanya beredar diantara orang-orang kaya sahaja dikalangan kamu” (al-Hasyr 7). Ayat ini menerangkan bahawa tidak harus harta kekayaan itu hanya berlegar dalam satu bilangan kecil tanpa kelompok yang lain.
  • Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Ambillah harta dari orang kaya dikalangan kamu dan diberikan kepada orang-orang miskin.”(1) Adalah menjadi tanggungjawab ketua negara bagi menjamin setiap individu mendapat taraf hidup sempurna, memberi bantuan kepada yang kurang mampu.
  • Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tanggungan yang ditinggalkan oleh orang yang telah pergi akan menjadi tanggungjawab kita.”(2)
  • Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang yang dijadikan oleh Tuhan pentadbir tentang hal ehwal orang-orang Islam, tetapi dia terus tidak mengambil peduli terhadap keperluan mereka dan kemiskinan mereka, Tuhan juga tidak akan memperdulikan keperluan dan kemiskinannya.”(3)
  • Baginda juga pernah bersabda: “Pemerintahan negara menjadi pembantu orang yang tidak ada pembantunya.”(4)
Sebuah masyarakat Islam ialah hidup dalam keadaan bantu-membantu dalam sistem ekonomi dan menjamin taraf hidup yang sempurna bagi semua anggota masyarakat.
  • Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Orang yang makan hingga kekenyangan, sedangkan jiran tetangganya kelaparan bukanlah merupakan seorang Islam yang sejati.”(5)

Malah Islam menganggap manusia sebagai satu keluarga. Hidup dalam keadaan tolong menolong antara yang kaya dengan yang miskin supaya tidak berlaku jurang yang jauh antara keduanya. Islam tidak membezakan antara yang kaya dengan yang miskin. Yang tinggi dengan yang rendah. Atau yang putih dengan yang hitam. Mereka adalah sama di hadapan Tuhan dan di hadapan Hukum yang diturunkan olehNya. Tidak harus ada diskriminasi dari segi kaum, bangsa, warna kulit atau kedudukan.

Kriteria yang tunggal bagi menilai diri manusia ialah watak peribadi yang mulia dan sumbangannya terhadap Islam dan kemanusiaan. Rasulullah saw bersabda:

  • “Sesungguhnya Allah tidak akan melihat muka kamu atau kekayaan kamu, Dia akan melihat hatimu dan perbuatanmu.”(6)
  • “Orang yang paling mulia antara kamu adalah yang berbudi pekerti terbaik.”(7)

Saidina Umar sangat prihatin dalam persoalan keadilan pengagihan harta, setiap orang mempunyai hak yang sama dalam kekayaan masyarakat dan beliau sentiasa memastikan setiap individu masyarakat menerima bahagiannya. Pernah satu ketika beliau telah keluar malam dan didapati satu keluarga dalam keadaan kelaparan lantas beliau menanggung makanan dan diberikan kepada keluarga tersebut.

Saidina Ali telah menyebutkan bahawa “Tuhan telah mewajibkan terhadap orang yang kaya untuk memberi kepada mereka yang miskin apa yang mencukupi untuk mereka. Jika yang miskin kelaparan atau bertelanjang tanpa pakaian atau dalam keadaan kesusahan, ini adalah kerana yang kaya telah merampas hak mereka.. Dan memang layaklah jika Tuhan menuduh mereka yang bertanggungjawab terhadap perampasan ini dan menghukumi mereka.”

Para Ulamak telah hampir sebulat suara berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab seluruh masyarakat Islam pada keseluruhannya, terutama sekali tanggungjawab yang kaya khususnya untuk menjaga keperluan asas bagi mereka yang miskin.. Dan jika yang berada tidak memenuhi tanggungjawab mereka meskipun mereka mampu berbuat demikian, negara haruslah memaksa mereka.

Oleh itu, pemerintah harus memastikan keadilan memberi hak kekayaan di kalangan anggota masyarakat dan adalah tanggungjawab orang kaya menolong orang miskin dengan bersedekah atau memberi zakat dan lain-lain lagi.

Empat: Menghormati harta-harta yang dimiliki oleh pemiliknya.

Islam mengharamkan mencuri, merompak harta orang lain tanpa ada keiizinan syarak, malah Islam menyuruh kita menghormati dan memelihara harta milik orang lain. Firman Allah yang bermaksud:

  • “Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka kerjakan dan bagi wanita ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (an-Nisa’ 32)
  • “Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-dua sebagai balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah.” (al-Maidah 38)
  • Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Setiap muslim atas muslim yang lain haram ke atasnya darah, harta dan maruah.”(8)
  • Sabda Rasulullah yang bermaksud “Sesiapa yang terbunuh bagi mempertahankan hartanya adalah syahid”. (9)

Lima: Kebebasan yang terikat dalam memiliki harta.

Seseorang itu bebas memiliki harta sebanyak mana yang mungkin tetapi hendaklah dengan cara yang dibenarkan oleh syariat Islam. Ia tidak boleh memiliki harta dengan cara riba, peras ugut, memakan harta anak yatim dan mengambil secara batil.

  • Firman Allah yang bermaksud “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil” (al-Baqarah 188)
  • “Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (al-Baqarah 275)

Enam: Memakmurkan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh.

  • Firman Allah yang bermaksud “Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurNya” (Hud 61)
  • “Dan Dia menundukkan untuk kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi semua (sebagai rahmat) daripadaNya” (al-Jaatsiyah 13)
  • “Dan carilah kurnian Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung” (al-Jumua’h 10)

Tujuh: Melarang dari membazir dan menyeru bersedekah.

Segala harta yang dimiliki hendaklah dibelanjakan secara sederhana, tidak terlalu bakhil dan tidak terlalu boros. Ia sentiasa membelanjakan harta untuk jalan Allah.

  • Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan” (al-Isra’ 27)
  • “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta mereka, yang ada dalam kekuasaan kamu yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan.” (an-Nisa’ 5)
Bagaimana pula dengan istilah 'Asas Berubah-ubah'?

Asas atau aspek yang berubah ialah khas dalam bentuk pelaksanaan dan pengurusan bagi menjayakan asas-asas ekonomi Islam tadi, di dalam masyarakat yang berubah-ubah. Ia meliputi aspek perancangan, tindakan, cara penyelesaian terbaik dalam masyarakat dan negara. Di antaranya ialah:

  • Menerangkan kadar kapasiti kos taraf hidup untuk setiap individu masyarakat. Perkara ini sentiasa berubah mengikut keadaan dan tempat. Pemerintah berhak menentukan kadar kos-kos tersebut.
  • Memastikan keadilan dalam pengagihan harta, menjaga perimbangan ekonomi dalam masyarakat supaya tidak berlaku jurang yang tinggi.
  • Memastikan pengeluaran yang cukup untuk keperluan masyarakat dan negara. Menerangkan aspek-aspek jual beli yang dibenarkan oleh syara’ dan menjauhkan aspek penindasan dan riba.

Pelaksanaan teori ekonomi tersebut memerlukan kepada ijtihad semasa, disebabkan perubahan tempat, masa, perubahan sosial dan maklumat. Tetapi hendaklah mengikut dua aspek asas iaitu:

Satu: Beriltizam dengan asas-asas ekonomi Islam berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-Sunnah.

Kedua: Hendaklah mengambil hukum mengikut cara yang ditetapkan oleh ulama’ feqah seperti Qias, Istihsan, Istishab dan sebagainya.

Berdasarkan nas-nas berkaitan dengan ekonomi agak sedikit dan umum, maka didapati para khulafa’ dan imam mujtahidin mengambil pendekatan berdasarkan situasi keadaan masyarakat ketika itu, untuk maslahah umat.

Jadi, kesimpulannya, dari sudut istilah, 'Ekonomi Islam' wujud adalah hasil gabungan antara asas tetap dikenali sebagai 'Ideologi Ekonomi' dengan asas atau aspek berubah-ubah yang dikenali sebagai 'Sistem Ekonomi'.

Insya Allah, jika ada kelapangan, akan saya sambungkan muqaddimah ini atas dalam siri Kuliah Eko IH.. Wassalam.

Nota kaki:

  1. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
  2. Abu Daud, Sunan Abu Daud, cetaka Isa Halabi, Kaherah jilid 2 hal. 124
  3. Abu Daud, op. Cit jilid 1 hal. 481
  4. Ibid, jilid 2 hal. 122
  5. Al-Bukhari, Al-Adabul Mufrad, hal. 52:112
  6. Muslim, Shahih Muslim, jilid 4 hal. 1987:34
  7. Al-Bukhari, Shahih Bukhari, jilid 8 hal. 15
  8. Riwayat oleh Muslim
  9. Diriwayatkan oleh Nasa’ie
Catatan Santai Ibnu Hasyim
Kuliah Eko IH (siri 1)
alamat: ibnuhasyim@gmail.com
KL 27 Ogos 11.

Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

E-Buku IH-41: Kerukunan Umat Beragama

No comments:

Post a Comment