Taek
Jho Low mulai mendapat perhatian umum semasa beliau masih lagi dalam
usia 20-an, apabila beliau mulai menghabiskan ribuan dollar bersama
rakan-rakannya di kelab-kelab malam sekitar Manhattan. “Spekulasi mulai
timbul tentang dari manakah sumber kewangan Jho datang,” lapor The New
York Post.
Namun, sejak itu, persoalan yang
berlegar-legar tidak lagi hanya tertumpu kepada kehidupan malam beliau.
Low memperlihatkan dirinya kepada umum sebagai seorang pelabur yang
besar dalam bidang perniagaan dan hartanah di Amerika Syarikat. (Read in English.)
Walaupun
Low mempunyai hubungan rapat dengan beberapa orang kenamaan, namun
begitu, terdapat sebuah keluarga yang terus-terusan dikaitkan dengan
Low, iaitu keluarga perdana menteri Malaysia sendiri, Dato’ Seri Najib
Razak. Low mulai berkawan rapat dengan keluarga Najib semasa Low masih
belajar di sebuah sekolah tinggi swasta terkemuka berhampiran kota
London. Baru-baru ini, Low turut terlibat dalam pembelian sebuah unit
kondo mewah bernilai RM 117 juta di tengah-tengah bandar New York oleh
anak tiri perdana menteri tersebut, di samping membantunya dengan
syarikat perfileman yang telah menerbitkan filem “The Wolf of Wall
Street” dan “Dumb and Dumber To.” (Teruskan membaca di sini dalam Bahasa Inggeris.)
Unit
kondo mewah dan syarikat perfileman tersebut kini dipaparkan di dalam
sebuah siri projek siasatan global oleh New York Times yang meneliti
aliran wang asing yang masuk ke Amerika Syarikat, dengan menjadikan
unit-unit kondominium di dalam bangunan “Time Warner Center” sebagai
titik fokus.
New
York Times mendapati bahawa walaupun sebahagian besar wang asing ini
datangnya daripada sumber kekayaan yang sah, namun beberapa rakyat asing
yang memiliki unit kondo di Time Warner Center telah menjadi subjek
dalam beberapa penyiasatan kerajaan. (Teruskan membaca di sini dalam Bahasa Inggeris.)
Projek
ini turut memaparkan artikel-artikel tentang ahli-ahli politik dari
Mexico (akan datang minggu ini) dan Rusia (akan datang minggu ini), dan
juga tentang seorang ahli perniagaan kontroversi dari India (akan datang
minggu ini). New York Times juga mendapati bahawa kini, lebih setengah
daripada pembeli-pembeli unit kediaman mewah di bandar New York memilih
untuk melakukan pembelian secara rahsia dengan menggunakan tabung amanah
atau jenis syarikat yang lain, daripada memilih untuk menggunakan nama
mereka sendiri.
Pada tahun 2011, Low telah membeli
sebuah penthouse di Time Warner Center bernilai RM 109 juta dengan
menggunakan sebuah syarikat yang rahsia. Pada masa yang sama juga, Low
mulai dikritik oleh umum di Malaysia. Kritikan tersebut mempersoalkan
peranan Low dalam pembentukan 1MDB, yang merupakan syarikat pembangunan
strategik milik kerajaan. Sejak itu, parti pembangkang dan juga beberapa
ahli UMNO terus mempersoalkan 1MDB, di mana lembaga penasihatnya juga
dipengerusikan oleh Najib sendiri.
Menurut Low,
Riza Aziz merupakan sahabatnya, dan hartanah yang dijualnya kepada Riza
telah dilakukan sebagai dua individu persendirian dan telah mengikut
kadar pasaran semasa.
Pada
masa yang sama, Riza mengatakan dirinya seorang yang kaya secara
peribadinya. Pejabat Perdana Menteri mengatakan bahawa Najib juga tidak
memeriksa berapa banyakkah pendapatan anak tirinya itu.
Malaysia
merupakan salah satu negara dengan aliran wang keluar tertinggi di
dunia. Keadaan ini telah menempatkan Malaysia, sebuah negara dengan
hanya 30 juta penduduk, bersama-sama dengan negara seperti China, Rusia,
India, dan Mexico – negara-negara di mana aliran wang keluar yang
tinggi lebih biasa dilihat.
Sepanjang tempoh pemerintahan beliau, Najib juga telah berusaha untuk membina hubungan rapat dengan Amerika Syarikat. (New York Times)
No comments:
Post a Comment