MELAKA: Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan,
Dr Rosli Yaakop berkata kerajaan mesti 'mengempiskan perut' dan
'mengikat tali pinggang bagi mengurangkan perbelanjaan yang boros dan
membazir yang mengakibatkan hutang negara meningkat sehingga mencecah
lebih RM500 bilion sekarang.
"Jika
mereka tidak mengempiskan perut dan mengikat tali pinggang, hutang
Malaysia dijangka meningkat menjadi RM1.3 trilion pada tahun 2020.
"Sikap
boros, membazir, rasuah serta membiarkan ketirisan menjadi penyebab
kepada hutang negara yang semakin meningkat," ujar Dr Rosli.
Beliau
berkata bahawa sehingga kini sudah 16 tahun berturut-turut bajet
Malaysia mengalami defisit, iaitu pendapatan kurang daripada
perbelanjaan.
"Contohnya dalam sebuah rumah, katakan pendapatan
RM2000, tetapi perbelanjaan RM2,500 jadi tiap-tiap bulan mereka
berhutang RM500 untuk menampung perbelajaan. Sama juga dengan negara
kita, pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan akibat boros
dan membazir.
"Apabila pendapatan tidak cukup untuk menampung
perbelanjaan, kerajaan mula memikirkan untuk menambah hasil pendapatan
negara dengan mengenakan cukai GST yang menekan rakyat." ujar beliau
yang juga Pengarah Urusan Harakah.
Dr Rosli menyatakan bahawa GST dikenakan kepada semua lapisan rakyat tidak kira orang kaya, peminta sedekah dan fakir miskin.
"Sesiapa juga yang membeli barang keperluan dan perkhidmatan yang dikenakan GST sudah tentu terpaksa membayar GST.
"Memang
GST tidak dikenakan kepada beras dan sebagainya tetapi jika kita makan
di restoran atau kedai mamak, sudah tentu kita akan kena bayar GST,"
tambah beliau.
Menurutnya, para pekedai dan peniaga boleh
mendapat balik cukai GST yang dibayar dari kerajaan, tetapi rakyat
terbanyak tidak dapat bayaran balik dan merekalah yang paling teraniaya.
"Sudah
tentu Harga barangan akan naik dan rakyatlah yang terpaksa berbelanja
lebih akibat kenaikan harga barang," ujar Dr Rosli.
Beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya membuat perubahan bagi menyelamatkan negara yang tercinta ini.
"Jika pemimpin negara dan kerajaan tidak ditukar, sudah pasti Malaysia akan bangkrap dan rakyat akan bertambah sengsara.
"Sekarang
ini hutang negara sudah melebihi 55 peratus daripada jumlah pendapatan
dan kadar ini membuktikan bahawa negara berada di ambang muflis seperti
yang dialami oleh Greece," ujar beliau
Menurutnya hanya ada satu
jalan sahaja untuk menyelamatkan negara daripada bangkrap iaitu dengan
menukar kerajaan pada PRU14 nanti.
Beliau berkata demikian pada
ceramah umum anjuran Jentera Pilihanraya Dun Ayer Molek dan PAS Kawasan
Ayer Molek di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di Pekan Ayer Molek.
Selain Dr Rosli Yaakob, turut berceramah bersamanya ialah Exco Kerajaan
Negeri Selangor, Amiruddin Shari. –
HARAKAHDAILY 15/12/2014