Friday, 4 November 2016

Ubah wang haram RM10.2 juta, ini hukumannya..


 Wan ASRI (kiri), Muhammad Ghazali dan Mohd. Azizi (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM10.2 juta.
SHAH ALAM – Tiga pengarah syarikat penerbitan buku dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM10.2 juta antara Mac hingga Ogos tahun ini.
Tertuduh, Wan Asri Wan Hassan, 44, Mohd. Azizi Mahusin, 45, dan Muhammad Ghazali Abdul Majid, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
Mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, Tingkat bawah Aeon Mall, Jalan Akuatik, Seksyen 13 di sini.
Di hadapan Hakim Rozilah Salleh, tertuduh, Wan Asri didakwa dengan tiga pertuduhan iaitu menerima wang berjumlah RM100,000 melalui satu keping cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Alira & Co. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 6 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh turut didakwa menerima wang berjumlah RM1,340,000 melalui lima keping cek bank yang sama di atas nama Ri Bina Niaga dan lima keping cek bernilai RM1,260,000 atas nama Kunci Niaga yang kesemuanya milik Tetuan Alira & Co. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 5, 6 April dan 2 Ogos lalu.
Seterusnya, tertuduh Mohd. Azizi yang turut dituduh di hadapan Rozilah didakwa menerima wang berjumlah RM1,250,000 melalui tiga keping cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Alira & Co yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 30 Mac dan 6 Jun lalu. (Kosmo!)

