Saturday 12 December 2015

IS Bisnes Minyak Mentah Untung AS$500 Juta –Reuter


Agensi - GAMBAR menunjukkan sebuah kilang kecil memproses minyak milik IS di bandar Al Mansura, timur Raqqa di Syria.

LONDON – Kumpulan militan Islamic State (IS) meraih keuntungan lebih AS$500 juta (RM2.16 bilion) melalui perdagangan minyak mentah dengan sebahagian besarnya dijual kepada rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad dan sebahagian pula disalurkan ke Turki, kata seorang pegawai kanan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
AS, Perancis, Britain dan Rusia berikrar akan menewaskan IS yang menggunakan Islam sebagai alasan untuk melakukan serangan dan keganasan di kawasan yang dikuasainya di Syria dan Iraq.
Sebuah pakatan diketuai AS melancarkan kempen mengebom IS, begitu juga Rusia dalam usaha membunuh pemimpin-pemimpin kumpulan militan itu dan melumpuhkan sejumlah telaga minyak yang digunakan mereka untuk membiayai pentadbiran kumpulan militan tersebut dan serangan ke luar negara.
Pegawai Jabatan Perbendaharaan AS, Adam Szubin berkata, IS menjual sebanyak AS$40 juta (RM172 juta) minyak sebulan dari beberapa pusat penyimpanan minyaknya. Produk itu dibawa menggunakan sejumlah trak untuk diedarkan di Syria dan kawasan lebih jauh.
“IS menjual sejumlah besar minyak kepada rejim Bashar. Kedua-duanya cuba membunuh satu sama lain namun, hakikatnya, mereka juga terlibat dalam jual beli minyak bernilai jutaan dolar,” kata Szubin.
Menurutnya, selain rejim Bashar, minyak IS turut digunakan oleh kumpulan militan tersebut di kawasan-kawasan di bawah penguasaannya. Sebahagian lagi minyak tersebut turut dihantar ke wilayah Kurdish dan beberapa kawasan di Turki.
“Minyak mentah IS itu di­seludup merentasi sempadan ke Turki,” katanya.
Selepas Ankara menembak jatuh sebuah jet pejuang Moscow pada bulan lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin membuat dakwaan bahawa sejumlah besar minyak IS telah dibawa masuk ke Turki.
Anak lelaki Presiden Turki, Tayyip Erdogan menafikan tuduhan Rusia bahawa beliau dan keluarganya meraih keuntungan daripada penyeludupan minyak dari wilayah yang dikuasai IS. –Reuter

No comments:

Post a Comment