Monday 19 October 2015

Ribuan doktor protes di London

BEBERAPA orang doktor muda memegang sepanduk membantah tindakan kerajaan Britain mengubah waktu kerja mereka ketika satu demonstrasi di London kelmarin. - REUTERS

LONDON – Beribu-ribu orang doktor mengadakan protes berkaitan gaji dan cara kerja di London kelmarin dalam perbalahan yang semakin teruk antara kakitangan perubatan dan kerajaan Britain.
Setiausaha Kesihatan, Jeremy Hunt merancang untuk mengelaskan semula waktu kerja mingguan normal bagi doktor-doktor muda dengan memasukkan hari Sabtu serta waktu lewat malam, satu tindakan yang didakwa pengkritik akan mengurangkan gaji sehingga 30 peratus kerana kehilangan bayaran kerja lebih masa.
Satu kumpulan besar berhimpun di Whitehall, di mana pejabat-pejabat kerajaan ditempatkan bagi mendengar beberapa jurucakap mengutuk tindakan Hunt itu.
Penunjuk perasaan memakai pakaian kerja hospital sambil melaungkan ‘Hunt perlu pergi’ dan ‘Tidak selamat, tidak adil, Jeremy tidak peduli’.
“Limpahan kemarahan dan kekecewaan yang kami telah lihat daripada beribu-ribu doktor muda di seluruh Britain, kemuncaknya adalah dalam perhimpunan bersejarah hari ini (kelmarin) di London perlu menyedarkan menteri-menteri.
“Jika mereka fikir doktor-doktor muda akan menerima sahaja ancaman pelaksanaan wajib, terbukti mereka silap,” kata ketua jawatankuasa doktor muda Persatuan Perubatan British (BMA), Johann Malawana dalam satu kenyataan akhbar.
BMA dan polis London tidak dapat memberikan anggaran jumlah peserta perhimpunan tersebut tetapi beberapa laporan media mendakwa 20,000 orang menghadiri tunjuk perasaan itu.
Hunt memaklumkan perubahan dicadangkannya itu, yang hanya melibatkan doktor-doktor di England akan meningkatkan penjagaan kesihatan pesakit dengan menjadikan kos lebih murah untuk hospital menetapkan waktu kerja doktor pada hujung minggu di samping mengurangkan jumlah jam kerja mingguan doktor terbabit.
Doktor yang terlibat akan diberikan pampasan jika kehilangan pendapatan tambahan kerja lebih masa melalui peningkatan kadar gaji pokok.
“Saya fikir ianya sangat mengecewakan, cara BMA telah salah faham dengan pendirian kerajaan,” kata Hunt kepada rangkaian televisyen BBC.
BMA sedang bersedia mengadakan undi untuk ahlinya menentukan kemungkinan mengadakan mogok berkaitan isu tersebut sementara Hunt telah menyeru kumpulan doktor terbabit kembali ke meja rundingan. – AFP

No comments:

Post a Comment