Tuesday, 1 November 2016

Anak Melayu hasilkan jam tangan mewah setanding negara luar


masa6
Oleh Siti Shafiah Ariffin
KUALA LUMPUR, 1 Safar 1438H, Selasa – Di sebalik jadual yang padat sebagai pegawai perubatan di sebuah institusi pengajian tinggi, Dr Ahmad Syahid Mohd Fadzil, 35, mampu merekacipta pelbagai jam tangan mewah untuk pelanggannya.
Beliau yang mengasaskan MASA Horlogerie atau Horologi Warisan pada 2015 telah merekacipta pelbagai jenis jam tangan mewah, dengan kebanyakannya memaparkan motif unik tradisional negara ini.
Dr Ahmad Syahid yang mula mengenali jam tangan sejak berusia lima tahun dan meminati jam mekanikal ketika berumur 14 tahun, kini merekacipta jam tangan mewah sebagai satu hobi yang turut mendatangkan keuntungan kepadanya.
“Saya mula merekacipta jam saya sendiri sejak berumur 16-17 tahun, dan terlibat secara serius dalam merekacipta (jam) pada 2012. Saya mula menghasilkan jam MASA pada 2014 dan edisi pertama dihasilkan dari workshop kami di Swiss pada November 2015.
“Semua komponen jam berkenaan adalah hasil buatan tangan dari Switzerland bagi mematuhi pensijilan Swiss Made. Kami dapatkan bahan-bahannya dari banyak kawasan di Switzerland bagi menjamin kualitinya,” katanya, baru-baru ini.
Dr Ahmad Syahid berkata beliau memperuntukkan masa terluangnya setiap hari untuk hobinya, termasuk mengurus keperluan reka bentuk, teknikal dan perkara lain.
“Memandangkan perbezaan masa yang strategik antara Malaysia dan Switzerland, saya dapat berurusan dengan workshop dan rakan-rakan perniagaan di Switzerland di luar waktu pejabat.
“Bagi saya pengurusan masa yang strategik adalah penting dalam menjalani kehidupan ‘multitasking’, apatah lagi dalam bidang perubatan yang memerlukan komitmen tinggi. Walau bagaimana sibuk sekalipun, keluarga dan anak perlu sentiasa diutamakan,” katanya.
Beliau berkata minatnya untuk mendalami bidang pembuatan jam tangan tidak direstui keluarganya, dan menyebabkan beliau menyambung pengajian dalam bidang perubatan yang padanya mempunyai kaitan dengan pembuatan jam.masa2
“The closest yang saya dapat adalah medicine, sebab dua benda ini adalah gabungan beberapa sistem yang berbeza tapi dia synchronize dan dia ada function tertentu. Daripada situ, selepas medical saya tetap jadi appraiser untuk jam, kalau orang nak beli jam orang tanya saya. Boleh kata saya dari jam ke doktor ke jam semula,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
Dr Ahmad Syahid berkata kemenangannya dalam anugerah Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) Entrepreneurial Challange yang dianjurkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) pada 2014 telah menjadi batu loncatan kepadanya untuk memulakan perniagaan pada 31 Ogos tahun lepas.
Ia adalah pembelajaran sendiri melalui pengalaman dan buku-buku mengenai jam, memandangkan tiada cabang teratur untuk belajar bidang ini di Malaysia dan beliau pula ada jam lain untuk menjalankan latihan.
“Membuat jam agak mudah tetapi untuk mereka satu jam yang unik memerlukan inspirasi dan tumpuan. Oleh sebab itu, saya memilih warisan Malaysia sebagai keunikan MASA,” katanya.
Dr Ahmad Syahid berkata, terdapat lima model yang telah dihasilkan iaitu Premier Edition Statesmen7 untuk lelaki, Chronoqueen bagi wanita, edisi khas Artitus dan dua edisi istimewa sempena Hari Kebangsaan serta satu model baharu yang akan diperkenalkan pada November ini, iaitu Kerabat Series.
“Daripada semua model yang kita hasilkan, sekarang hanya tinggal satu saja model, lain semua dah habis dijual. Premier edition kita ada 200, Artitus (empatat unit dan Merdeka kita ada 36 unit,” katanya.
“Jam kami berharga antara RM1,000 dan RM30,000 bergantung kepada ciri-ciri teknikal, kerumitan, bahan, kumpulan dan edisi. Kos bagi menghasilkan jam pula adalah berbeza-beza,” katanya.
Dr Ahmad Syahid berkata MASA Horlogerie turut menampilkan elemen poster zaman merdeka yang dijadikan ‘typography’ dalam permukaan jam dan penggunaan nama sempena Hari Kebangsaan iaitu Statesmen57 yang dijual pada harga RM1,957 untuk mekanikal dan RM3,108 untuk automatik.
masa3
Beliau berkata penghasilan jam yang berkualiti pada harga berpatutan menjadi antara sebab utama jam tangan hasil keluaran syarikatnya mendapat permintaan yang tinggi walaupun baru bertapak dalam industri ini.
Beliau juga menerima tempahan daripada pelanggan yang inginkan lebih elemen Malaysia dalam penghasilan jam tangan dan beliau akan mengukir sendiri jam tangan itu sebelum dihantar ke Switzerland untuk dihasilkan.
Kualiti jam tangan MASA Horlogerie setanding dengan beberapa nama besar dalam industri jam tangan Switzerland, memandangkan ianya menggunakan komponen-komponen buatan Swiss sepenuhnya dan memenuhi piawaian Swiss Made yang ketat, katanya yang turut menyertai pameran jam “A Journey Through Time” di Starhill Gallery baru-baru ini.
“Rekabentuk dan ciri-ciri teknikal semua in-house di galeri kami tapi penghasilan semua dilakukan sepernuhnya di Switzerland. Kita memang ikut accreditation dari sana.
“Setiap jam tangan yang dihasilkan mempunyai elemen, kelainan dan penceritaan masing-masing seperti koleksi ‘Songket Bunga Pecah Lapan’ kerana ia sebagai simbol kepada ‘a beginning of birth’, ‘purity’, ‘balance in natural state’ dan ‘harmony of nature’.
Dr Ahmad Syahid berkata koleksi terbaharu iaitu Kerabat Series akan turut menampilkan model istimewa yang diinspirasikan dari sejarah keris Taming Sari sebagai penghargaan kepada kekayaan warisan rakyat Malaysia dan menaikkan nama dan warisan negara melalui industri horologi di mata dunia.
“Koleksi itu nanti jarum jam itu sendiri akan berbentuk keris melambangkan keris Taming Sari,” katanya. – Bernama

McD Pertama Di Perak Akan Ditutup, Walaupun 30 Tahun Operasi, Mengapa?


IPOH – Restoran francais terkemuka McDonald’s yang pertama dan tertua di Perak akan ditutup selepas 30 tahun beroperasi.

