Wednesday 12 August 2015

Tony Fernandes gesa kerajaan tumpu kejatuhan ringgit, bukan sekat media sosial


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes melahirkan kebimbangannya dengan kejatuhan ringgit dan menggesa kerajaan mencari penyelesaian segera. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 12 Ogos, 2015.

Putrajaya digesa mengambil langkah bagi memulihkan kejatuhan nilai ringgit daripada terlalu "sibuk" menumpukan kepada perkara lain seperti menyekat media sosial, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Melahirkan kebimbangannya dengan situasi terkini di mana ringgit mencecah 4.0060 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal pagi ini, beliau berkata kerajaan sewajarnya mencari satu bentuk penyelesaian.

"Saya dibayar bukan untuk bercakap mengenai itu (cadangan kepada kerajaan)," katanya kepada pemberita apabila diminta memberi cadangan kepada Putrajaya mengenai kejatuhan nilai ringgit itu hari ini.

"Tetapi, kerajaan perlu fokus kepada rakyat untuk sediakan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya selepas majlis memperkenalkan duta baharu AirAsia di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya adakah AirAsia terjejas dengan kejatuhan ringgit, Tony menolak perkara itu, mengatakan syarikat penerbangan itu sebaliknya menyaksikan peningkatan jualan.

"Setakat ini kita masih belum terkesan. Kita ambil kesempatan dari keadaan (jatuh wang ringgit) untuk menarik pelancong.

"Dan sebenarnya, jualan kita meningkat. Ramai yang menggunakan situasi ini untuk bercuti pergi ke luar negara, mungkin kerana mahu lari dari masalah ekonomi, mereka bercuti di Phuket atau China.

"Ia situasi yang amat tertekan di negara ini," katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengulangi kenyataannya sebelum ini yang kemerosotan nilai ringgit baik buat sektor pelancongan negara.

Katanya, ringgit kini mempunyai permintaan dengan adanya kehadiran pelancong di Malaysia dan pelancong asing ini juga akan berasa terpanggil datang ke negara ini kerana nilai mata wang yang lemah. 

Pada 2 Ogos, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru dilantik Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, undang-undang yang mengawal kandungan Internet di Malaysia akan dipinda untuk melindungi rakyat daripada "fitnah" dan "character assassination" (tindakan yang boleh memusnahkan imej baik individu).

Beliau juga dilaporkan berkata, portal berita mungkin perlu berdaftar di bawah cadangan pindaan kepada undang-undang itu. – 12 Ogos, 2015.

sumber 

No comments:

Post a Comment