Thursday, 3 September 2015

Harga minyak terus merudum di pasaran Asia

SINGAPURA – Harga minyak terus merudum di Asia semalam berikutan pedagang mengambil kira maklumat pengeluaran lemah di Amerika Syarikat (AS) dan China, sementara jangkaan stok simpanan AS semakin rendah turut diambil kira dalam dagangan.
Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran bulan Oktober jatuh AS$1.03 (RM4.34) kepada AS$44.38 (RM186.93) sementara minyak mentah Brent untuk Oktober turut jatuh $1.02 (RM4.30) kepada AS$48.54 (RM204.45) ketika dagangan sebelah petang.
WTI menurun AS$3.79 (RM15.96) dan Brent jatuh AS$4.59 (RM19.33) kelmarin selepas China dan AS sebagai dua pengguna minyak mentah utama dunia melaporkan data aktiviti pengilangan yang lemah.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Beijing untuk sektor pembuatan menurun ke tahap terendah dalam tiga tahun kepada 49.7 mata bagi bulan Ogos daripada 50.0 mata pada Julai lalu. Bacaan di bawah 50 mata menunjukkan pengecutan industri.
Institut Pengurusan PMI AS juga jatuh kepada 51.1 mata, tahap paling rendah untuk tahun ini berbanding 52.7 mata pada Julai lalu.
“Dengan PMI pembuatan tidak menunjukkan hasil diharapkan, pasaran-pasaran dunia mencatatkan penurunan sekali lagi. Pasaran kini bertumpu kepada kenaikan dan penurunan, menyebabkan turun naik mendadak harga minyak,” kata penganalisis pelaburan di syarikat Phillip Futures di Singapura, Daniel Ang.
Ang memaklumkan pedagang menjangkakan harga minyak terus jatuh selepas pendedahan laporan stok simpanan AS semalam untuk seminggu sehingga 28 Ogos ini.
Penganalisis bahan api menjangkakan peningkatan 900,000 tong bekalan minyak di AS, lapor rangkaian televisyen Bloomberg News. Lonjakan stok simpanan kebiasaannya menandakan permintaan yang rendah. – AFP

Tuesday, 25 August 2015

Apa Makna Simbol Patung Lembu (bull) Rebah, Dari Adik PM Dalam Ekonomi?


ANazir Razak siar satu lagi mesej berkias kepada ‘orang kuasa’ di Instagram
Adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak, terus mengundang perhatian ramai pemerhati politik tanahair menerusi mesej penuh makna terbaru beliau di akaun Instagramnya.

Kali ini, bos nombor satu kumpulan perbankan CIMB itu menggunakan gambar patung lembu (bull), simbol yang biasa kelihatan di mana-mana bursa saham, dalam keadaan terbaring.

Dalam istilah saham, pasaran "bull" menggambarkan pasaran yang sedang meningkat naik, berdasarkan cara haiwan itu menyerang musuhnya dengan menanduk ke atas. Ia juga boleh mewakili nilai bon atau matawang yang naik.

Mengiringi gambar itu adalah mesej Nazir mencadangkan agar "orang kuasa" (power people) berhati-hati dengan kenyataan mereka yang boleh memberi kesan kepada sentimen pasaran.

"Mati atau kecederaan? China yang akan menentukan, tetapi satu normal baru (dengan nilai relatif) akan muncul bagi kebanyakan pasaran baru muncul. Terima dan laraskan segera.
"Sementara itu, modal sangat sensitif; berita buruk dan petanda buruk diperbesarkan, jadi, orang 'kuasa' mesti elak bercakap benda bodoh," tulis Nazir.

Nazir sebelum ini juga pernah memuatnaik mesej penuh makna selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau keseorangan dalam mengkritik pentadbiran negara.

Nazir pada masa itu memuatnaik gambar mendiang penyanyi Michael Jackson dengan tulisan "You'RE Not Alone", tajuk lagu popular penyanyi itu.

Siri gambar dan mesej Nazir ini menimbulkan tanda tanya tentang pendiriannya terhadap pentadbiran abangnya, Datuk Seri Najib Razak yang dikritik teruk rakyat mutakhir ini. - 25 Ogos, 2015.

Sunday, 23 August 2015

Turki Akan Menjadi Negara Terkaya Di Dunia

Turki akan menjadi salah satu negara terkaya dalam 20 tahun ke depan. Turki juga akan menjadi 15 besar tiang ekonomi global yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi negara lain dalam 25 tahun akan datang.

Demikian seorang pegawai Bank Dunia meramalkan.

"Pada tahun 2025, Turki akan menjadi salah satu daripada 15 tiang global dan akan memainkan peranan untuk mempengaruhi negara lain," kata Mansoor Dailami, pengurus kumpulan dari Emerging Global Trends Team of the Development Prospects di Bank Dunia.

Dalam pertemuan di Ankara pada keluaran laporan Bank Dunia yang berjudul, "Perspektif Pembangunan Global 2011", Dailami berkata Turki dengan perkembangannya yang agak seimbang ditambah dengan banyaknya permintaan penanaman modal asing dan domestik yang semakin berkembang akan menjadikannya sebagai salah satu negara terkaya dalam 20 tahun akan datang .