Mula dibuka sejak lewat 1980-an, restoran itu yang terletak di Jalan Mustapha Al-Bakry akan ditutup sepenuhnya pada 30 November ini.
Restoran McDonald's yang terletak di Jalan Mustapha Al-Bakry akan ditutup pada 30 November ini selepas 30 tahun beroperasi. - The Star
Semasa The Star melakukan tinjauan, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, semua staf sudah dimaklumkan tentang penutupan itu.
“Satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan hal tersebut tetapi kami tidak mengetahui punca penutupan restoran itu.
“Kami hanya dimaklumkan bahawa semua staf akan dipindahkan ke cawangan lain,” jelasnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Low Yin Fong, 30, menyuarakan kesedihan apabila mendengar berita tersebut.
“Masa zaman sekolah dahulu, tempat ini merupakan salah satu tempat kegemaran untuk kami bertemu dengan rakan-rakan lain.
“Semasa kecil, Arwah pakcik saya selalu membawa saya dan sepupu ke sini untuk menikmati sarapan,” ujarnya.
Selain itu, Yin Fong berkata, restoran berkenaan sangat unik kerana ia terletak di bangunan yang mempunya reka bentuk era penjajahan.
“Tidak semua cawangan McDonald’s mempunyai reka bentuk sebegni.
“Saya akan singgah dan menikmati makanan di sana buat kali terakhir,” jelasnya.
Bagi seorang peniaga yang dikenali sebagai S.K. Lim, 46, berkata, tidak banyak cawangan restoran makanan segera di Ipoh ketika zaman mudanya.
“Ketika itu, jika dapat makan di McDonald’s dianggap sebagai mewah.
“Sebulan sekali, saya akan bawa keluarga saya makan di sana ketika anak saya masih kecil.
“Kedua-dua anak saya suka pergi ke sana. Mereka sangat seronok kerana dapat bermain di ruang permainan kanak-kanak di tingkat satu.
“Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke sana.  Sekarang McDonald’s boleh didapati di mana-mana sahaja,” tambahnya. – mStar Online

Thursday, 20 October 2016

Keistimewaan Kewangan Islam Dalam RINGGIT 101

RINGGIT 101 TALK SHOW

DEBARAN kian dirasa menjelang pembentangan bajet 2017 yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 21 Oktober 2016 ini. Pastinya, tema mensejahtera kehidupan rakyat mampu diterjemah dengan baik dan dilaksanakan dalam menaiktaraf kehidupan rakyat Malaysia.
Tidak mahu ketinggalan, TV AlHijrah mengambil ruang dan peluang dalam menanti pembentangan bajet 2017 dengan menerbit dan menyiar sebuah rancangan bual bicara kewangan Bahasa Inggeris iaitu RINGGIT 101. Program ini mendapat tajaan Hong Leong Islamic Bank.
RINGGIT 101 akan disiarkan pada Khamis (20/10/2016) dan Jumaat (21/10/2016) jam 9 malam selama 30  minit yang penuh manfaat.
Program RINGGIT 101 yang diterbitkan oleh Syafinah Othman adalah sebuah perbincangan santai namun berinformasi mengenai analisis potensi dan peluang yang ditawarkan sistem kewangan Islam berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada.
Umum mengetahui, masyarakat dunia kini mula membuka mata dan mengakui akan keberkesanan sistem kewangan Islam di dalam mengatur kehidupan kewangan masyarakat perdagangan.
Hakikat bahawa ekonomi yang bertunjangkan Tauhid dan prinsip Syariah Islamiah kini diterima umum mempunyai kelebihan tersendiri dalam membuka mata dan minda masyarakat dunia.
Oleh itu, RINGGIT 101 menampilkan panel khas iaitu Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dan Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Prof. Madya Dr. Aznan Hasan bagi membincangkan dengan lebih mendalam kekuatan dan tunggak penggerak sistem kewangan Islam yang telah mula dibentuk secara berperingkat dari zaman Baginda Rasulullah SAW lagi.
RINGGIT 101
Menerusi rancangan ini, penonton setia TV AlHijrah berpeluang untuk mengetahui secara mendalam segenap informasi yang diperlukan perihal kewangan Islam pada masa ini.
RINGGIT 101 juga dilihat mampu membuka mata umat Islam dalam mempertahankan sistem kewangan Islam yang benar-benar mapan ke arah merealisasikan ummah yang cemerlang daripada aspek sahsiah, jasmani, emosi, rohani dan ekonominya.
Secara khususnya, tajuk-tajuk yang akan dikupas oleh Zoraya dan panel jemputan adalah seperti Shariah Minds in Islamic Finance dan Muslim Characteristic Check List.
Jangan lupa untuk menyaksikan dua episod Ringgit 101 di TV AlHijrah. TV AlHijrah juga menyiarkan pembentangan bajet 2017 secara langsung pada Jumaat, 21/10/2016, tepat jam 3 petang.



