Thursday 24 October 2013

Harga ikan mahal kerana minyak naik -Dr Azman Ibrahim


 
 
KUALA TERENGGANU: Rata-rata peniaga ikan memaklumkan bahawa harga kebanyakan ikan terpaksa dinaikkan disebabkan permintaan tinggi dan dipengaruhi kenaikan harga minyak.

Walaupun kebanyakan nelayan mendapat subsidi diesel daripada kerajaan, tetapi ia masih belum mencukupi berbanding yang mereka gunakan untuk ke laut setiap hari.

“Sebab itulah harga ikan agak tinggi,” ujar Pengerusi Lujnah Pengguna PAS negeri, Dr Azman Ibrahim kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada laporan sebuah ahkbar harian tempatan berkaitan isu kenaikan harga ikan sebanyak 30 peratus berbanding biasa di negeri Terengganu khususnya serta di tempat lain amnya, sejak kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen awal September lalu.

Sekadar mengambil contoh beberapa jenis ikan yang mengalami kenaikan harga antaranya, kata beliau harga bagi sekilogram harga ikan cencaru dan selayang mencecah RM8 berbanding harga biasa RM6, ikan kembung dan ikan kerisi pula RM12, ikan aya RM10, tenggiri RM30, ikan merah RM30 serta banyak lagi kategori ikan yang lain.

Katanya, kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran bermula dari laut, ladang atau kilang hinggalah sampai ke tangan pengguna.

Menurutnya, peniaga memang terpaksa untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan walaupun akhirnya membebankan pengguna.

Beliau berkata, sekalipun berulang kali kerajaan memberikan jaminan bahawa, walaupun harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan, hakikatnya ianya hanya jaminan kosong.

Menurutnya lagi, minyak adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia, justeru apa sahaja yang berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi kesan kepada seluruh negara dan masyarakat dunia.

Inilah, jelasnya yang disebut ‘magnet tarikan ekonomi berasaskan petroleum’.

Kata beliau lagi, kenaikannya akan menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran, pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang, pertanian, pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan sampai ke tangan pengguna.

Lantaran itulah, ujar Dr Azman penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga barangan pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu penafian yang tidak bersandarkan kepada teori dan kaedah ekonomi. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment