Tuesday 12 November 2013

OgyBerry cegah kanser hati

FotoDR Fauziah bersama produk inovasinya.

Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan minuman jus kesihatan OgyBerry menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) lebih 10 tahun terhadap buah berberis yang berpotensi mencegah kanser hati.

Produk inovasi itu dibangunkan Ketua Jabatan Anatomi Manusia, Prof Dr Fauziah Othman bersama beberapa rakan penyelidik lain termasuk pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Minuman itu mempunyai pelbagai kebaikan termasuk tinggi antioksida, kaya vitamin C, baik untuk hati, me­nguatkan sistem imun badan dan menurunkan
berat badan.


Dr Fauziah teruja mengetahui manfaat buah itu kerana ia banyak di tanam di sekitar tanah tinggi di Tehran, Iran. Malah, kebaikan buah itu terkandung dalam buku tulisan ilmuan Islam, Ibnu Sina bertajuk ‘the canon of medicine’.

Produk itu meraih pelbagai anugerah termasuk pingat emas dalam BioMalaysia 2013 dan Anugerah UPM.

“Dalam buku Ibnu Sina itu, buah berberis baik untuk pelbagai jenis penyakit dan ia merangsang saya melakukan penyelidikan untuk kanser.
“Penyelidikan saya mendapati berberis baik untuk kanser hati,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran minuman jus kesihatan OgyBerry sempena Ekspo Pertanian UPM di Bukit Ekspo, Taman Pertanian Universiti, baru-baru ini.

Ekspo bertemakan ‘Pertanian Bandaran Memupuk Kesejahteraan Rakyat’ sempena Konvokesyen UPM itu memberi peluang penyelidik UPM mengetengahkan pelbagai produk inovasi kepada orang ramai.

“Dalam penyelidikan, kami mengambil tisu kanser hati. dan masukkan kepada tikus dan satu lagi kami beri karsinogen dengan beri.
“Karsinogen ini penyebab kanser. Tikus yang diberikan karsinogen dan beri tidak mendapat kanser hati manakala yang diberikan karsinogen mendapat kanser hati,” katanya.

Pada peringkat pertama kajian katanya, beri menghindar pembentukan kanser hati dalam tikus.

“Sekarang ini kita di peringkat empat kanser hati dan diberikan pada tikus dengan konsultasi yang betul.
“Hasilnya ia dapat menyembuhkan kanser,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penyelidikan ber­kenaan pada peringkat kajian tikus saja, selain belum ada sebarang ujian klinikal dilakukan terhadap manusia.

“Dari situ kita tahu kelebihan beri pada kesihatan sangat baik. Jadi apa yang kami lakukan untuk mengeluarkan makanan yang boleh digunakan kepada komuniti, selain menjadikan warga lebih sihat.
“Minuman ini memang baik untuk kesihatan,” katanya produk itu dalam proses mendapatkan amalan pengilangan terbaik (GMP).

Katanya, selepas mendapat GMP, barulah kajian dilakukan kepada manusia.

“Untuk kajian tikus, saya buat kajian lebih 10 tahun dan berharap dapat
menyempurnakan kajian terhadap manusia dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai penyakit kanser hati kata­nya, bilangan penghidapnya di negara ini tinggi.

“Ia juga tinggi di kalangan penduduk di Asia Tenggara, tetapi rendah di Timur
Tengah.
“Kajian juga mendapati ia dapat menurun kolesterol dan berat badan tikus,” katanya.

Beliau berkata kelebihannya sebagai antikoagulan (anti pembekuan darah) menyebabkan minuman itu berpotensi untuk disediakan kepada syarikat penerbangan.

“Jus ini mencairkan darah kerana ia menurunkan kolesterol. Kita panggil ia sebagai trombosis (pembentukan bekuan darah) terutama jika menaiki kapal terbang,” katanya.

Dalam jangka panjang katanya, UPM akan menghasilkan produk lain termasuk dalam bentuk pil dan makanan.

Katanya, pihaknya perlu mengimport terus beri dari Tehran, bagi mendapatkan bahan mentah menghasilkan minuman itu.

“Perancangan masa depan, jika ada individu mampu menghasilkannya pada skala ladang, kami bersedia membeli,” katanya. (myMetro)

No comments:

Post a Comment