Thursday, 13 October 2016

Elak cukai RM4 juta, Dr Vida didakwa hari ini

vida_gst

Usahawan terkenal Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali Dr Vida akan didakwa di Mahkamah Seysen di Ipoh hari ini atas kesalahan mengelak cukai barangan dan perkhidmatan (GST), lapor Berita Harian.
Pengasas syarikat kosmetik Vida Beauty itu akan didakwa dengan 3 kesalahan di bawah Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014, iaitu lewat membuat pendaftaran GST, gagal mengemukakan penyata GST dan gagal membayar cukai itu.
Semua kesalahan Dr Vida itu dipercayai membabitkan jumlah cukai yang tidak dijelaskan berjumlah hampir RM4 juta
Berita Harian memetik sumber berkata jutawan kosmetik itu memamklumkan syarikatnya sudah mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, namun belum menjelaskan cukai GST.
Beliau dilaporkan kecewa kerana tidak dimaklumkan oleh kastam yang dirinya akan dihadapkan ke mahkamah hari ini, sebaliknya hanya mengetahui melalui media.
“Vida mendakwa kes itu berlaku kerana masalah teknikal dan salah faham,” kata sumber dipetik akhbar itu.
Awal tahun ini, produk kecantikan Qu Puteh yang dikeluarkan Vida Beauty terpaksa dipanggil balik selepas diharamkan Kementerian Kesihatan kerana kandungan merkuri. – Free Malaysia Today.

Wednesday, 12 October 2016

Terbakar! "Padamkan Gajet Galaxy Note 7 Anda". -Samsung

PENGGUNA
SEOUL: Syarikat elektronik terkemuka Korea Selatan, Samsung meminta semua pengguna produk Galaxy Note 7 untuk memadamkan telefon pintar itu dan menghentikan penjualan gajet tersebut serta-merta.
Samsung menerusi kenyataannya pada Selasa berkata, langkah itu bagi memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan terhadap kes gajet tersebut terbakar.
Selain itu, Samsung meminta semua syarikat telekomunikasi di seluruh dunia untuk menghentikan penjualan Galaxy Note 7 dan tidak melakukan pertukaran peranti memandangan masalah yang sama masih berulang.
"Pengguna yang memiliki Galaxy Note 7 yang asal atau yang telah diganti perlu memadamkan peralatan tersebut dan tidak menggunakannya lagi," jelas Samsung.
Keputusan syarikat tersebut menarik semula penjualan Galaxy Note 7 buat kali kedua dalam tempoh kurang dua bulan bukan sahaja menimbulkan keraguan terhadap kualiti produk Samsung tetapi memberi kesan terhadap kewangan dan reputasi firma berkenaan. (mStar)

Tuesday, 11 October 2016

Negara Muflis, Jika Hutang RM800 Bilion, Tidak Mampu Dijelaskan. -Dr M

Hasil carian imej untuk dr mahathir
MELAKA, 11 OKT: Malaysia berhadapan risiko sebagai negara muflis sekiranya hutang yang hampir mencecah RM800 bilion titi, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Katanya, keadaan ini menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ‘menjual’ negara ini sedikit demi sedikit untuk membayar hutang akibat kegagalan beliau menguruskan ekonomi negara dengan cekap dan amanah.

"Najib dah rosakkan negara kita. Sekarang ini hutang kerajaan dah meningkat hampir RM800 bilion. Nak bayar duit dari mana? Esok kita kena jual negara sedikit demi sedikit.
“Sekarang ini pun Najib dah jual negara kepada orang asing. Beli kilang elektrik dengan harga yang mahal jual kepada orang asing negara China dengan harga yang cukup murah. Ini perniagaan yang ‘bijak’, beli harga mahal, jual harga murah sebab itu dia bankrap.
“Demikian juga tanah dijual. Tanah Iskandar dijual, tanah TRX di Kuala Lumpur dijual kepada orang Indonesia. Inilah kerja Najib. Jual habis tanah buat bayar hutang. Adakah kita biarkan dia jual negara kita? Ini negara kita, kita tak boleh nak ke mana-mana,” kata Dr Mahathir.
Beliau  berkata demikian pada Siri Jelajah Penerangan 1MDB – 1 Malaysia Dalam Bahaya di Taman Paya Dalam di sini, malam tadi.
Jelasnya, keadaan ini membuktikan Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia ekoran sikap tidak bertanggungjawab dan tidak amanahnya yang menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang yang tinggi.
“Kerajaan tak dapat bayar hutang apa dia buat? Suruh rakyatlah bayar sebab itulah kenakan GST, tol naik tinggi, minyak tak ada subsidi untuk bayar hutang. Kalau tak bayar hutang negara jadi muflis,” katanya lagi.
Ketika menyentuh hutang melibatkan skandal 1MDB pula, Dr Mahathir menjelaskan hutang yang pada asalnya berjumlah RM40 bilion kini melonjak lebih RM60 termasuk faedah yang dikenakan. (S'gorkini)