Rekod harian indeks saham utama Athens merudum paling teruk dalam sejarah hanya selepas beberapa minit dagangan bermula. Saham-saham perbankan yang merangkumi 20 peratus indeks saham tersebut paling teruk terjejas.
Indeks Bank Negara Greece, bank komersial terbesar negara ini, jatuh 30 peratus iaitu had turun naik maksimum harian, manakala indeks perbankan lain secara umumnya juga jatuh ke tahap maksimum 30 peratus.
“Kebanyakan tekanan jualan dilihat pada saham perbankan dengan baki sekitar 100 juta Euro arahan jualan gagal dilaksanakan. Mungkin ada lagi penurunan esok (Selasa) kecuali jika ada pembeli muncul kemudian,” kata penasihat pelaburan, Theodore Mouratidis.
Dagangan di bursa saham Athens digantung pada penghujung Jun lalu sebagai satu langkah kawalan modal yang dikenakan bagi mengekang aliran keluar mata wang Euro yang banyak sehingga mengancam kemusnahan bank-bank di negara ini.
Athens kini telah menerima satu perjanjian pinjaman baharu dengan rakan-rakan Kesatuan Eropah lain dengan syarat pembaharuan dan langkah penjimatan lebih ketat.
Bagaimanapun, pelaksanaan perjanjian itu akan mengambil masa, menyebabkan kebimbangan berterusan tentang kestabilan ekonomi dan politik Greece.
Selain itu, ada yang bimbang Perdana Menteri, Alexis Tsipras mungkin terpaksa akan mengadakan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat. – Reuters
No comments:
Post a Comment