Tuesday 9 October 2018

1,169 Produk PKS Berjaya Masuki Pasar Raya Besar

1,169 Produk PKS Berjaya Masuki Pasar Raya Besar


PUTRAJAYA – Sebanyak 20 peratus atau 1,169 produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia berjaya memasuki pasar raya besar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menyasarkan sebanyak 30 peratus produk PKS memasuki pasar raya besar, beliau berkata PKS tidak boleh ambil mudah mengenai aspek pembungkusan dan kualiti untuk memastikan produk mereka diterima masuk dalam pasar raya itu.
“Pasar raya besar mempunyai reputasi antarabangsa yang amat tinggi untuk menerima sesuatu produk PKS dan antara aspek yang dititikberatkan ialah pembungkusan, jenama dan kualiti produk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Bersama PKS di kementerian itu di sini hari ini.
Beliau turut melancarkan buku panduan kemasukan produk halal PKS ke pasar raya besar tempatan dan rangkaian asing untuk menjadi rujukan kepada pengusaha tempatan.
Saifuddin berkata buku panduan yang dihasilkan itu berdasarkan input daripada pengusaha pasar raya yang wajar dimanfaatkan oleh usahawan PKS baharu dan sedia ada.
Katanya pengusaha PKS yang telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh pasar raya besar tetapi masih gagal untuk memasukinya boleh membawa perkara itu kepada pihak kementerian.
Beliau berkata walaupun jumlah pasar raya besar adalah kecil berbanding kedai runcit biasa tetapi mereka menguasai lebih 60 peratus daripada pasaran runcit negara.
“Oleh itu, pasar raya besar boleh menjadi saluran pemasaran yang baik kepada produk PKS,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment