KUALA LUMPUR:
Siasatan yang dilakukan terhadap projek konsesi pembinaan kampus UiTM
mendapati, wujud syarikat Bumiputera yang bukan sahaja mempunyai
'kepakaran' dalam rundingan konsesi dengan kerajaan malah menyerahkan
pula projek yang diperolehi kepada syarikat bukan Bumiputera.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kaedah rundingan terus
yang digunakan pentadbiran Najib dengan berselindung di sebalik “private
finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan dan terdedah
kepada amalan rasuah.
"Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai
akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang
mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh
merugikan rakyat," ujarnya.
Beliau memberi contoh syarikat yang diberi konsesi membina kampus
UiTM Kota Samarahan iaitu Rekajaya Projek Sdn Bhd yang turut
dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar)
melalui satu konsortium.
Syarikat-syarikat yang dikuasai ahli perniagaan ini, tambahnya boleh
diibaratkan sebagai "pakar perunding konsesi" yang berurusan dengan
Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun ujar beliau, sebaik berjaya mendapatkan konsesi-konsesi
pembinaan, projek pembinaan diberikan pula kepada syarikat bukan
Bumiputera sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau
sub-kontrak.
"Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM
cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri
Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan Bumiputera yang
disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur," dedah beliau.
Rafizi menambah, semakan mendapati kos pembinaan dua projek konsesi
itu dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah
bank milik penuh kerajaan.
"Saya mengambil contoh konsesi
penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana
kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada
ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah
dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa
perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan
rakyat," ujarnya.
Beliau berkata, alasan kononnya kontraktor Bumiputera berpeluang
dianugerahkan projek melalui program konsesi juga diragui kerana jelas
projek yang diperolehi diserahkan pula kepada syarikat bukan Bumiputera.
Rafizi turut mempertikaikan pembiayaan projek melalui Bank Pembangunan, sebuah bank milik penuh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, jika kampus-kampus tersebut dibina sendiri kerajaan
dengan meminjam dari Bank Pembangunan, pasti kos yang ditanggung adalah
jauh lebih murah.
"Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputera disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno.
"Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan
di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya
menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak," ujar
beliau.
- HARAKAHDAILY, 26/6/2014