Thursday 8 March 2018

Bos Amazon Muncul Orang Kaya Pertama AS$100 Bilion




RASMI… Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos disahkan majalah bisnes ternama Forbes sebagai manusia terkaya pertama di dunia melepasi nilai AS$100 bilion (kira-kira RM390 bilion).

Menurut laporan makalah berpusat di New York, Amerika Syarikat (AS) itu, Bezos, 54, atau nama asalnya Jeffrey Preston Jorgensen, kini memiliki kekayaan berjumlah AS$124 bilion (RM483 bilion) setakat rekod pada 7 Mac.
Pengasas laman beli-belah runcit terbesar di dunia yang berpusat di Seattle, AS tersebut mula mencatatkan nilai kekayaan AS100 bilion pada 24 November tahun lalu selepas saham syarikatnya melebihi 2.5 peratus ketika itu.
Amazon yang ditubuhkan pada 1994 dengan nama permulaannya sebagai Cadabra sebelum ditukar pula kepada nama sedia ada, memiliki hampir 600,000 pekerja di seluruh dunia dan dianggap syarikat internet terbesar global.
Warga AS tersebut, yang dilahirkan di New Mexico tetapi kemudian dibesarkan di Texas ini, memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan elektrikal dan sains komputer dari Universiti Princeton yang berprestij pada 1986 lepas.
Bezos mengahwini pekerja di pejabatnya sendiri yang juga merupakan graduan terbaik pengajian bahasa Inggeris dari universiti sama,  MacKenzie S. Tuttle, 43, pada 1993 lalu dengan mereka kini dikurniakan empat orang anak.
Beliau sebenarnya sudah bergelar bilionaire dengan kekayaan AS$1.6 bilion (RM6.2 bilion) pada 1998 lalu apabila menyertai senarai Forbes untuk indvidu terkaya dunia susulan penyenaraian saham Amazon di bursa New York.
Menariknya, Bezos mula memintas kedudukan manusia paling kaya di dunia pada 27 Julai tahun lepas dengan kekayaan AS$90 bilion (RM351 bilion) mengatasi pengasas bersama firma ternama, Microsoft iaitu Bill Gates.
Ia sekali gus menjadikan Bezos sebagai individu keenam menyandang gelaran manusia terkaya dalam sejarah 30 tahun Forbes, setelah berjaya mendahului Gates yang sudah memegang status elit ketika itu selama tujuh tahun.
Menurut Forbes, sehingga kini terdapat 2,200 bilionaire di seluruh dunia dengan jumlah terkumpul kekayaan mereka sahaja mencecah AS$9.1 trilion (RM35.5 trilion), naik 18 peratus berbanding rekod tahun sebelum ini.
Untuk rekod, ketika Forbes mula memperkenalkan senarai manusia terjaya dunia pada 1987, hanya terdapat 140 bilionaire di serata dunia dengan keseluruhan kekayaan mereka ialah AS$295 bilion (RM1.2 trilion) waktu itu.
Sehingga kini, Forbes melaporkan AS terus kekal sebagai negara yang memiliki paling ramai bilionaire iaitu 585 orang, diikuti oleh China sebanyak 373 orang dan India pula sejumlah 119 orang. – Agensi

No comments:

Post a Comment