Thursday, 1 October 2015

7-Eleven Australia tipu gaji pekerja

AFP - SEORANG wanita melintasi sebuah kedai 7-Eleven di bandar raya Sydney semalam.

SYDNEY – Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 7-Eleven Australia meletak ja­watan semalam selepas terlibat dalam skandal menipu gaji pekerja.
Pengerusi, Russ Wit­hers dan CEO, Warren Wilmot mengumumkan keputusan berundur daripada lembaga pe­ngarah syarikat itu, lapor rangkaian penyiaran Australia, ABC.
Withers membangunkan syarikat tersebut pada 1977 dan kini mengendalikan 615 kedai serbaneka itu di Australia. Ia beroperasi di bawah lesen perniagaan dari syarikat induk 7-Eleven di AS yang mempunyai lebih 55,000 cawangan di 16 negara.
“Wilmot meletak­ jawatan susulan pen­dedahan terbaharu bahawa 7-Eleven Austra­lia membayar gaji tidak setimpal kepada pekerjanya,” ujar syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pendedahan siasatan media mendapati pemilik francais kedai runcit 7-Eleven itu membayar para pekerjanya separuh daripada gaji yang sepatutnya mereka peroleh.
Satu siasatan di Australia pula mendapati pembayaran gaji rendah itu diuruskan secara sistematik dan dilakukan sejak sekian lama.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini sangat memalukan dan saya meminta maaf kepada mereka yang telah bekerja di kedai runcit 7-Eleven kerana tidak mendapat gaji yang sepatutnya,” ujar Withers kepada sebuah jawatankuasa Parlimen, minggu lepas. –  dpa

Friday, 11 September 2015

1MDB: Tempoh enam bulan yang tiada penghujung?


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mempersoalkan mengenai tempoh enam bulan yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan masalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melalui pelan rasionalisasinya.

Tuan Ibrahim berkata, sehingga kini pelan tersebut hanya ada dalam pemikiran Najib sebagai Menteri Kewangan sahaja.

"Ini bukan kali pertama, Najib berjanji akan menyelesaikan masalah 1MDB di depan Umno.

"Kali pertama Najib merayu diberikan masa 6 bulan ialah pada satu pertemuan tertutup di PWTC tiga bulan lalu iaitu 14 Jun 2015.

"Perkara ini didedahkan oleh Hasan Hamzah, bekas Ketua Bahagian Bagan Batoh kepada media seperti The Malaysian Insider dan The Rakyat Post. Kata Hasan, Najib berjanji masalah 1MDB akan diselesaikan akhir tahun 2015," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, hampir dua bulan kemudian, pada 1 Ogos 2015 Najib sendiri mengumumkan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung 1MDB.

"Sekali lagi, Najib menegaskan beliau memerlukan masa enam bulan untuk memulihkan syarikat itu," katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tempoh sebenar enam bulan yang disebutkan oleh perdana menteri itu.

"Jika dikira daripada rayuan pertama, Najib hanya mempunyai tiga bulan sahaja lagi. Apakah semalam Najib telah menekan butang ‘reset’ dan memulakan semula kiraan tempoh 6 bulan bermula 9 September pula?

Tuan Ibrahim turut meminta Najib menyatakan tarikh khusus untuk menyelesaikan masalah hutang 1MDB.

"... dan jika tidak, apakah beliau akan melepaskan sekurang-kurangnya jawatan Menteri Kewangan daripada portfolio beliau?, " ujarnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pihak pengurusan 1MDB juga perlu diberi tempoh, kerana setiap hari yang berlalu akan meningkatkan faedah pinjaman sekali gus menambahkan kerisauan rakyat. (SH)

Tuesday, 8 September 2015

Terkejut, Bank Tidak Mahu Tukar Ringgit ke Pound Sterling.


JOHOR BAHRU - Seorang pelajar Doktor Falsafah di sebuah Universiti di United Kingdom mendakwa sebuah bank di Johor enggan menerima tukaran wang dari Ringgit kepada Pound Sterling.

"Tadi pergi bank, bank cakap mereka tidak terima tukar dekat cawangan sini," kata Nurayuni Daud, 28 (bukan nama sebenar) memetik laporan dari Sinar Online.

Menurutnya, kejadian berlaku di sebuah bank pagi semalam dan sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat pertukaran wang Ringgit Malaysia ke Pound Sterling.

"Saya hendak tukar, bank tidak mahu ambil, rugi katanya, jadi saya hendak tukar di mana....sedih Malaysia macam ini," katanya.

Tambah Nurayuni, duit yang mahu ditukarnya hanya bernilai RM1,500.

"Setakat 200 Pound Sterling dalam duit Malaysia RM1,500," katanya.

"Pergi 'money changer' pun mereka tidak berani ambil....hari ini (semalam) paling teruk duit Malaysia jatuh 1 Pound Sterling bersamaan RM6.54," keluhnya.

Menceritakan hidupnya di UK, Nurayuni berkata InsyaAllah semuanya akan 'baik-baik sahaja'.

"Hidup dekat UK ok sahaja nak 'survive', sana galakkan bekerja...banyak kerja 'part time' lagi, bayaran pun OK, sebab kos kehidupan rendah. Sejam dapat 8 Pound Sterling sejam pun dah banyak, sebab 8 Pound itu sudah besar, boleh beli macam-macam," katanya. 

Thursday, 3 September 2015

Harga minyak terus merudum di pasaran Asia

SINGAPURA – Harga minyak terus merudum di Asia semalam berikutan pedagang mengambil kira maklumat pengeluaran lemah di Amerika Syarikat (AS) dan China, sementara jangkaan stok simpanan AS semakin rendah turut diambil kira dalam dagangan.
Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran bulan Oktober jatuh AS$1.03 (RM4.34) kepada AS$44.38 (RM186.93) sementara minyak mentah Brent untuk Oktober turut jatuh $1.02 (RM4.30) kepada AS$48.54 (RM204.45) ketika dagangan sebelah petang.
WTI menurun AS$3.79 (RM15.96) dan Brent jatuh AS$4.59 (RM19.33) kelmarin selepas China dan AS sebagai dua pengguna minyak mentah utama dunia melaporkan data aktiviti pengilangan yang lemah.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Beijing untuk sektor pembuatan menurun ke tahap terendah dalam tiga tahun kepada 49.7 mata bagi bulan Ogos daripada 50.0 mata pada Julai lalu. Bacaan di bawah 50 mata menunjukkan pengecutan industri.
Institut Pengurusan PMI AS juga jatuh kepada 51.1 mata, tahap paling rendah untuk tahun ini berbanding 52.7 mata pada Julai lalu.
“Dengan PMI pembuatan tidak menunjukkan hasil diharapkan, pasaran-pasaran dunia mencatatkan penurunan sekali lagi. Pasaran kini bertumpu kepada kenaikan dan penurunan, menyebabkan turun naik mendadak harga minyak,” kata penganalisis pelaburan di syarikat Phillip Futures di Singapura, Daniel Ang.
Ang memaklumkan pedagang menjangkakan harga minyak terus jatuh selepas pendedahan laporan stok simpanan AS semalam untuk seminggu sehingga 28 Ogos ini.
Penganalisis bahan api menjangkakan peningkatan 900,000 tong bekalan minyak di AS, lapor rangkaian televisyen Bloomberg News. Lonjakan stok simpanan kebiasaannya menandakan permintaan yang rendah. – AFP

Tuesday, 25 August 2015

Apa Makna Simbol Patung Lembu (bull) Rebah, Dari Adik PM Dalam Ekonomi?


ANazir Razak siar satu lagi mesej berkias kepada ‘orang kuasa’ di Instagram
Adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak, terus mengundang perhatian ramai pemerhati politik tanahair menerusi mesej penuh makna terbaru beliau di akaun Instagramnya.

Kali ini, bos nombor satu kumpulan perbankan CIMB itu menggunakan gambar patung lembu (bull), simbol yang biasa kelihatan di mana-mana bursa saham, dalam keadaan terbaring.

Dalam istilah saham, pasaran "bull" menggambarkan pasaran yang sedang meningkat naik, berdasarkan cara haiwan itu menyerang musuhnya dengan menanduk ke atas. Ia juga boleh mewakili nilai bon atau matawang yang naik.

Mengiringi gambar itu adalah mesej Nazir mencadangkan agar "orang kuasa" (power people) berhati-hati dengan kenyataan mereka yang boleh memberi kesan kepada sentimen pasaran.

"Mati atau kecederaan? China yang akan menentukan, tetapi satu normal baru (dengan nilai relatif) akan muncul bagi kebanyakan pasaran baru muncul. Terima dan laraskan segera.
"Sementara itu, modal sangat sensitif; berita buruk dan petanda buruk diperbesarkan, jadi, orang 'kuasa' mesti elak bercakap benda bodoh," tulis Nazir.

Nazir sebelum ini juga pernah memuatnaik mesej penuh makna selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau keseorangan dalam mengkritik pentadbiran negara.

Nazir pada masa itu memuatnaik gambar mendiang penyanyi Michael Jackson dengan tulisan "You'RE Not Alone", tajuk lagu popular penyanyi itu.

Siri gambar dan mesej Nazir ini menimbulkan tanda tanya tentang pendiriannya terhadap pentadbiran abangnya, Datuk Seri Najib Razak yang dikritik teruk rakyat mutakhir ini. - 25 Ogos, 2015.