Tuesday, 28 February 2017

Tukaran Asing Dalam Negeri Melalui Tempoh Penyesuaian – BNM


KUALA LUMPUR: Pasaran pertukaran asing dalam negeri sedang melalui tempoh penyesuaian dan Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi lebih aktif dalam membekalkan mudah tunai untuk kedua-dua pihak bagi menangani ketidakpadanan permintaan dan penawaran.

Dalam kenyataan pada Isnin, BNM berkata, secara keseluruhan, jumlahnya kekal, dengan lebih banyak aliran dua hala pengeksport dan pengimport pemastautin menyumbang ke arah mudah tunai pasaran di dalam negeri.
“Apabila langkah-langkah ini dilaksanakan sepenuhnya, pasaran boleh menjadi pengantara aliran tanpa perlu penglibatan aktif BNM dalam pasaran,” katanya.
BNM mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh peserta pada bengkel mengenai ‘Perlindungan Nilai Pertukaran Asing Dalam Negeri bagi Pelabur Bukan Pemastautin’, baru-baru ini.
Bengkel itu dianjurkan dengan kerjasama Asia Securities Industry dan Persatuan Pasaran Kewangan (ASIFMA) dan Persatuan Pasaran Kewangan Global (GFMA) dan dihoskan oleh CIMB Bank.
Kira-kira 60 peserta menyertai bengkel itu yang terdiri daripada bank-bank kustodian global, pengurus dana global, penyedia indeks dan pelabur institusi dari Hong Kong, Singapura, Thailand dan Malaysia.
Mereka dihubungkan melalui persidangan video untuk membincangkan isu-isu dan pertanyaan mengenai langkah-langkah pembangunan pasaran kewangan yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan pada 2 Disember lepas.
Peserta membangkitkan kebimbangan terhadap paras mudah tunai yang rendah yang dilaporkan dalam pasaran pertukaran asing ringgit sejak langkah-langkah baharu diperkenalkan dan pengharaman dagangan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF).
Pada bengkel itu, BNM memberi perspektif mengenai mudah tunai pasaran pertukaran asing dalam negeri, iaitu sejak empat tahun lepas, jumlah purata transaksi pertukaran asing keseluruhan pada sekitar AS$2.5 trilion (AS$1 = RM4.44).
Jumlah pasaran harian ialah ukuran yang akan menunjukkan kemampuan peserta untuk menjalankan transaksi dalam pasaran pertukaran asing.
Jumlah purata harian transaksi adalah sebanyak AS$8.6 bilion, dengan jumlah dagangan semerta sejak 2016 berjumlah AS$3.4 bilion, manakala transaksi swap dan hadapan masing-masing berjumlah AS$4.7 bilion dan AS$536 juta.
BNM berkata dengan pengenalan rangka kerja perlindungan nilai yang dinamik dan pasaran perlindungan nilai dalam negeri yang lebih jelas, jumlah transaksi dijangka meningkat dalam jangka panjang dan ini akan memberi jaminan mudah tunai pasaran yang berterusan kepada pelabur bukan pemastautin.
Bank pusat itu berkata di bawah rangka kerja perlindungan nilai pasif, pengurus dana dibenarkan untuk melindung nilai berasaskan transaksi atau portfolio sehingga 100 peratus daripada aset mereka yang dilaburkan.
Pengurus dana boleh membuat penambahan secara berperingkat, menjual semula dan juga membuat penyelesaian bersih perlindungan nilai, katanya.
Di bawah rangka kerja perlindungan nilai dinamik yang baru diperkenalkan, BNM berkata, selepas pengurus dana mendaftar, mereka boleh menguruskan kedudukan pertukaran asing mereka secara aktif, sama ada membeli atau menjual pertukaran asing hadapan, sehingga (sama ada kedudukan panjang atau pendek) 25 peratus bersih daripada aset di bawah pengurusannya.
“Bagi memudahkan operasi, pengurus dana berdaftar tidak dikehendaki menunjukkan bukti dokumen apabila membuat transaksi pertukaran asing hadapan dengan bank di dalam negeri.
“Pemantauan terhadap pengurus-pengurus dana ini akan dilakukan oleh BNM melalui sistem pelaporan pertukaran asing sedia ada (ROMS),” katanya.
Selain itu, dinyatakan pengurus dana mempunyai fleksibiliti untuk mendaftar pada peringkat syarikat atau atas asas dana individu.
BNM berkata sehingga kini, sebanyak 20 institusi di pasaran, yang terdiri daripada 39 dana, telah mendaftar dengannya.
Berhubung dagangan selepas waktu rasmi, BNM berkata, bank di dalam negeri bebas menyebut harga pertukaran asing selepas pasaran Asia ditutup, dan mengambil maklum mengenai kemungkinan pasaran memerlukan sumber mudah tunai dalam negeri semasa tempoh dagangan dilanjutkan.
“Pasaran kami terus terbuka dan kami mengalu-alukan penyertaan pengurus dana asing yang berterusan dalam pasaran ringgit dalam negeri,” katanya.
Penolong Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata dengan langkah-langkah yang diperkenalkan, BNM memberikan lebih fleksibiliti kepada pelabur untuk melabur dan mengurus risiko pertukaran asing mereka. (BERNAMA)
PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

Monday, 27 February 2017

Ratus Ribu Anak Itik Jantan Direbus Hidup-Hidup. Mengapa?




RATUS ribu anak itik jantan telah dibunuh dengan kejam apabila ia direndam dalam air yang mendidih sebelum dimasukkan ke dalam mesin untuk dibuang bulunya.
Anak itik yang telah mati itu kemudiannya dijual kepada peniaga kedai makan atau jalanan.
Situasi berkenaan berlaku setiap hari di China, dengan anak itik jantan akan dibunuh di ladang ternakan, disebabkan ia didapati tidak berguna lagi kerana tidak boleh bertelur.
Manakala anak itik betina pula akan dijual kepada peniaga lain. Justeru jalan mudah untuk membuang anak itik jantan ini dengan cara paling murah adalah dengan merendamnya dalam air panas.
“Setiap hari, peladang akan sibuk untuk membunuh anak itik itu dan kebiasaannya beratus ribu anak itik jantan menunggu untuk dibunuh.
“Pekerja ladang akan mengasingkan itik jantan dan betina dengan itik jantan akan berdepan kematian yang tragik kerana tiada siapa mahu membelinya untuk dibesarkan,’’ kata salah seorang wartawan yang membuat laporan mengenai pembunuhan anak itik jantan itu.
Kaedah ini telah dikecam oleh aktivis namun ia tidak dihiraukan oleh penternak sebaliknya mereka menyatakan ia bukan sesuatu yang unik, sebaliknya dilakukan sejak dulu lagi. 

Mengapa? (IH)
Imej yang berkaitan

Lawatan Raja Arab Saudi ke Malaysia buka peluang pelaburan baharu


KUALA LUMPUR: Kunjungan rasmi kali pertama Raja Salman Abdul Aziz Al-Sa’ud dari Arab Saudi akan membuka peluang baharu kepada komuniti perniagaan Malaysia, khususnya dalam bidang pelaburan berimpak tinggi dan sektor halal.

Presiden Dewan Perdagangan Arab-Malaysia, Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata, kerajaan Arab Saudi juga dijangka mengumumkan beberapa kelonggaran bagi rakyat Malaysia yang ingin memulakan perniagaan di negara itu, khususnya di Makkah.
Beliau berkata, pelepasan permit kerja dijangka diumumkan ketika lawatan Raja Arab Saudi selain pengurangan pegangan saham perniagaan oleh penduduk tempatan.
“Lawatan Raja Arab Saudi adalah satu penghargaan kepada Malaysia kerana beliau bukan mudah membuat sesuatu lawatan dan selalunya beliau pergi ke negara-negara maju sahaja,” tambahnya.
Menurutnya, berdasarkan beberapa program yang diatur, terutama sekali dalam bidang perniagaan dan perdagangan serta perusahaan untuk pemadanan perniagaan antara syarikat Saudi dan Malaysia, bidang yang paling diminati ialah pelaburan dan halal.
Mohamed Fauzy berkata demikian dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama News Channel sempena lawatan rasmi Raja Salman yang tiba di Malaysia pagi Ahad.
Kali terakhir Raja Arab Saudi melakukan lawatan ke Malaysia ialah pada 2006 iaitu oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.
Sebelum itu Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan ke Malaysia pada 1970. Baginda diiringi delegasi 600 anggota dalam lawatan hingga 1 Mac itu, termasuk anggota kerabat diraja dan menteri Kabinet Arab Saudi.
Mohamed Fauzy berkata, pelaburan berimpak tinggi merupakan antara fokus utama Arab Saudi berikutan penerokaan pasaran baharu oleh negara itu berikutan kejatuhan harga minyak global.
Menurutnya, sektor halal tidak hanya meliputi bidang makanan dan pelaburan, tetapi juga perkhidmatan dan barangan.
Menyentuh mengenai bidang makanan dan minuman, beliau berkata, pemintaan yang tinggi daripada negara Timur Tengah, khususnya Arab Saudi dijangka memberi banyak peluang kepada komuniti perniagaan Malaysia, terutama menerusi Forum Perniagaan Malaysia-Arab Saudi yang memberi tumpuan kepada pemadanan perniagaan.
Ia berikutan status pensijilan halal Malaysia yang mempunyai piawaian tinggi dan telah diiktiraf di kebanyakan negara Islam.
“Saya harap lawatan Raja Salman ini akan membuka era baru kepada rakyat Malaysia yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, terutama di Makkah, Madinah dan juga Jeddah.”
“Pada masa ini saya berpendapat permintaan tinggi adalah untuk makanan kerana jemaah umrah dari Asia, khususnya dari Indonesia dan Malaysia menghadapi sedikit kesulitan mendapatkan makanan,” katanya.
Pada 2016, Arab Saudi merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia dalam kalangan negara Timur Tengah.
Jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak RM2.17 bilion kepada RM13.12 bilion pada 2016 berbanding tahun sebelumnya.
Minyak sawit dan produk berasaskan sawit merupakan eksport tertinggi ke Arab Saudi, iaitu RM552.84 juta, meningkat 17.6 peratus berbanding 2015. — BERNAMA

Sunday, 26 February 2017

5.8 juta pelancong lawat Kelantan tahun lalu



KOTA BHARU: Kelantan mencatat sebanyak 96 peratus daripada enam juta pelancong dari dalam dan luar negara yang disasarkan oleh kerajaan negeri.

Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Mejar Md. Anizam Abdul Rahman berkata, daripada sasaran itu, seramai 5.8 juta dicatatkan pada tahun 2016.

Bagaimanapun menurut beliau, jumlah tersebut dilihat lebih tinggi berbanding tahun 2015 iaitu seramai 5.1 juta pelancong yang datang ke Kelantan.

"Pada tahun ini (2017) dengan tema 'Kelantan Di Hati', kita berharap dapat dikekalkan jumlah pelancong sebagaimana dengan tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran buku Sejarah Setiausaha Kerajaan Negeri di Dewan Gelanggang Seni di sini, pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat; timbalan exco, Hasan Mahmood ‎ dan Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan, Mohamad Nazwan Ismail.

Anizam berkata, keunikan seni warisan selain makanan tempatan dan kebudayaan menjadikan Kelantan mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

Ujarnya, kerajaan negeri menerusi Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan sentiasa berusaha mempromosikan sektor berkenaan degan kerjasama kebudayaan.

Menurutnya, kemasukan lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa mampu merancakan industri berkenaan sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

"Saya harap pelancong dapat mengambil peluang melancong ketika nilai mata wang kita untuk mengunjungi negeri ini yang kaya dengan tempat pelancongan," katanya. - HARAKAHDAILY 26/2/2017

Turunkan kadar GST sejajar kenaikan inflasi. -Tuan Ibrahim Tuan Man.



Kadar inflasi negara pada bulan Januari 2017 berada pada 3.2%, naik hampir 90% berbanding bulan Disember yang hanya berada pada 1.8%.

Kadar inflasi pada bulan Januari juga mengejutkan para penganalisa ekonomi yang meletakkan nilai konsensus pada 2.8% ekoran kejatuhan nilai Ringgit yang meninggikan kos import dan kenaikan harga minyak tempatan yang mendadak yang melambungkan kos pengangkutan.

Beberapa para penganalisis ekonomi telah meramalkan kadar inflasi negara akan terus naik, melebihi 4% pada tiga bulan yang akan datang.

Ini bermakna harga barangan akan terus meningkat, rakyat yang sudah merana terpaksa lagi membayar lebih di bulan-bulan akan datang untuk segala jenis barangan konsumer. 

Apapun, kerajaan perlu beringat bahawa kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi pada realiti.

Kadar inflasi purata tidak menggambarkan keadaan sebenar yang dirasai rakyat marhaen kerana para peniaga tidak menaikkan harga barangan mengikut peratusan sebaliknya mengikut nilai sen. 

Umpamanya nasi lemak yang dijual RM2.00, tidak mungkin dinaikkan kepada RM2.08 mengikut kadar inflasi 4%, sebaliknya akan dinaikkan harga 10 atau 20 sen yang bersamaan dengan 5% dan 10% di sudut inflasi. 

Barangkali ini bukan berita buruk bagi kerajaan BN. Ini kerana harga barangan yang lebih tinggi bermaksud pungitan hasil GST juga akan meningkat. Sekiranya rakyat perlu membayar 6 sen untuk GST untuk harga satu barangan bernilai RM1.00 di pasaran, rakyat kini perlu membayar 7 sen, jika harga barangan itu dinaikkan kepada RM1.15 di pasaran.

Oleh itu, PAS menggesa kerajaan seeloknya membatalkan GST. Jika kerajaan tidak mampu untuk membatalkan GST, sekurang-kurangnya kerajaan perlu menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi sebagai langkah mengurangkan beban rakyat. 

Menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi tidak akan mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan, kerana harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar GST.



Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
26 Februari 2017 - HARAKAHDAILY 26/2/2017

Ekonomi merosot, rakyat cari kerja di negara jiran.




KUBANG KERIAN: Lima atau 10 tahun akan datang, tidak mustahil rakyat Malaysia berhijrah ke negara-negara jiran ekoran masalah ekonomi kebelakangan ini.

Antara faktor utama ialah nilai ringgit Malaysia terus jatuh ditambah dengan beban hutang negara yang terus meningkat kepada lebih 800 bilion tahun ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ustaz Fadhli Shaari berkata, kerajaan dilihat tidak serius untuk menangani keadaan tersebut daripada terus melarat.

Bahkan menurutnya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak mampu menangani masalah berkenaan sebaliknya ia terus memberi beban kepada rakyat.

"Bantuan ini pun faedahnya atau interest yang ditanggung oleh rakyat setiap tahun setelah pelbagai subsidi lain ditarik balik oleh kerajaan.

"Tidak mustahil, sekiranya Barisan Nasional tidak ditumbangkan, lima atau 10 tahun akan datang, kita akan ke Thailand untuk buka kedai Tomyam," katanya.

Beliau berkata demikian pada siri ketiga ceramah mega anak muda pertahan Kelantan yang diadakan di Bandar Baru Kubang Kerian di sini malam tadi.

Turut menyampaikan ucapan Exco kerajaan negeri, Mumtaz Mad Nawi; Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Shahir Sulaiman dan Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Ketua Pemuda PAS Kelantan itu menambah lagi, sokongan Melayu kepada Barisan Nasional khususnya Umno semakin suram selepas dua penggal.

Katanya, ia merupakan trend seorang Perdana Menteri Malaysia selepas Tun Dr. Mahathir Mohamed yang memegang jawatan itu melebihi 20 tahun.

PAS Kelantan mempunyai kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada tahun 2004 ketika Tun Abdullah Badawi dilantik ke jawatan nombor satu itu.

Namun masuk penggal kedua pada Pilihan Raya Umum 2008, empat buah negeri diperintah oleh barisan pembangkang dikenali Pakatan Rakyat.

"Itulah situasi sekarang dibawah Perdana Menteri, Najib, ikutkan gaya sokongan rakyat semakin luntur cuma rakyat perlu fokus untuk tumbangkan BN," katanya. – HARAKAHDAILY 25/2/2017

PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

Saturday, 25 February 2017

Tanam cili ringankan beban ekonomi.














 CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

HARGA cili khususnya cabai rawit merah yang tidak terkawal dan melambung tinggi hingga mencecah Rp150,000 sekilogram (RM50) di beberapa daerah di Indonesia membuatkan masyarakat setempat mengeluh memandangkan bahan mentah itu sangat diperlukan dalam kebanyakan jenis masakan.
Faktor cuaca buruk seperti hujan lebat berpanjangan selain serangan ulat perosak dikatakan sebagai punca utama kenaikan harga cili secara mendadak di samping faktor pengedaran bekalan yang tidak menyeluruh di pasaran.
Tidak mahu krisis cili terus diperkatakan, Kementerian Pertanian bersama Pasukan Aktiviti Bimbingan Kesejahteraan Keluarga (TP PKK) mengadakan mesyuarat di Balai Keselamatan Makanan (BKP) di Jakarta untuk membangunkan kawasan projek tanaman cili.
Menteri Pertanian Indonesia, Andi Amran Sulaiman berkata, kawasan-kawasan yang dipilih untuk projek berkenaan merupakan lokasi yang berpotensi tinggi dengan keluasan keseluruhan kira-kira 10.3 juta hektar.
“Jika tanah-tanah ini boleh digunakan semaksimum yang mungkin, saya yakin masalah harga cili yang membelenggu pengguna boleh diselesaikan dalam kadar segera.
“Sebelum ini, kita telah bertemu dengan pengerusi TP PKK dan mencapai kata sepakat bagi memperluaskan program sedemikian secara besar-besaran kepada beberapa tanaman lain termasuk padi dan jagung.
“Kami juga menyarankan agar semua pihak melakukan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan sebagai satu alternatif tambahan seperti menanam sayur, cili dan buah-buahan tertentu di kawasan perumahan dan kediaman masing-masing terutama yang mempunyai tanah sendiri,” katanya.
Andi Amran memberitahu, benih-benih tanaman yang dihasilkan BKP akan diberikan secara percuma untuk ditanam oleh ahli-ahli TP PKK di seluruh Indonesia dan mereka juga akan diberi bantuan penerangan tentang penjagaan tanaman di setiap kampung dan daerah.
Bagi menjayakan program tersebut, Amran berkata, pihaknya akan memohon satu belanjawan khas kira-kira Rp100 bilion (RM33.3 juta).
Belanjawan tersebut turut merangkumi bantuan infrastruktur seperti kebun semaian dan pengairan sebanyak Rp6 juta (RM2,001) pembangunan kawasan pertanian sebanyak Rp7 juta (RM2,335) dan lain-lain belanjawan.
Selain Kementerian Pertanian, beberapa pihak atau agensi lain turut terlibat secara langsung dalam pemberian benih cabai termasuklah Agensi Keselamatan Makanan dan Bank Indonesia Riau.
Ketua Bank Indonesia Riau, Ismet Inono berkata, pihaknya akan menyerahkan bekalan benih cili kepada orang ramai untuk ditanam dan hasilnya diharap dapat meringankan beban ekonomi yang mereka alami.
“Medium penanaman cili tidak begitu sukar dan apa yang paling penting ialah kesanggupan mereka untuk menjaga tanaman tersebut supaya membesar tanpa sebarang penyakit.
“Benih cili dan beg plastik akan diberikan secara percuma kepada suri rumah di Kabupaten Pekanbaru, Riau, Sumatera,” ujarnya.
Pengerusi TP PKK Riau, Sisilita Arsyadjuliandi Rachman berkata, pemberian benih cili oleh Bank Indonesia Riau sangat membantu rakyat terutama bagi penduduk dan warga isi rumah di Pekanbaru.
“Kementerian Pertanian menganggarkan pengeluaran cili di seluruh negara bermula pada Januari tahun ini melebihi 5,000 tan metrik,” katanya.
Ketua Pengarah Kementerian Pertanian Hortikultur, Spudnik Sujono berkata, pada Januari lalu, pengeluaran cili dicatatkan sebanyak 73,000 tan metrik. Jumlah itu melebihi keperluan masyarakat sekitar 68,000 tan metrik.
Jaminan
Katanya, penggunaan sebenar cili per kapita bagi masyarakat Indonesia adalah sangat kecil iaitu hanya 1.26 kilogram per kapita setiap tahun atau 0.1 kilogram per kapita sebulan.
“Selepas menjalankan kajian bagi jumlah kawasan pengeluaran cili di negara ini, saya boleh memberi jaminan bahawa dengan adanya program seperti ini, keperluan bekalan cili boleh dikatakan terjamin tanpa sebarang masalah.
“Sebagai contoh, pada masa kini, daerah Kediri, Jawa Timur mempunyai kawasan tanaman cili seluas 5,000 hektar dan di Banyuwangi, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah pula sekitar 4,500 hektar,” ujarnya.
Tambah Spudnik, orang ramai tidak boleh terlalu bergantung kepada cili rawit merah ketika harga sedang melonjak naik kerana terdapat pilihan lain untuk membeli cili besar merah dan cili kerinting pada harga yang jauh lebih murah.
Sementara itu, Spudnik turut meminta Syarikat Perdagangan Indonesia (PPI) untuk menghantar benih cili rawit merah ke Jakarta sebagai satu percubaan untuk mengawal harga cili di ibu kota yang masih tinggi.