Wednesday, 12 August 2015

Tony Fernandes gesa kerajaan tumpu kejatuhan ringgit, bukan sekat media sosial


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes melahirkan kebimbangannya dengan kejatuhan ringgit dan menggesa kerajaan mencari penyelesaian segera. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 12 Ogos, 2015.

Putrajaya digesa mengambil langkah bagi memulihkan kejatuhan nilai ringgit daripada terlalu "sibuk" menumpukan kepada perkara lain seperti menyekat media sosial, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Melahirkan kebimbangannya dengan situasi terkini di mana ringgit mencecah 4.0060 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal pagi ini, beliau berkata kerajaan sewajarnya mencari satu bentuk penyelesaian.

"Saya dibayar bukan untuk bercakap mengenai itu (cadangan kepada kerajaan)," katanya kepada pemberita apabila diminta memberi cadangan kepada Putrajaya mengenai kejatuhan nilai ringgit itu hari ini.

"Tetapi, kerajaan perlu fokus kepada rakyat untuk sediakan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya selepas majlis memperkenalkan duta baharu AirAsia di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya adakah AirAsia terjejas dengan kejatuhan ringgit, Tony menolak perkara itu, mengatakan syarikat penerbangan itu sebaliknya menyaksikan peningkatan jualan.

"Setakat ini kita masih belum terkesan. Kita ambil kesempatan dari keadaan (jatuh wang ringgit) untuk menarik pelancong.

"Dan sebenarnya, jualan kita meningkat. Ramai yang menggunakan situasi ini untuk bercuti pergi ke luar negara, mungkin kerana mahu lari dari masalah ekonomi, mereka bercuti di Phuket atau China.

"Ia situasi yang amat tertekan di negara ini," katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengulangi kenyataannya sebelum ini yang kemerosotan nilai ringgit baik buat sektor pelancongan negara.

Katanya, ringgit kini mempunyai permintaan dengan adanya kehadiran pelancong di Malaysia dan pelancong asing ini juga akan berasa terpanggil datang ke negara ini kerana nilai mata wang yang lemah. 

Pada 2 Ogos, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru dilantik Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, undang-undang yang mengawal kandungan Internet di Malaysia akan dipinda untuk melindungi rakyat daripada "fitnah" dan "character assassination" (tindakan yang boleh memusnahkan imej baik individu).

Beliau juga dilaporkan berkata, portal berita mungkin perlu berdaftar di bawah cadangan pindaan kepada undang-undang itu. – 12 Ogos, 2015.

sumber 

Tuesday, 4 August 2015

Bursa saham Greece jatuh menjunam 23%


BURSA Saham Athens jatuh menjunam sebaik sahaja dibuka semula selepas lima minggu ditutup dengan saham perbankan paling teruk terjejas dan mencapai had penurunan harian sebanyak 30 peratus di Athens, Greece semalam. - AFP
 
ATHENS – Pasaran saham Greece menjunam hampir 23 peratus semalam ketika bursa dibuka selepas lima minggu ditutup, dipercayai berikutan kebimbangan negara ini akan dikeluarkan daripada Zon Eropah.
Rekod harian indeks saham utama Athens merudum paling teruk dalam sejarah hanya selepas beberapa minit dagangan bermula. Saham-saham perbankan yang merangkumi 20 peratus indeks saham tersebut paling teruk terjejas.
Indeks Bank Negara Greece, bank komersial terbesar negara ini, jatuh 30 peratus iaitu had turun naik maksimum harian, manakala indeks perbankan lain secara umumnya juga jatuh ke tahap maksimum 30 peratus.
“Kebanyakan tekanan jualan dilihat pada saham perbankan dengan baki sekitar 100 juta Euro arahan jualan gagal dilaksanakan. Mungkin ada lagi penurunan esok (Selasa) kecuali jika ada pembeli muncul kemudian,” kata penasihat pelaburan, Theodore Mouratidis.
Dagangan di bursa saham Athens digantung pada penghujung Jun lalu sebagai satu langkah kawalan modal yang dikenakan bagi mengekang aliran keluar mata wang Euro yang banyak sehingga mengancam kemusnahan bank-bank di negara ini.
Athens kini telah menerima satu perjanjian pinjaman baharu dengan rakan-rakan Kesatuan Eropah lain dengan syarat pembaharuan dan langkah penjimatan lebih ketat.
Bagaimanapun, pelaksanaan perjanjian itu akan mengambil masa, menyebabkan kebimbangan berterusan tentang kestabilan ekonomi dan politik Greece.
Selain itu, ada yang bimbang Perdana Menteri, Alexis Tsipras mungkin terpaksa akan mengadakan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat. – Reuters

