(Khalid semasa merasmikan Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012)
SHAH ALAM: Perkembangan ekonomi Selangor dijangka
terus berkembang pesat setelah negeri itu berjaya menarik jumlah
pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan dengan nilai RM6.9 bilion
berbanding negeri-negeri lain.
Angka yang diperolehi dari
statistik terbaru, sehingga Ogos 2012 itu diperolehi dari MIDA (Lembaga
Pembangunan Pelaburan Malaysia) semalam.
Statistik pelaburan itu
juga menunjukkan Selangor berjaya mencatat jumlah pelaburan dalam negeri
tertinggi yang bernilai RM5.23 bilion dan pelaburan asing bernilai
RM1.66 bilion dengan jumlah projek perindustrian tertinggi, 170 projek.
Jumlah
tersebut berjaya dicapai disebabkan kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat
(PR) negeri ini berjaya mewujudkan suasana yang kondusif untuk
perniagaan sekaligus menarik minat pelabur-pelabur baru untuk melabur.
Demikian
menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam upacara
perasmian ‘Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012′ yang diadakan di Shah
Alam Convention Centre (SACC) hari ini.
“Kita terus konsisten
mengekalkan kedudukan tiga negeri teratas yang berjaya menarik pelaburan
tertinggi di Malaysia disebabkan kemampuan kita mewujudkan persekitaran
kondusif dan sihat untuk aktiviti perniagaan dan pelaburan.
“Mungkin
kalau anda melabur RM1 di Selangor, ia mempunyai nilai lebih tinggi
berbanding melabur RM1 berbanding negeri lain,” kata Abdul Khalid.
Menurut
Abdul Khalid, langkah mengadakan ekspo juga merupakan langkah yang
berkesan bagi menjana aktiviti perniagaan seperti aktiviti pemasaran
produk dan memperolehi pelabur baru.
Sementara itu, Abdul Khalid
dalam majlis sama turut menggesa masyarakat negeri Selangor mengamalkan
gaya hidup yang sihat dan menjaga pemakanan mereka.
Dalam program
Selangor Healthy Lifestyle Expo 2012 yang berlangsung dari 9 hingga 11
November di SACC, sebanyak 132 syarikat yang memasarkan produk penjagaan
kesihatan dan kecantikkan mengambil bahagian.
Selain itu,
dianggarkan lebih 300 produk penjagaan kesihatan dan kecantikan dari
dalam dan luar negeri turut dipamerkan di sepanjang ekspo sama.
Ekspo
tersebut dianjurkan oleh Multi Mutual Resources dan mendapat sokongan
Selangor State Investment Centre (SSIC) dan Selangor Times. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment