Wednesday 19 September 2018

Misteri jarum dalam buah di Australia


Misteri jarum dalam buah di Australia
SYDNEY - AUSTRALIA. Kerajaan Australia memaklumkan ia akan memperkenalkan penalti jenayah lebih tegas sebagai respons terhadap skandal buah-buahan dicemari objek logam di negara itu.
Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara 15 tahun.
"Ia adalah setanding dengan jenayah lain seperti pornografi kanak-kanak dan membiayai keganasan. Ini menunjukkan kerajaan sangat serius dengan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut," tegasnya.
Ketika ini, hukuman maksimum ke atas mereka yang mencemari makanan adalah penjara 10 tahun.
Pihak berkuasa sedang menyiasat lebih 100 aduan dibuat orang ramai yang menemui jarum dalam strawberi dan buah-buahan lain sejak minggu lalu.
Sehingga kini, polis masih gagal mengesan individu yang melakukan perbuatan itu yang dipercayai sebagai tindakan sabotaj.
Difahamkan, seorang individu telah ditangkap selepas dia mengaku meletakkan jarum dalam buah kononnya sebagai gurauan.
Tiga negeri turut menawarkan ganjaran A$100,000 (RM300,635) kepada individu yang memberi maklumat tentang perbuatan sabotaj itu.  - Agensi

No comments:

Post a Comment