Saturday 24 December 2016

KWSP keluar daripada FGV, petanda buruk buat peneroka.




PERKEMBANGAN terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melupuskan semua pegangan saham FGV menambahkan lagi keluh resah rakyat Malaysia terhadap kedudukan saham FGV yang mula diniagakan sejak 2012 .

Merujuk kepada laporan beberapa portal berita web, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  menegaskan bahawa pihaknya tidak lagi memegang apa-apa kepentingan saham dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Menurut kenyataan oleh Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, dana persaraan itu memantau prestasi ekuiti FGV sejak beberapa tahun dan secara beransur-ansur menjual pegangan sahamnya.

Pihak KWSP terpaksa melupuskan pemilikan saham ini berdasarkan prinsip mereka mengamalkan tahap piawaian tadbir urus korporat yang tinggi menerusi dasar yang teguh pada kawalan risiko dan Peruntukan Aset Strategik.

KWSP terpaksa menjual semua ekuiti FGV yang mereka miliki secara beransur-ansur sehingga tidak memilikinya lagi sehingga hari ini.

Jika KWSP sudah hilang kepercayaan kepada FGV, bagaimana pula nasib peneroka Felda? Walaupun peneroka Felda memiliki hanya sekitar 2.5 peratus kedudukan dalam keseluruhan saham FGV ia sudah pasti akan memberi kerugian dan kebimbangan masa depan saham mereka.

Peneroka Felda hanya ditawarkan 800 unit saham dengan terpaksa membuat pinjaman daripada intitusi kewangan. Sehingga sekarang sudah empat tahun mereka masih membayar pinjaman ini setiap bulan secara potongan daripada hasil pendapatan jualan buah sawit atau getah mereka.

Mana janji Perdana Menteri untuk menjadikan peneroka Felda menjadi sebahagian golongan yang berpendapatan tinggi setanding dengan negara maju setelah penyenaraian FGV? Apakah sogotan durian runtuh RM15,000 setiap peneroka Felda sebelum penyenaraian FGV dulu satu helah mengunci peneroka Felda untuk membiarkan Felda dibuat sesuka hati oleh pemimpin negara?

Mereka juga bimbang mengenai kedudukan keseluruhan FGV, tanah seluas 360,000 hektar milik Felda sebelum ini juga telah diserahkan kepada FGV, peneroka Felda sebelum ini banyak mendapat faedah dari hasil tanah ini, antaranya peruntukan pembangunan sosial berjumlah RM60juta setahun.

Tanah ini juga mendatangkan hasil kepada kumpulan dari RM1.2 hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Bila diserahkan kepada FGV, Felda dan peneroka sudah hilang suatu aset yang bernilai buat mereka.

Kesanya kepada kumpulan sangat ketara, juga kepada peneroka, sudah ada kumpulan mereka  terpaksa berdemo di hadapan pejabat pengurusan kerana menuntut bayaran hasil jualan sawit mereka. Sebelum ini mereka sudah lama dibayar secara tunai dan tidak tertangguh, kini pihak pengurusan terpaksa meminta penangguhan 2 minggu sehingga sebulan untuk melunaskan bayaran.

Urus tadbir pengurusan tanam semula banyak menghadapi masalah. Felda juga sebelum ini mengaku 60 peratus pokok sawit mereka sudah tua dan perlu urusan penanaman semula segera bagi mengekalkan pengeluaran hasil sawit dan getah.

Apakah jaminan kerajaan untuk menyelesaikan masalah Felda, FGV dan peneroka? Apakah dengan terus mengekalkan Tan Sri Isa Samad selama beberapa tahun lagi menerajui Felda, kerajaan yakin Isa Samad boleh menyelesaikan semua masalah yang sedang melanda?

Peneroka Felda yang kebanyakkanya sudah berumur hanya mampu melihat kerangkusan pemimpin mereka yang selama ini diberi kepercayaan menguruskan Felda agar beramanah dan mampu mengekalkan kecemerlangan Felda kini sudah  terhakis.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat.
23 Disember 2016 / 23 Rabiulawal 1438 – HARAKAHDAILY 23/12/2016

|

No comments:

Post a Comment