Sunday 11 December 2016

Perkasakan Industri Pertanian, Kurangkan Import Makanan -Ir Khairil Nizam




Kenyataan Media 
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

Sabtu, 10 Disember 2016 | 10 Rabiul Awal 1438H

Dewan Pemuda PAS Malaysia ( DPPM ) menyeru Kerajaan menyahut seruan Presiden PAS Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang supaya menjadikan pertanian sebagai salah satu industri utama negara. Gesaan itu di buat ketika Tuan Guru Presiden PAS melawat MAHA 2016 di Serdang, Selangor baru-baru ini. Menurut beliau, sains bukan hanya teknologi semata – mata, seperti negara – negara maju, mereka menggunakan sains untuk memajukan serta memodenkan sistem pertanian mereka sehingga keperluan makanan negara mereka mencukupi.
DPPM berpendapat sudah sampai masanya industri pertanian perlu di perkasakan serta di modenkan ke tahap yang lebih tinggi. Jika di lihat rata – rata amalan pertanian didalam negara samada dalam skala kecil mahupun besar masih di tahap tidak memuaskan atau tidak mencapai sasaran pengeluaran makanan negara. Akibat dari itu, negara mengimport makanan dalam jumlah yang cukup besar bagi menampung kekurangan pengeluaran makanan dalam negara
Natijahnya, Malaysia masih lagi mengimport dalam skala yang besar untuk menampung kekurangan bekalan makanan dalam negara. Untuk tahun 2014, import makanan negara berjumlah RM 42.6 Billion, manakala untuk tahun 2015, import makanan negara naik sebanyak RM 2.8 Billion kepada RM 45.4 Billion. Namun 4 tahun sebelumnnya, jumlah import makanan negara hanyalah berjumlah RM 30.2 Billion, satu kenaikan mendadak yang cukup besar dalam tempoh masa yang singkat.
Kerajaan perlu mengambil inisiatif dengan kadar segera bagi menangani masalah ini. Dalam jangka masa panjang, ianya akan membawa kesan negetif kepada negara yang akan bergantung sepenuhnya kepada negara luar untuk bekalan serta sumber makanannya. Tahun 2014, Jabatan Pertanian melaporkan terdapat kira – kira 120,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara. Dengan keluasan yang sebegitu besar, tanah – tanah yang tidak produktif ini perlu di guna pakai untuk mendatangkan hasil kepada negara terutamanya untuk sektor pertanian.
Selain daripada tanah terbiar yang tidak produktif terbentang luas di seluruh negara, jumlah tenaga buruh yang menggangur juga agak besar jumlahnya. Menurut Perangkaan Utama Tenaga Buruh Malaysia, sehingga Januari 2015 seramai 442,000 tenaga buruh di kategorikan sebagai penggangur. Dengan seramai itu jumlah tenaga buruh yang menggangur dan jumlah keluasan tanah terbiar, Kerajaan terutamanya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Sumber Manusia perlu memikirkan kaedah terbaik untuk memanfaatkan sumber yang ada untuk menjayakan agenda menambah sumber makanan negara.
Kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik untuk merealisasikan agenda ini. Ia memerlukan perancangan jangka panjang yang teliti serta kolaberasi dan makenisma yang tersusun di antara Kementerian, Jabatan serta Agensi Kerajaan yang terbabit jika mahu mencapai sasaran serta agenda terbabit. Kajian saintifik serta R & D yang berkesan mampu merealisasikan agenda ini. Kerajaan perlu memanfaatkan segala sumber yang ada agar Malaysia tidak menjadi negara pengimport tegar sumber makanan untuk rakyatnya dalam jangka masa panjang.
DPPM menyeru agensi – agensi Kerajaan seperti Mardi, FAMA dan Jabatan Pertanian memainkan peranan penting dalam memperkasakan industri pertanian terutama dalam menambah nilai serta memperbanyakkan hasil pengeluaran makanan negara. Dengan tenaga pakar, sumber tenaga kerja, tanah terbiar serta kemahiran yang ada, Malaysia sebenarnya mampu melonjakkan industri pengeluaran makanan negara. Jangan hanya berkantung budget dan peruntukkan yang besar namun hakikatnya kita masih lagi meminta belas orang lain untuk sesuap nasi.
“ Bertekad Melebar Muafakat"
" Inilah Penyelesaian Kita ”
IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).



No comments:

Post a Comment