skip to main |
skip to sidebar
PETALING JAYA: Seorang penjual jalanan, kelahiran Malaysia yang pernah
hidup dalam serba kemiskinan kini bersedia untuk membuka restoran dengan
keluasan 15,000 kaki persegi di ibu pejabat Twitter di Bay Area, San
Francisco.
Generasi kelima peniaga jalanan berketurunan 'mamak', Azalina Eusope
pernah menolak kereta sorong di Pulau Pinang, menjual pencuci mulut,
sehinggalah beliau bertemu dengan suaminya dari Amerika dan berpindah ke
San Francisco, tempat di mana beliau kini berjaya dalam perniagaannya.
"Membesar sebagai seorang 'gadis mamak' bukan fantasi bagi sesiapa.
'Mamak' biasanya berada di bahagian bawah sistem kasta di Malaysia suatu
masa dahulu," katanya dalam temu bual bersama majalah dalam talian yang
dikendalikan oleh Whole Foods, Dark Rye.
"Oleh kerana sistem kasta, golongan 'mamak' hanya dibenarkan untuk
melakukan perkara-perkara tertentu sebagai profesion," katanya.
Azalina berkata dia mahu membebaskan diri dari acuan yang diperkatakan,
jadi beliau mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan di sekolahnya
untuk mengejar impiannya menjadi seorang doktor.
Walau bagaimanapun, hati Azalina kecewa apabila permohonannya untuk memasuki kolej telah ditolak.
Selepas mendapat berita buruk itu, beliau mendapatkan nasihat daripada
seorang guru yang menyarankan supaya beliau belajar memasak dengan lebih
baik.
"Cukup aneh, apabila dia mencadangkan 'Mengapa tidak awak pergi ke sekolah masakan," Azalina mengimbas pengalamannya.
Apabila Azalina berkahwin dengan suaminya dan mengikutnya kembali ke
Amerika Syarikat, beliau bergelut untuk mengatasi satu kejutan budaya
yang amat besar sebaik sahaja tiba di sana.
"Saya membesar di sebuah kampung, kami berjalan apabila mahu ke
mana-mana, kami tidak mempunyai televisyen, dan tidak tahu bagaimana
rupa bentuk peti sejuk.
"Kali pertama saya menyentuh komputer ketika saya baru melahirkan anak
lelaki saya iaitu pada tahun 2002," kata Azalina dalam temu bual dengan
Mashable.
Azalina berkata untuk mengatasi kerinduan dan kejutan budaya itu, dia akan memasak makanan yang beliau makan sewaktu membesar.
Hobi beliau akhirnya bertukar menjadi satu perniagaan pada tahun 2010
apabila beliau membuka sebuah kedai di pasar tani di San Francisco.
"Saya meminjam USD500 dan mula menjual makanan di pasar tani. Saya akan
mengejutkan anak-anak saya pada pukul 3 pagi dan kami memasukkan semua
makanan ke dalam kereta untuk kami pergi menjualnya," kata Azalina.
Tetapi dalam tempoh enam minggu pertama, tiada siapa yang datang makan makanan yang dijualnya.
Perniagaan beliau kemudian mula mendapat perhatian apabila penulis
terkemuka makanan, Andrew Knowlton menyenaraikan kedainya sebagai salah
sebuah daripada 10 kedai makan jalanan terbaik di San Francisco dalam
majalah 'Bon Appetit' pada tahun 2010.
Azalina kemudiannya bertukar ke bidang katering, majlis dan acara, dan
bertemu dengan seorang pembeli yang menawarkannya untuk menjual sendiri
aneka sosnya di Whole Foods Market, sebuah rangkaian pasar raya di
Amerika.
"Saya mahu memberitahu orang ramai tentang mamak dan siapa kami dan saya
ingin memberitahu cerita melalui makanan saya," kata Azalina.
"Ini adalah jenis makanan yang mengingatkan saya tentang budaya, keluarga dan kenangan saya.
"Anda tidak dapat menolaknya. Ia ada dalam keluarga dan dalam jiwa anda.
Lambat laun ia akan datang dan mencari anda walau di mana dan siapa
anda sekali pun," katanya.
Di sebalik kejayaan beliau, Azalina berkata kerjanya tidak mudah yang
menuntut beliau bekerja selama 18 hingga 20 jam sehari, dengan hanya
tidur dua hingga tiga jam.
Beliau berkata dua orang anaknya yang memberikannya kekuatan untuk beliau terus menjalankan urusan perniagaan. (mStar)
No comments:
Post a Comment