Friday, 10 July 2015

Ringgit Hari Ini Jatuh Kepada Tahap Terendah, Prestasi matawang Paling Buruk Di Asia



KUALA LUMPUR: Nilai Matawang Ringgit Malaysia hari ini telah jatuh kepada paras terendah hari ini selepas tiada lagi tambatan ringgit pada dolar Amerika sejak tahun 2005.

Memetik laporan Astro Awani, menurut penganalisis, kejatuhan nilai ringgit ini didorong oleh situasi semasa negara Greece yang disingkir dari Zon Euro dan laporan siasatan penyelewengan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak isu wang 1MDB yang didedahkan World Street Journal.

BACA: Wall Street Journal Dedah Berjaya Kesan AS$700 Juta Duit 1MDB Dalam Akaun Peribadi Najib

BACA: Pakar Ekonomi Bagi Amaran, Kejatuhan Ringgit Petanda Kos Sara Hidup Akan Lebih Tinggi

Menurut laporan Bloomberg, sehingga jam 9.30 pagi tadi, nilai matawang ringgit telah jatuh sebanyak 0.6% kepada RM3.8025 iaitu lebih teruk berbanding semasa kegawatan ekonomi tahun 1998 di mana Tun Dr Mahathir telah menambat nilai ringgit dengan dolar Amerika Syarikat RM3.80.

Kesan kontroversi 1MDB juga turut mengheret turun ringgit sebagai prestasi  matawang paling buruk di Asia selain situasi politik luaran turut menjejaskan matawang ringgit.

Selain itu penganalisis turut menjangkakan nilai ringgit akan terus jatuh pada paras 3.80 sekiranya situasi Greece terus tidak menentu. - Siakapkeli.my

Saturday, 4 July 2015

Ringgit dijangka naik sedikit berbanding USD minggu depan

Prestasi dagangan Malaysia yang kukuh pada Mei lepas, sekaligus memacu sentimen terhadap ringgit. – Gambar AFP, 4 Julai, 2015.

Ringgit dijangka naik sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan minat belian yang kembali pulih, kata peniaga.
Prestasi dagangan Malaysia yang kukuh pada Mei lepas turut dipaparkan menerusi peningkatan 1.3% kepada RM115.4 bilion, sekaligus memacu sentimen terhadap ringgit.
Peniaga itu berkata, data pekerjaan AS yang lemah serta kebimbangan menjelang pungutan suara Greece berhubung syarat-syarat pembayaran hutang oleh negara itu, akan membantu pelabur lebih bertumpu kepada asas-asas Malaysia.

 Sepanjang minggu ini, ringgit diniagakan bercampur-campur dan berlegar antara 3.7480 dan 3.7825 kerana berdepan tekanan ketara sebelum pengumuman oleh Fitch Ratings Agency.
Ia bagaimanapun, pulih pada Rabu selepas Fitch Ratings menyemak naik kadar penarafan Malaysia kepada stabil daripada negatif.


"Semakan menaik itu mengesahkan ringgit telah dinilai rendah manakala pembiayaan awam kian pulih dan kekal kukuh biarpun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar di peringkat luaran," kata peniaga lain.
Momentum itu, bagaimanapun, tidak berubah pada Khamis disebabkan aktiviti pengambilan untung kerana kebimbangan terhadap harga komoditi di peringkat global.
Bagi perbandingan mingguan, ringgit diniagakan tidak berubah terhadap dollar AS pada 3.7760 / 7790 daripada 3.7660 / 7690, Jumaat lepas.
Sementara itu, unit tempatan itu juga diniagakan bercampur-campur dengan mata wang utama lain.
Ia hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 2.7997 / 7024 daripada 2.7996 / 7020 pada Jumaat lepas dan susut berbanding yen kepada 3.0684 / 0711 daripada 3.0516 / 0543, minggu lepas.
Ringgit, bagaimanapun naik berbanding pound British kepada 5.9000 / 9054 daripada 5.9318 / 9369 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.1936 / 1977 daripada 4.2194 / 2235, Jumaat lepas. - Bernama, 4 Julai, 2015.