"Ekonomi Turki menjadi petanda baik bagi masa depan dengan penduduk kaum muda yang memerlukan pelaburan yang cukup besar dalam pendidikan," kata Dailami menambah.

Ekonomi Turki meningkat sejak beberapa tahun terakhir, pasca pemerintahan AKP tahun 2002. Kemajuan ekonomi itu juga yang disyaki menjadi salah satu kunci kemenangan AKP pada pilihan raya 2007 dan pilihan raya 2011.

https://www.facebook.com/pages/Sahabat-Erdogan/838853686152368

Friday, 21 August 2015

Ringgit sepatutnya pada 3.70 berbanding dolar AS

Nazir Razak
Nazir Razak  
KUALA LUMPUR - Ringgit sepatutnya didagangkan sekitar 3.70 berbanding dolar AS berdasarkan asas-asas semasa namun sentimen pelabur menggeluncurkan mata wang tempatan melangkaui paras itu, kata Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak.
 
Menurutnya penganalisis bank menjangka berdasarkan wajaran dagangan baru-baru ini, pergerakan ringgit sepatutnya berlegar pada paras 3.70 (untuk satu dolar AS).
 
"Jika pakar ekonomi kita betul, wujud pengurangan nilai sekitar 10 peratus yang berkemungkinan disebabkan oleh sentimen," katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Majalah The Economist Asia Tenggara, di sini hari ini. 
 
Pada 9.30 pagi tadi, ringgit disebut harga pada 4.0980/1030 berbanding 4.1040/1090 ketika ditutup semalam.
 
Nazir berkata seperti krisis ekonomi lain, adalah amat penting situasi itu diselidik dengan sebaik-baiknya agar ia dapat ditangani dengan dasar yang betul.
 
"Saya gembira Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kementerian Kewangan melibatkan masyarakat, terutama penganalisis dan ahli perniagaan, bagi mendapatkan pandangan mereka tentang situasi ekonomi," katanya.
 
Katanya dengan cara itu, Perdana Menteri dan kementerian akan mendapat pandangan lebih baik tentang situasi, membuat penilaian yang tepat dan mengambil langkah yang betul.
 
Pada 13 Ogos lalu, Najib menerusi blognya, memberi empat sebab kelembapan ringgit iaitu spekulasi politik berlebihan; pengurangan nilai ringgit; jangkaan kenaikan kadar faedah oleh AS; dan kejatuhan harga komoditi.
 
Bagaimanapun beliau memberi jaminan kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menguruskan situasi itu bagi menstabilkan ekonomi negara.
 
Sidang kemuncak itu yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN, menyemak perjalanan rantau ini untuk menjadi sebuah komuniti ekonomi menjelang akhir tahun ini. - Bernama

Wednesday, 12 August 2015

Tony Fernandes gesa kerajaan tumpu kejatuhan ringgit, bukan sekat media sosial


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes melahirkan kebimbangannya dengan kejatuhan ringgit dan menggesa kerajaan mencari penyelesaian segera. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 12 Ogos, 2015.

Putrajaya digesa mengambil langkah bagi memulihkan kejatuhan nilai ringgit daripada terlalu "sibuk" menumpukan kepada perkara lain seperti menyekat media sosial, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.

Melahirkan kebimbangannya dengan situasi terkini di mana ringgit mencecah 4.0060 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal pagi ini, beliau berkata kerajaan sewajarnya mencari satu bentuk penyelesaian.

"Saya dibayar bukan untuk bercakap mengenai itu (cadangan kepada kerajaan)," katanya kepada pemberita apabila diminta memberi cadangan kepada Putrajaya mengenai kejatuhan nilai ringgit itu hari ini.

"Tetapi, kerajaan perlu fokus kepada rakyat untuk sediakan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya selepas majlis memperkenalkan duta baharu AirAsia di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya adakah AirAsia terjejas dengan kejatuhan ringgit, Tony menolak perkara itu, mengatakan syarikat penerbangan itu sebaliknya menyaksikan peningkatan jualan.

"Setakat ini kita masih belum terkesan. Kita ambil kesempatan dari keadaan (jatuh wang ringgit) untuk menarik pelancong.

"Dan sebenarnya, jualan kita meningkat. Ramai yang menggunakan situasi ini untuk bercuti pergi ke luar negara, mungkin kerana mahu lari dari masalah ekonomi, mereka bercuti di Phuket atau China.

"Ia situasi yang amat tertekan di negara ini," katanya.

Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengulangi kenyataannya sebelum ini yang kemerosotan nilai ringgit baik buat sektor pelancongan negara.

Katanya, ringgit kini mempunyai permintaan dengan adanya kehadiran pelancong di Malaysia dan pelancong asing ini juga akan berasa terpanggil datang ke negara ini kerana nilai mata wang yang lemah. 

Pada 2 Ogos, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru dilantik Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, undang-undang yang mengawal kandungan Internet di Malaysia akan dipinda untuk melindungi rakyat daripada "fitnah" dan "character assassination" (tindakan yang boleh memusnahkan imej baik individu).

Beliau juga dilaporkan berkata, portal berita mungkin perlu berdaftar di bawah cadangan pindaan kepada undang-undang itu. – 12 Ogos, 2015.

sumber