Thursday 1 October 2015

7-Eleven Australia tipu gaji pekerja

AFP - SEORANG wanita melintasi sebuah kedai 7-Eleven di bandar raya Sydney semalam.

SYDNEY – Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 7-Eleven Australia meletak ja­watan semalam selepas terlibat dalam skandal menipu gaji pekerja.
Pengerusi, Russ Wit­hers dan CEO, Warren Wilmot mengumumkan keputusan berundur daripada lembaga pe­ngarah syarikat itu, lapor rangkaian penyiaran Australia, ABC.
Withers membangunkan syarikat tersebut pada 1977 dan kini mengendalikan 615 kedai serbaneka itu di Australia. Ia beroperasi di bawah lesen perniagaan dari syarikat induk 7-Eleven di AS yang mempunyai lebih 55,000 cawangan di 16 negara.
“Wilmot meletak­ jawatan susulan pen­dedahan terbaharu bahawa 7-Eleven Austra­lia membayar gaji tidak setimpal kepada pekerjanya,” ujar syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pendedahan siasatan media mendapati pemilik francais kedai runcit 7-Eleven itu membayar para pekerjanya separuh daripada gaji yang sepatutnya mereka peroleh.
Satu siasatan di Australia pula mendapati pembayaran gaji rendah itu diuruskan secara sistematik dan dilakukan sejak sekian lama.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini sangat memalukan dan saya meminta maaf kepada mereka yang telah bekerja di kedai runcit 7-Eleven kerana tidak mendapat gaji yang sepatutnya,” ujar Withers kepada sebuah jawatankuasa Parlimen, minggu lepas. –  dpa

No comments:

Post a Comment