Sunday, 11 November 2012

Pelaburan di Selangor RM6.9B, tertinggi di M'sia


(Khalid semasa merasmikan Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012)

SHAH ALAM: Perkembangan ekonomi Selangor dijangka terus berkembang pesat setelah negeri itu berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan dengan nilai RM6.9 bilion berbanding negeri-negeri lain.

Angka yang diperolehi dari statistik terbaru, sehingga Ogos 2012 itu diperolehi dari MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) semalam.

Statistik pelaburan itu juga menunjukkan Selangor berjaya mencatat jumlah pelaburan dalam negeri tertinggi yang bernilai RM5.23 bilion dan pelaburan asing bernilai RM1.66 bilion dengan jumlah projek perindustrian tertinggi, 170 projek.

Jumlah tersebut berjaya dicapai disebabkan kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri ini berjaya mewujudkan suasana yang kondusif untuk perniagaan sekaligus menarik minat pelabur-pelabur baru untuk melabur.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam upacara perasmian ‘Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012′ yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) hari ini.

“Kita terus konsisten mengekalkan kedudukan tiga negeri teratas yang berjaya menarik pelaburan tertinggi di Malaysia disebabkan kemampuan kita mewujudkan persekitaran kondusif dan sihat untuk aktiviti perniagaan dan pelaburan.

“Mungkin kalau anda melabur RM1 di Selangor, ia mempunyai nilai lebih tinggi  berbanding melabur RM1 berbanding negeri lain,” kata Abdul Khalid.

Menurut Abdul Khalid, langkah mengadakan ekspo juga merupakan langkah yang berkesan bagi menjana aktiviti perniagaan seperti aktiviti pemasaran produk dan memperolehi pelabur baru.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam majlis sama turut menggesa masyarakat negeri Selangor mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menjaga pemakanan mereka.

Dalam program Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012 yang berlangsung dari 9 hingga 11 November di SACC, sebanyak 132 syarikat yang memasarkan produk penjagaan kesihatan dan kecantikkan mengambil bahagian.

Selain itu, dianggarkan lebih 300 produk penjagaan kesihatan dan kecantikan dari dalam dan luar negeri turut dipamerkan di sepanjang ekspo sama.

Ekspo tersebut dianjurkan oleh Multi Mutual Resources dan mendapat sokongan Selangor State Investment Centre (SSIC) dan Selangor Times. (Hrkh)

Saturday, 3 November 2012

Krisis Ekonomi: M'sia Tidak Selamat? -Ibnu Hasyim




CATATAN SANTAI IBNU HASYIM
 
HARI ini ada beberapa berita ekonomi yang menggempar dan memberangsangkan. Laporan Audit negara menyebutkan, pnjaman terkumpul yang dijamin kerajaan persekutuan meningkat sebanyak RM19.85 bilion atau 20.5 peratus pada tahun 2011 dan buat pertama kalinya telah melepasi paras RM100 bilion untuk mencecah RM116.76 bilion, demikian didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Angka ini telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun dan mengalami peningkatan pesat sejak tahun 2008. Peningkatan dari tahun 2008 kepada 2011 adalah 69 peratus atau RM47.52 bilion...


Selanjutnya...   Krisis Ekonomi: M'sia Tidak Selamat?

Pulau Pinang bentang bajet temakan 'AES'

Lim Guan Eng
Ketua Menteri Lim Guan Eng 
 
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2013 bertemakan "AES" iaitu Agenda Ekonomi Saksama bagi mengurangkan ketidaksaksamaan dengan menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) PR memperkenalkan AES untuk mengurangkan jurang ketidaksaksamaan di kalangan masyarakat," kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet Negeri Pulau Pinang 2013 di Dewan Undangan Negeri di Georgetown, hari ini.

Guan Eng berkata, The Economist dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pun menganggap ketidaksaksamaan sebagai tidak efisyen dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta menghindari peluang sama rata dalam pendidikan.

Oleh itu, katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendirian berani untuk memulakan proses mengurangkan ketidaksaksamaan dengan AES dengan menghapuskan kemiskinan pada 2013 dan bukanlah tahun 2015 seperti yang dirancang dahulu.

Ia bajet kelima dibentangkan di bawah pentadbiran PR dan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Inilah perbezaan AES PR dengan AES BN atau 'Automated Enforcement System'.

"Suatu AES PR yang memartabatkan rakyat dan memperkayakan mereka berbanding dengan AES BN yang menghina rakyat dengan membebankan mereka," katanya sambil menambah, AES PR membolehkan Pulau Pinang untuk melakarkan nama dalam sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghapuskan kemiskinan pada 2013 selepas kejayaan menjadi negeri pertama yang membasmi miskin tegar pada 2009.

Kata Guan Eng, kesemua itu hanya dapat tercapai kerana kemampuan Kerajaan Negeri PR menerusi sistem CAT untuk mencatatkan prestasi kewangan yang cemerlang.

"Sungguhpun pihak tertentu berasa begitu iri hati sehingga mempersoalkan rekod lebihan bajet yang paling tinggi sebanyak RM138 juta untuk tahun 2011, kenaikan 312 peratus berbanding dengan RM33 juta pada tahun 2010, ataupun pengurangan hutang sebanyak 95 peratus, pihak tidak bertanggungjawab ini meludah ke langit kerana mempertikaikan kewibawaan Ketua Audit Negara yang sudah sahkan penyata kewangan Pulau Pinang sebagai benar dan saksama," kata beliau lagi.

Pulau Pinang dan tiga kerajaan negeri PR telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan AES.
Guan Eng berkata, Bajet Negeri Pulau Pinang 2013 memperuntukkan RM1.133 bilion iaitu RM970.56 juta untuk tujuan mengurus dan RM363.38 juta bagi pembangunan. (SH)

Wednesday, 17 October 2012

Hutang dijamin k'jaan melepasi paras RM100b


LAPORAN AUDIT Pinjaman terkumpul yang dijamin kerajaan persekutuan meningkat sebanyak RM19.85 bilion atau 20.5 peratus pada tahun 2011 dan buat pertama kalinya telah melepasi paras RM100 bilion untuk mencecah RM116.76 bilion, demikian didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

Angka ini telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh empat tahun dan mengalami peningkatan pesat sejak tahun 2008. Peningkatan dari tahun 2008 kepada 2011 adalah 69 peratus atau RM47.52 bilion.

Pinjaman dijamin kerajaan adalah pinjaman yang diambil oleh badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat tetapi dijamin oleh kerajaan persekutuan di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.
NONE
Pinjaman ini adalah berasingan daripada hutang kerajaan persekutuan dan tidak dicerminkan dalam bajet tahunan, dan sering digambarkan sebagai sebahagian daripada "hutang tersembunyi" negara.

Menurut laporan audit, hutang kerajaan persekutuan pada tahun 2011 mencecah RM456.12 bilion, atau 51.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beberapa peratus di bawah siling hutang digubal 55 peratus.

Jika RM116.76 bilion pinjaman kerajaan terjamin dimasukkan ke dalam hutang persekutuan, maka jumlah hutang akan menjadi RM573 bilion atau 65 peratus daripada KDNK, yang jauh melebihi siling hutang.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan telah berhujah bahawa kerajaan tidak mengambil kira liabiliti luarjangka seperti pinjaman off-budget, dalam nisbah hutang-kepada-KDNK.

Pinjaman PTPTN
NONE
Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan bahawa RM116.76 bilion yang terkumpul pada tahun 2011 merupakan jumlah pinjaman dalam dan luar negeri dua badan berkanun dan 23 syarikat berkaitan kerajaan yang dijamin Putrajaya pada akhir tahun 2011.

Kenaikan sebanyak RM19.85 bilion dari tahun 2010 adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan pinjaman untuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), gergasi perladangan Felda dan Jambatan kedua Sdn Bhd

Kerajaan juga menjamin pinjaman baru yang diambil oleh Syarikat Govco Holdings Bhd, Pengurusan Air SPV Bhd dan SRC International Sdn Bhd pada tahun 2011.

PTPTN, yang telah menambah pinjaman dengan ketara sejak tahun 2007, mengambil 17 peratus atau RM20.35 bilion daripada jumlah pinjaman yang dijamin kerajaan, diikuti oleh Pengurusan Air SPV Bhd (RM9.5 bilion atau 8 peratus) dan Felda (RM3.42 bilion atau 3 peratus).

