LONDON – Pihak berkuasa Britain kini memburu seorang penganjur skim
cepat kaya yang menghilangkan diri bersama wang tunai milik beberapa
pelabur berjumlah £130 juta (RM709.17 juta).
Lelaki tersebut, Joe Lewis
(gambar), 59, dipercayai memperdayakan ramai golongan profesional termasuk dari luar negara untuk menyertai skim cepat kaya itu.
Lewis menghilangkan diri selepas menghantar e-mel kepada para pelabur
bagi meminta maaf kerana syarikatnya, JL Trading yang berpangkalan di
Istanbul, Turki sebenarnya sudah tidak beroperasi sejak lima tahun lalu.
Seorang mangsa, Don Wall, 77, berkata, dia bertemu dengan Lewis
ketika bermain golf pada tahun lalu dan lelaki itu memujuknya untuk
menyertai satu skim pelaburan dengan bayaran minima £16,000 (RM87,306).
“Lewis kelihatan sangat kaya dan dia berjaya meyakinkan saya selepas
menjanjikan bayaran keuntungan bulanan sekitar tiga peratus.
“Saya menggunakan wang simpanan saya berjumlah £100,000 (RM545,666)
untuk melabur dalam skim tersebut tetapi selepas beberapa bulan saya
gagal menghubungi Lewis,” katanya.
Seorang jurutera minyak, Neil Rodrigues memberitahu, dia melabur
£26,000 (RM141,855) pada tahun lalu dan beberapa rakannya termasuk di
luar negara turut melabur dalam skim berkenaan.
“Sehingga kini, kami masih belum mendapat wang kami semula,” ujarnya.
Satu sumber berkata, pihak polis sedang memburu Lewis dan satu
tindakan untuk membekukan semua akaun serta aset milik lelaki itu telah
diambil.
Bagaimanapun, Lewis yang telah mengosongkan akaun bank miliknya
dipercayai melarikan diri ke negara Timur Jauh bersama sejumlah wang
tunai. – Agensi
No comments:
Post a Comment