Wednesday 17 October 2018

Wanita rugi RM1.2 juta ditipu sindiket Macau Scam




SUBANG JAYA: Sikap tidak ambil peduli mengenai isu semasa termasuk sindiket penipuan yang menyasarkan rakyat negara ini menyebabkan seorang wanita berusia 50 tahun kerugian lebih RM1.2 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam.
Malah, selepas ditipu, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat pelaburan di ibu negara, menyimpan rahsia itu selama 10 hari sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata kejadian berlaku pada 10 Oktober lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai Mahkamah Kuala Terengganu.
Katanya, dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan bahawa namanya digunakan untuk membuat satu pinjaman peribadi.
“Mangsa menafikan ada membuat pinjaman peribadi dan panggilan kemudian disambungkan kepada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Suhana iaitu pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.
“Sindiket menyamar pegawai polis itu kemudian memaklumkan hasil semakan nama serta nombor kad pengenalan mendapati mangsa terbabit dalam penggubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohammad Azlin berkata, dalam perbualan itu mangsa dimaklumkan supaya mengambil cuti untuk mencari semua dokumen kewangan serta bagi membolehkan pegawai Jabatan Audit Negara membuat temu duga menerusi panggilan telefon.
Katanya, mangsa yang panik dan takut kemudian mengikut saja arahan diberikan sindiket itu termasuk bagi membuat pindahan wang dalam jumlah yang besar ke empat akaun perbankan berbeza diberikan.
“Mangsa kemudian membuat pindahan wang tunai menerusi kaunter yang keseluruhannya membabitkan wang berjumlah RM1.21 juta sejak 5 Oktober hingga 10 Oktober lalu.
“Mangsa hanya sedar ditipu selepas bercerita kepada suaminya yang menghubunginya sebelum membuat laporan polis, semalam,” katanya.
Menurut Mohamamd Azlin, hasil siasatan dijalankan, mangsa memaklumkan tidak pernah mengetahui mengenai sindiket penipuan Macau Scam menyebabkan mudah diperdaya. (BH)

No comments:

Post a Comment