Semua
ini bermula apabila Imran Sheik membuat keputusan untuk merasai sendiri
ais krim Sangkaya ini yang terletak di Jalan Alor, Bukit Bintang.
SIAPA sangka tatkala ramai pelajar memilih masa terluang
untuk bersantai setelah seharian mentelaah pelajaran, ada juga yang
memilih menceburi bidang perniagaan ketika masih menuntut.
Lima
pelajar perundangan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM)
memberanikan diri membuka cawangan perniagaan aiskrim diberi nama
Sangkaya di SS15 di Subang Jaya walaupun perlu menghadiri kuliah secara
sepenuh masa.
Ia bermula apabila Imran Sheik, 24, membuat
keputusan untuk merasai sendiri aiskrim Sangkaya ini yang terletak di
Jalan Alor, Bukit Bintang.
“Saya ke situ untuk cuba ais krim
itu dan saya suka sangat rasa dan konsepnya. Kemudiannya saya berborak
dengan John Isaac Ho dan Ivy Sangrida Kaya yang merupakan pengasas
Sangkaya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai konsepnya,” kata Imran.
Imran kemudiannya mengajak sahabat-sahabatnya untuk merasai sendiri
sehingga mereka membuat keputusan untuk membuka kedai mereka dengan
bantuan dan tunjuk ajar daripada John.
Akhirnya Imran bersama
Nurin Hasanah Rahim Zain, 25, Ahmad Faris Jalil, 23, Nadiatul Liyana
Zainuddin, 23, dan Mohd Hafiz Baharudin, 23, membuat keputusan untuk
menjadi rakan kongsi Sangkaya SS15.
Sangkaya
ialah pencuci mulut ais krim kelapa yang boleh dinikmati dengan kacang
soya merah, nestum, sos cokelat dan pelbagai lagi - Astro AWANI / MARIAH
AHMAD
Zulhelmi
Zulkepli antara pekerja Sangkaya SS15 yang sentiasa bersedia untuk
memberi layanan terbaik kepada pelanggan mereka - Astro AWANI / MARIAH
AHMAD
Ditanya jika perniagaan Sangkaya ini
mengganggu masa belajar mereka, Imran ada jawapannya: “Biasanya apa yang
saya perhatikan pelajar mempunyai tiga masa - masa belajar, masa
pelajar membuat sesuatu yang berguna dan masa main. Masa main macam
tengok YouTube, tengok cerita atau sesuatu yang menghiburkan.
“Pada pendapat saya kalau nak bahagikan masa untuk perkara seperti ini,
kena kurangkan masa untuk bermain itu. Maksudnya kurangkan aktiviti yang
tidak berfaedah, jadi seseorang pelajar itu akan perasan dia ada banyak
masa sebenarnya.
"Tidak bermaksud yang kami tidak sibuk kerana
kami juga pelajar. Kadang-kala kami mengulang kaji di kedai ini
terutama apabila musim peperiksaan menjelang,” tambah Imran.
Imran juga berkata memandangkan mereka masih belia, cabaran terbesar ialah pengalaman.
“Belia ada tenaga yang banyak, tapi kurang berpengalaman. Jadi bila buat bisnes, ia bukan seperti membuat
assignment dalam kuliah.
“Sebab kalau
assignment
lambat, tidak mengapa, namun jika bisnes lambat, kita rugi duit. Jadi
cabarannya, kami perlu timba banyak pengalaman contohnya dengan
berhubung dengan golongan lebih dewasa,” tambah Imran.
Kelazatan ais krim Sangkaya ini bukan satu-satunya faktor yang
mendorong lima sahabat ini untuk membuka cawangan Sangkaya, malah
realiti keadaan ekonomi semasa membuatkan mereka mahu terus bekerja
keras.
“Kami bukannya pelajar yang asalnya mewah. Bila tengok
ekonomi sekarang dan juga pendapatan, untuk berhibur itu semua ada, tapi
bila kami dah berjaya nanti. Maksudnya lebih baik kumpul duit sekarang
dan bila dewasa sikit kita boleh berbelanja. Jadi konsepnya usaha dulu
sekarang,” kata Imran.
Bagi pelanggan yang hadir hari ini,
mereka kebanyakannya terdiri daripada rakan-rakan sekuliah daripada
Fakulti Undang-Undang UiTM, Shah Alam.
Antaranya ialah Mustabshira Fahmi, 23, pelajar tahun akhir bersama suaminya Aker Nadjmi, 23.
“Mereka daripada awal lagi menjemput kami datang, namun kami tidak berkelapangan. Bila tengok ramai
upload gambar
Sangkaya, kami pun datang untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan
kami yang membuka cawangan bisnes ini,” kata Mustabshira.

Mustabshira Fahmi pelajar tahun akhir perundangan UiTM Shah Alam,
bersama suaminya Aker Nadjmi, hadir upacara perasmian Sangkaya SS15
untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan kuliahnya.
Turut hadir memberi sokongan ketika upacara perasmian pembukaan cawangan ini ialah ahli keluarga mereka sendiri.
Antaranya kakak kepada Nurinhasanah Ida Mariam, 37 , yang kini berkerja sebagai penasihat undang-undang.
“Mereka melakukan bisnes ini dengan perkongsian bersama-sama, saya
tidak berapa risau kerana mereka boleh membantu sesama mereka. Lagipun,
bisnes mereka ini tidak nampak seperti skala besar jadi mereka seperti
mampu menguruskannya bersama-sama.” (.astroawani.com)