Tuesday 15 January 2019

Bela ikan keli atas bukit




MINAT membela ikan hiasan menyebabkan Suwardi Idris mengusahakan 41 kolam ternakan ikan keli baka tempatan dan Afrika bagi pasaran sekitar Pulau Pinang.
Kolam terletak di atas bukit dekat Lengkok Kelicap, Bayan Lepas itu diusahakan Suwardi, 46, sejak hampir 20 tahun lalu.
Suwardi berkata, membela ikan hiasan menjadi hobinya sejak di bangku sekolah dan dia pernah mengusahakan jualan ikan hiasan secara sambilan ketika bekerja sebagai operator di kilang elektronik di Bayan Lepas.
Katanya, dia kemudian mengambil keputusan berhenti kerja dan mengusahakan ternakan ikan hiasan dengan menyewa tanah di atas bukit terbabit yang dimiliki kenalannya.
“Bagaimanapun, pada 2000, ikan hiasan dipelihara dalam beberapa kolam mati semuanya dipercayai diracun menyebabkan kerugian sehingga ratusan ringgit, malah saya ibarat hilang arah mengenangkan nasib hilang mata pencarian sekelip mata.
“Mungkin ada hikmah kejadian itu, kolam ini saya bangunkan semula pada 2004 dengan memelihara ikan keli pula, malah permintaannya dalam pasaran amat tinggi,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Berbekalkan wang simpanan RM50,000, Suwardi membina beberapa kolam bagi mengasingkan anak ikan yang dijadikan benih serta induk dan berikutan ia mudah dipelihara, ikan keli tidak memerlukan kos penjagaan tinggi.
Selain kedudukannya di atas bukit, istimewanya ikan keli itu dipelihara menggunakan air semulajadi yang dialirkan dari atas bukit terbabit menjadikan ia tidak berbau hanyir dan segar.
“Saya tiada pekerja dan hanya dibantu isteri (Wahyuti Markaban, 46) manakala sebahagian wang hasil jualan yang disimpan digunakan bagi membuat kolam baharu.
“Ikan keli ini dijual pada harga RM4.50 sekilogram manakala RM7 bagi yang sudah siap dibersihkan.
“Kira-kira lapan tan ikan perlu disediakan setiap bulan bagi memenuhi permintaan pelanggan dan pasaran,” kata bapa kepada dua anak itu.
Suwardi berhasrat bagi menjadikan kolam peliharaan berkenaan sebagai pusat pembiakan ikan keli dan latihan kepada usahawan baharu.
Katanya, sehingga kini Suwardi sudah mempunyai hampir 100 anak didik dari sekitar Pantai Timur dan Utara, termasuk pelajar jurusan berkaitan yang melakukan latihan industri di kolam berkenaan.
“Saya mengajar mereka secara percuma termasuk menyediakan makan dan tempat tinggal berikutan minat mereka mahu mendalami bidang ini dan tujuan utama saya adalah bagi membentuk pelapis dan usahawan baharu.
“Jika ada peluang, saya mahu jadikan kawasan ini sebagai eko-pelancongan berikutan ia menawarkan pemandangan indah berlatarkan sebahagian negeri ini, malah pengunjung boleh menikmati hidangan ikan keli segar,” katanya.
Suwardi sering dijemput menyertai beberapa persidangan peringkat kebangsaan bagi berkongsi kepakaran dan pengalamannya dalam bidang terbabit, malah beliau turut dipilih sebagai Tokoh Usahawan sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan pada 2006, 2007 dan 2013. (HMetro)

No comments:

Post a Comment