Wednesday, 14 December 2016

Pasaraya Lulu Hypermarket Akan Dibuka Di Kawasan Masjid India, KL.


DUBAI: Rangkaian pasar raya terbesar di Timur Tengah, Lulu Hypermarket, akan melebarkan sayapnya ke Malaysia dengan membuka premis pertamanya di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur, tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat bertemu dengan beberapa pengarah kanan Lulu Group International, yang memiliki rangkaian lebih 100 pasar raya besar Lulu di rantau ini, di sini atas jemputan pengasas kumpulan rangkaian pasar raya itu, Yousuf Ali M.A., sempena lawatan kerja lima harinya ke Dubai.
Muhyiddin berkata pertemuan itu membolehkan perbincangan lanjut diadakan berhubung langkah-langkah dan cadangan-cadangan berkaitan operasi pasar raya besar yang menjual dan memasarkan produk halal itu di Malaysia.
Beliau berkata Lulu, yang difahamkan akan melabur kira-kira USD200 juta untuk operasi di Malaysia, akan membuka lima cawangan pada peringkat awal di Malaysia, dengan Felda dipilih sebagai rakan kongsi.
"Ini pertama kali kumpulan ini melakukan usaha sama (dengan syarikat lain untuk operasi) kerana mereka sendiri mempunyai keupayaan," katanya kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan itu dan melawat premis pasar raya Lulu di sini yang turut menjual produk Malaysia.
Perjanjian bagi kerjasama antara Lulu, yang berpangkalan di Abu Dhabi, dengan Felda itu akan dimeterai tidak lama lagi, sama ada di Abu Dhabi, Dubai atau Kuala Lumpur, katanya.
Muhyiddin berkata dalam perbincangan itu juga beliau mencadangkan kerjasama itu diperluas bagi membolehkan produk Malaysia dieksport dan dipasarkan di luar negara seperti produk makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan tropika melalui Lulu, yang mempunyai operasi yang luas.
"Dengan kerjasama strategik seperti ini, bermakna produk Malaysia dapat dipasarkan ke Timur Tengah dan di mana-mana cawangan Lulu seperti di Indonesia," katanya, sambil menambah bahawa Lulu mencatatkan nilai pusingan jualan kira-kira USD5 bilion setahun.
Dalam perbincangan itu juga, Lulu bersetuju membentuk kerjasama bagi menggalakkan penubuhan ladang-ladang kontrak, contohnya bagi mendapatkan keperluan produk sayuran dari kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highlands, katanya.
"Dengan adanya persefahaman ini banyak hasil petani kita dapat dieksport. Kerjasama ladang kontrak boleh memberi peluang pada petani kita," katanya, sambil menambah wakil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah dimaklumkan bagi mengambil langkah mewujudkan kerjasama rasmi bagi ladang kontrak itu.
Dalam pertemuan itu, Muhyiddin berkata Lulu juga membangkitkan perkara berkaitan logistik, terutama berkaitan pengangkutan udara, bagi membawa produk dan barangan mudah rosak.
Katanya perkara itu akan dibawa kepada perhatian Malaysia Airlines agar mengenakan caj kargo yang tidak terlalu mahal.
Ditanya mengenai kesan pembukaan pasar raya besar Lulu di Malaysia, Muhyiddin berkata pembukaan lebih banyak pasar raya besar akan memberi persaingan yang lebih sihat, yang menguntungkan pengguna.
"Kerajaan tidak sekat, persaingan jadi sihat dan bantu kekalkan harga yang kompetitif," katanya.
Pengarah Eksekutif Lulu Group International Ashraf Ali M.A. berkata pasar raya syarikat itu tidak menjual alkohol dan akan memastikan harga produknya kompetitif.
Menerusi pakatan dengan Felda, beliau berkata Felda akan mendirikan bangunan manakala Lulu mengurus operasi pasar raya. (mStar)

Tuesday, 13 December 2016

S’pura Buang Ramai Pekerja, Paling Tinggi Sejak 2009.


Hasil carian imej untuk singapura buang pekerja

SINGAPURA: Bilangan pekerja yang ditamatkan perkhidmatan di Kota Singa itu mencapai angka tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dalam 9 bulan pertama tahun ini– tertinggi sejak kegawatan ekonomi tahun 2009 lalu, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Buruh (MOM) pada Selasa.

Sejumlah 13,730 oramg pekerja telah diberhentikan kerja pada 9 bulan pertama 2016, berbanding 10,220 dalam tempoh masa yang sama tahun lalu.
Menurut laporan pasaran buruh kementerian tersebut, jumlah itu adalah yang tertinggi sejak tahun 2009 apabila 21,210 orang pekerja ditamatkan perkhidmatan.
Semasa suku ketiga 2016, 4,220 orang tenaga buruh telah dibuang kerja berbanding 4,800 pada suku kedua, namun lebih tinggi daripada 3,460 yang diberhentikan pada suku yang sama tahun lalu.
Golongan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik yang membentuk majoriti (73 peratus) jumlah pekerja di Singapura lebih berkemungkinan tinggi untuk diberhentikan kerja, menurut laporan MOM lagi.
Sementara itu, mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan tertiari juga masih terkesan dengan fenomena ini.
“Penguncupan jumlah pekerjaan, tahap lebihan tenaga kerja tidak diperlukan yang meningkat dan penurunan jumlah jawatan kosong kepada nisbah menganggur mencerminkan keadaan ekonomi global semasa yang lemah serta penstrukturan semula ekonomi semasa,” kata kementerian itu lagi.
Ia menambah bahawa badan triparti akan terus membantu pekerja-pekerja yang terlibat untuk mencari pekerjaan baru.


Sunday, 11 December 2016

Perkasakan Industri Pertanian, Kurangkan Import Makanan -Ir Khairil Nizam




Kenyataan Media 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

Sabtu, 10 Disember 2016 | 10 Rabiul Awal 1438H

Dewan Pemuda PAS Malaysia ( DPPM ) menyeru Kerajaan menyahut seruan Presiden PAS Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang supaya menjadikan pertanian sebagai salah satu industri utama negara. Gesaan itu di buat ketika Tuan Guru Presiden PAS melawat MAHA 2016 di Serdang, Selangor baru-baru ini. Menurut beliau, sains bukan hanya teknologi semata – mata, seperti negara – negara maju, mereka menggunakan sains untuk memajukan serta memodenkan sistem pertanian mereka sehingga keperluan makanan negara mereka mencukupi.
DPPM berpendapat sudah sampai masanya industri pertanian perlu di perkasakan serta di modenkan ke tahap yang lebih tinggi. Jika di lihat rata – rata amalan pertanian didalam negara samada dalam skala kecil mahupun besar masih di tahap tidak memuaskan atau tidak mencapai sasaran pengeluaran makanan negara. Akibat dari itu, negara mengimport makanan dalam jumlah yang cukup besar bagi menampung kekurangan pengeluaran makanan dalam negara
Natijahnya, Malaysia masih lagi mengimport dalam skala yang besar untuk menampung kekurangan bekalan makanan dalam negara. Untuk tahun 2014, import makanan negara berjumlah RM 42.6 Billion, manakala untuk tahun 2015, import makanan negara naik sebanyak RM 2.8 Billion kepada RM 45.4 Billion. Namun 4 tahun sebelumnnya, jumlah import makanan negara hanyalah berjumlah RM 30.2 Billion, satu kenaikan mendadak yang cukup besar dalam tempoh masa yang singkat.
Kerajaan perlu mengambil inisiatif dengan kadar segera bagi menangani masalah ini. Dalam jangka masa panjang, ianya akan membawa kesan negetif kepada negara yang akan bergantung sepenuhnya kepada negara luar untuk bekalan serta sumber makanannya. Tahun 2014, Jabatan Pertanian melaporkan terdapat kira – kira 120,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara. Dengan keluasan yang sebegitu besar, tanah – tanah yang tidak produktif ini perlu di guna pakai untuk mendatangkan hasil kepada negara terutamanya untuk sektor pertanian.
Selain daripada tanah terbiar yang tidak produktif terbentang luas di seluruh negara, jumlah tenaga buruh yang menggangur juga agak besar jumlahnya. Menurut Perangkaan Utama Tenaga Buruh Malaysia, sehingga Januari 2015 seramai 442,000 tenaga buruh di kategorikan sebagai penggangur. Dengan seramai itu jumlah tenaga buruh yang menggangur dan jumlah keluasan tanah terbiar, Kerajaan terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Sumber Manusia perlu memikirkan kaedah terbaik untuk memanfaatkan sumber yang ada untuk menjayakan agenda menambah sumber makanan negara.
Kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk merealisasikan agenda ini. Ia memerlukan perancangan jangka panjang yang teliti serta kolaberasi dan makenisma yang tersusun di antara Kementerian, Jabatan serta Agensi Kerajaan yang terbabit jika mahu mencapai sasaran serta agenda terbabit. Kajian saintifik serta R & D yang berkesan mampu merealisasikan agenda ini. Kerajaan perlu memanfaatkan segala sumber yang ada agar Malaysia tidak menjadi negara pengimport tegar sumber makanan untuk rakyatnya dalam jangka masa panjang.
DPPM menyeru agensi – agensi Kerajaan seperti Mardi, FAMA dan Jabatan Pertanian memainkan peranan penting dalam memperkasakan industri pertanian terutama dalam menambah nilai serta memperbanyakkan hasil pengeluaran makanan negara. Dengan tenaga pakar, sumber tenaga kerja, tanah terbiar serta kemahiran yang ada, Malaysia sebenarnya mampu melonjakkan industri pengeluaran makanan negara. Jangan hanya berkantung budget dan peruntukkan yang besar namun hakikatnya kita masih lagi meminta belas orang lain untuk sesuap nasi.
“ Bertekad Melebar Muafakat"
" Inilah Penyelesaian Kita ”
IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).



Wednesday, 7 December 2016

Jual telur masin RM12,000 sebulan


Seawal jam 6 pagi setiap hari, pintu reban yang menempatkan kira-kira 1,100 itik dibuka bagi membolehkan ternakan itu ‘bersiar-siar’ dan mencari makan sekitar kawasan sawah padi.
Terdapat empat reban semuanya yang ditempatkan berhampiran kawasan sawah di Kampung Che Mali, Bayu Lalang, Pasir Mas, Kelantan.
Che Hassan Che Mood, 57, berkata, itik peliharaannya akan menjalani rutin itu pada setiap pagi supaya bebas, sekali gus mengelak tertekan akibat dikurung.
Langkah itu juga katanya, sebagai cara memastikan ternakan itu dapat menghasilkan telur berkualiti sebelum telur berkenaan diperam untuk menjadi telur masin yang kini satu perusahaan buat keluarga Che Hassan.
“Setiap hari, hasil telur yang dikutip sekitar 860 hingga 950 biji dan ia akan dikumpulkan di bengkel untuk penyediaan telur masin.
“Kerja itu dibantu beberapa penduduk kampung yang diberi upah harian. Ada juga pekerja tetap,” katanya ketika ditemui di kawasan penternakannya, baru-baru ini.
Che Hassan memberitahu, penternakan itik dan perusahaan telur masinnya sudah bermula sejak tiga tahun lalu dengan peringkat awal bermula dengan 50 itik sumbangan kerajaan negeri.
Katanya, tidak susah memelihara itik kerana dia lebih gemar ternakan itu bebas mencari makanan sendiri di sawah padi kerana ia lebih aktif.
“Itik yang dilepas bebas akan lebih aktif dan mudah mengawan selain kawasan sawah mempunyai banyak siput yang baik untuk ketahanan fizikalnya.
“Namun ada juga makanan tambahan yang saya beri supaya lebih sihat. Bagi penghasilan telur pula, ia bergantung kepada cuaca.
“Jika musim hujan, telur yang dihasilkan berkurangan sedikit kerana persekitaran yang sejuk berbanding ketika cuaca normal,” katanya yang sebelum ini mengusahakan sawah padi.
Apabila terpilih mengikuti Program Azam Tani kelolaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Che Hassan dididik menjadi usahawan bermula dengan 50 itik.
Menurutnya, bimbingan dan modal MARDI membolehkan dia mengembangkan perusahaan telur itik susulan bilangan ternakan yang meningkat.
Jumlah itiknya bertambah sehingga 1,100 ekor ketika ini dengan sumber pembekal utamanya diperoleh daripada penternak di Perak yang menjualnya dengan harga RM7 seekor.
“Saya akan membeli itik baru untuk memastikan kuantiti telur yang dihasilkan dapat menampung permintaan pelanggan.
“Seekor itik matang yang sihat mampu mengeluarkan telur empat kali. Namun ia tergantung kepada keadaannya juga.
“Apabila bilangan telur bertambah, telur masin dibuat sebagai nilai tambah kepada perusahaan,” katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM450 sehari hasil jualan telur masin dan telur mentah.
Bagi memudahkan pergerakan, MARDI turut memberikan motosikal roda tiga kepada Che Hassan yang dimanfaatkan untuk penjualan telur itik sekitar Kelantan.
“Setiap hari saya yang dibantu isteri, Wan Naimah Wan Yaakub, 48, memproses 2,000 biji telur masin yang dibekalkan kepada peraih di sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah.
“Mereka datang mengambil sendiri di sini dan ada juga yang saya hantar ke pasar,” katanya.
Che Hassan berkata, penghasilan telur masinnya sedikit berbeza kerana menggunakan kaedah rendam dengan air garam atau dijerukkan berbanding kebanyakan telur masin disalut dengan tanah liar atau arang.
Rasa telur masin itu bagaimanapun masih sama.
“Memproses telur masin cukup mudah bagi saya kerana bahan yang digunakan ialah air yang dimasak bersama garam, daun pandan dan asam keping.
“Penggunaan air garam bersama daun pandan dan asam keping bagi mengelak telur yang direbus berbau hanyir.
“Sebelum itu, telur berkenaan perlu dijemur di bawah cahaya matahari selama 20 minit bagi memastikan ia benar-benar kering selepas dibersihkan.
“Kemudian ia direndam dengan air masin dan disimpan di dalam bekas tertutup selama 12 hari bagi memastikan rasa masin menyerap ke dalam telur,” katanya.
Dia juga mempunyai alat sukatan khas untuk mengukur tahap pemasinan air garam dan bacaan biasa yang digunakan adalah antara 80 hingga 90.
“Lagi tinggi bacaan kandungan itu lagi bagus kerana telur masin boleh tahan lebih lama,” katanya yang akan memeriksa setiap telur selepas proses merendam bagi memastikan tiada yang buruk atau pecah sebelum dijual kepada pelanggan.
Katanya, harga jualan borong bagi setiap biji telur itik mentah ialah 44 sen manakala telur masin 65 sen.
“Kami menjual telur masin dalam bekas berisi 30 biji dengan harga RM25, manakala bagi 100 biji pula berharga RM65.
“Bagi mengembangkan pasaran telur masin, MARDI akan mengambil 250 balang besar berisi 30 biji telur masin untuk dipasarkan di Lembah Klang.
“Dengan menjual telur itik hasil penternakan ini, ia secara tidak langsung mengubah kehidupan kami sekeluarga, malah terkeluar daripada garis kemiskinan apabila mampu memperoleh pendapatan kasar RM12,000 sebulan,” katanya.

Peniaga Raih Pulangan Lumayan Jual Kuih Putu Halba


Kuih Putu Halba

KOTA BHARU – Seiring dengan ketibaan musim tengkujuh di Kelantan, peniaga kuih putu halba, sejenis kuih tradisional diperbuat daripada ubi kayu yang dikisar bersama halba dan dikukus, turut muncul umpama cendawan yang muncul selepas hujan.

Seperti selalunya, peniaga putu halba, mampu memperolehi pendapatan lumayan, sehingga ada yang meraih jualan mencecah RM500 sehari.
Kuih berbentuk bulat seperti piring berintikan gula Melaka dan gula pasir dimakan bersama kelapa parut, enak dimakan ketika masih panas, seringkali dijual di gerai-gerai kecil yang dibuka khusus pada musim tengkujuh.
Seorang peniaga, Mohd Rosli Ghani, 42, ketika ditemui Bernama di kedainya di Kampung Chawas, Tanah Merah, berkata kuih itu hanya dijual pada musim tengkujuh memandangkan bekalan ubi kayu yang mudah diperoleh.
“Masyarakat dahulu sering tanam ubi kayu pada awal tahun untuk dijadikan sebagai persediaan bekalan makanan ketika musim tengkujuh bermula,” katanya.
Apabila hujan bermula, penanam ubi akan menuai tanaman ubi mereka bagi mengelak ia rosak sekiranya ditenggelami air, katanya.
Mohd Rosli berkata bagi proses pembuatan putu halba, ubi kayu akan diparut halus sebelum dimasak menggunakan cara dikukus dan ia dilakukan di gerai-gerai yang biasanya dibuka di tepi jalan.
Katanya, ia bukan pemandangan yang luar biasa apabila pelanggan terpaksa beratur, adakalanya dalam keadaan berpayung dalam hujan menunggu lama untuk membeli kuih terutama pada waktu petang.
“Kuih ini sangat laku (laris) terutama ketika hujan lebat. Saya mampu raih pendapatan sehingga RM500 sehari dengan hanya menjual kuih ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga Ramlah Hussin, 53, berkata setiap kali tibanya musim tengkujuh beliau tidak akan melepaskan peluang menjual kudapan ringan itu kerana ia menjadi ‘buruan’ oleh penggemarnya.
“Dengan menjual makanan itu pada musim ini saya mampu meraih pendapatan antara RM100 dan RM200 sehari kerana ia mendapat pemintaan tinggi,” katanya. – BERNAMA


Tuesday, 6 December 2016

MAHA 2016: Presiden PAS ucap terima kasih




KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua urusetia dan pegawai MAHA 2016 yang terbabit semasa lawatannya semalam. Perkara itu dinyatakan dalam facebook beliau hari ini.

“Sukacita saya merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua urusetia dan pegawai MAHA 2016 yang telah menjemput, mengurus dan melayan saya dan rombongan semasa lawatan ke tapak MAHA 2016 semalam ( 5.12.2016 ).

“Semoga usaha meningkatkan hasil pertanian negara mencapai kejayaan,” ujar beliau.

MAHA 2016 berlangsung dari 1 Disember hingga 11 Disember di MAEPS, Serdang dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

MAHA mempamerkan terkini dalam teknologi pertanian, makanan agro dan produk dan perkhidmatan berasaskan pertanian.

Pameran kali ini bertemakan "Makanan Kita Masa Depan Kita - Our Food Our Future", dan menampilkan kira-kira 1,500 gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk penyertaan peserta luar negara.

Tiada tiket atau bayaran dikenakan untuk masuk ke Pameran MAHA 2016. Hanya tapak letak kereta akan dikenakan bayaran RM5 untuk sebuah kereta. – HARAKAHDAILY 6/12/2016

Trump bidas dasar ekonomi China



AP - TRUMP bercakap semasa pertemuannya dengan Presiden Barack Obama di White House, Washington D. C. pada 10 November lalu.

WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump me­rungut tentang dasar ekonomi dan ketenteraan China di Twitter kelmarin tanpa petanda untuk berdamai selepas perbualan telefon beliau dengan Pre­siden Taiwan, Tsai Ing-wen mencetus kemarahan Beijing.
Perbualan telefon luar biasa antara Trump dan Ing-wen Jumaat lepas mengundang bantahan diplomatik terhadap AS pada hari berikutnya.
Perbualan tersebut adalah yang pertama sejak Presiden Jimmy Carter mengiktiraf dasar Satu China pada 1979.
Bakal Naib Presiden AS, Mike Pence cuba meredakan keadaan apabila menyatakan panggilan Ing-wen sebagai menghormati Trump dan bukan petanda AS mengubah dasarnya tentang China.
Namun, Trump, 70, yang sebelum ini berjanji akan melabel China sebagai pemanipulasi mata wang masih meneruskan retorik kerasnya kelmarin.
“Adakah China pernah bertanya kepada kita adakah baik untuk menurunkan mata wang yuan (mengakibatkan syarikat kita sukar bersaing), mengenakan cukai tinggi ke atas produk AS di negara mereka (AS tidak mengenakan cukai ke atas produk China) atau membina kompleks ketenteraan besar di tengah Laut China Selatan? Saya rasa tidak!” kata Trump.
China, Taiwan, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei menuntut sebahagian atau keseluruhan Laut China Selatan yang menjadi laluan perdaga­ngan bernilai beberapa trilion dolar setiap tahun.
China menyalahkan Taiwan berhubung panggilan telefon itu tetapi turut mengemukakan bantahan terhadap AS Sabtu lepas dengan menegaskan bahawa dasar Satu China perlu menjadi teras hubu­ngan antara Beijing dan Washing­ton. – Reuters