Pinjaman tertunggak PTPTN meningkat lebih dua kali ganda -  daripada RM7.5 bilion pada tahun 2007 kepada RM20.35 bilion pada tahun 2011 -  peningkatan tertinggi di kalangan semua peminjam yang dijamin kerajaan persekutuan. (MK)

Saturday, 13 October 2012

Ini, Gambar Kereta Tiruan Buatan China..


Dadi Shuttle meniru Toyota Prado

BUKAN SETAKAT HANDPHONE DAN BARANG BERJENAMA SHJ CHINA CIPLAK, KERETA BERJENAMA PUN CHINA BOLEH CIPLAK (4 GAMBAR)


Laibao SRV meniru Honda CRV



Geely Merrie 300 meniru Mercedes C



Hongqi HQD meniru Rolls-Royce Phantom
Na'im Nikmat@blog

Friday, 12 October 2012

Dijel 58 bulan angkara kad kredit, masih tersenyum..





 
MASIH TERSENYUM... Dewi Susilawaty (bertudung) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Kuching semalam atas kesalahan memiliki kad kredit orang lain.
 
KUCHING – Seorang pembantu tadbir wanita dihukum penjara 58 bulan dan denda RM14,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah atas 29 tuduhan memiliki kad kredit pelbagai jenis yang menggunakan nama orang lain.

Tertuduh, Dewi Susilawaty Suaidi, 37, yang bekerja di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak (KPP) kelihatan tenang selepas Majistret Maris Agan menjatuhkan hukuman tersebut. Dewi Susilawaty mengaku memiliki 29 keping kad kredit pelbagai bank atas nama 16 wanita lain pada pukul 4.35 petang, 28 Ogos lalu di Taska Sichomel Alam Sanctuary, No. 4564, Lorong Sumber Alam 2D, Sumber Alam Sanctuary, Jalan Sultan Tengah di sini.

Antara kad kredit tersebut ialah empat kad kredit jenis Mastercard Citibank, Visa UOB, Mastercard Gold HSBC dan Visa Gold HSBC atas nama Nuraina Agnes Abdullah, 27; tiga keping kad kredit bank HSBC, Visa Citibank dan Visa Eon atas nama Suraya Hazemi, 32, serta kad kredit Visa Hong Leong Bank, Visa Citibank dan Mastercard Citibank atas nama Minizam Rosli, 38,

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa polis, Inspektor Yunus Sahak mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga bulan dan denda RM500 bagi setiap tuduhan. (Kosmo)

Wednesday, 10 October 2012

Jualan kereta Jepun merudum di China

GAMBAR fail menunjukkan beberapa penduduk menterbalikkan sebuah kereta buatan Jepun di Suzhou, China pada 15 September lalu. - Agensi

TOKYO - Jualan kenderaan Toyota dan Honda merudum di China pada bulan lalu selepas sentimen anti-Jepun berlaku ekoran pertikaian wilayah yang mengancam hubungan kedua-dua buah negara. China merupakan pasaran kenderaan terbesar Jepun.

Syarikat Toyota Motor Corporation menyatakan semalam bahawa jualan kenderaan baharu di China jatuh 48.9 peratus pada September lalu berbanding setahun lalu kepada hanya 44,100 buah kenderaan. Firma Honda Motor pula memberitahu bahawa jualan kenderaannya untuk September merosot 40.5 peratus kepada 33,931 buah kenderaan.

Jualan kenderaan buatan Nissan Motor di China pula merudum 35.3 peratus pada bulan lalu kepada 76,100 buah kenderaan. Perkembangan tersebut berlaku selepas Jepun pada bulan lalu mewartakan beberapa pulau kecil di Laut China Timur sebagai sebahagian wilayahnya.

Gugusan pulau itu yang dikenali sebagai Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China telah dikuasai Tokyo tetapi turut dituntut oleh Beijing. Langkah tersebut mencetuskan bantahan ganas di China dengan rakyat negara itu digesa memboikot barangan buatan Jepun. Beberapa kedai pengedar kereta Toyota dan Honda dibakar di sebuah bandar di China manakala orang ramai yang melaungkan slogan anti-Jepun berhimpun dan memecahkan beberapa buah kereta Jepun.

Walaupun protes tersebut semakin reda sejak beberapa minggu lalu, hanya pemandu yang berani sahaja sanggup memandu kereta buatan Jepun di beberapa buah bandar di China. - Agensi