Saturday 3 November 2012

Pulau Pinang bentang bajet temakan 'AES'

Lim Guan Eng
Ketua Menteri Lim Guan Eng 
 
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2013 bertemakan "AES" iaitu Agenda Ekonomi Saksama bagi mengurangkan ketidaksaksamaan dengan menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

"Kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) PR memperkenalkan AES untuk mengurangkan jurang ketidaksaksamaan di kalangan masyarakat," kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet Negeri Pulau Pinang 2013 di Dewan Undangan Negeri di Georgetown, hari ini.

Guan Eng berkata, The Economist dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pun menganggap ketidaksaksamaan sebagai tidak efisyen dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta menghindari peluang sama rata dalam pendidikan.

Oleh itu, katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil pendirian berani untuk memulakan proses mengurangkan ketidaksaksamaan dengan AES dengan menghapuskan kemiskinan pada 2013 dan bukanlah tahun 2015 seperti yang dirancang dahulu.

Ia bajet kelima dibentangkan di bawah pentadbiran PR dan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Inilah perbezaan AES PR dengan AES BN atau 'Automated Enforcement System'.

"Suatu AES PR yang memartabatkan rakyat dan memperkayakan mereka berbanding dengan AES BN yang menghina rakyat dengan membebankan mereka," katanya sambil menambah, AES PR membolehkan Pulau Pinang untuk melakarkan nama dalam sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghapuskan kemiskinan pada 2013 selepas kejayaan menjadi negeri pertama yang membasmi miskin tegar pada 2009.

Kata Guan Eng, kesemua itu hanya dapat tercapai kerana kemampuan Kerajaan Negeri PR menerusi sistem CAT untuk mencatatkan prestasi kewangan yang cemerlang.

"Sungguhpun pihak tertentu berasa begitu iri hati sehingga mempersoalkan rekod lebihan bajet yang paling tinggi sebanyak RM138 juta untuk tahun 2011, kenaikan 312 peratus berbanding dengan RM33 juta pada tahun 2010, ataupun pengurangan hutang sebanyak 95 peratus, pihak tidak bertanggungjawab ini meludah ke langit kerana mempertikaikan kewibawaan Ketua Audit Negara yang sudah sahkan penyata kewangan Pulau Pinang sebagai benar dan saksama," kata beliau lagi.

Pulau Pinang dan tiga kerajaan negeri PR telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan AES.
Guan Eng berkata, Bajet Negeri Pulau Pinang 2013 memperuntukkan RM1.133 bilion iaitu RM970.56 juta untuk tujuan mengurus dan RM363.38 juta bagi pembangunan. (SH)

No comments:

Post a Comment