Saturday 25 February 2017

Tanam cili ringankan beban ekonomi.














 CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

HARGA cili khususnya cabai rawit merah yang tidak terkawal dan melambung tinggi hingga mencecah Rp150,000 sekilogram (RM50) di beberapa daerah di Indonesia membuatkan masyarakat setempat mengeluh memandangkan bahan mentah itu sangat diperlukan dalam kebanyakan jenis masakan.
Faktor cuaca buruk seperti hujan lebat berpanjangan selain serangan ulat perosak dikatakan sebagai punca utama kenaikan harga cili secara mendadak di samping faktor pengedaran bekalan yang tidak menyeluruh di pasaran.
Tidak mahu krisis cili terus diperkatakan, Kementerian Pertanian bersama Pasukan Aktiviti Bimbingan Kesejahteraan Keluarga (TP PKK) mengadakan mesyuarat di Balai Keselamatan Makanan (BKP) di Jakarta untuk membangunkan kawasan projek tanaman cili.
Menteri Pertanian Indonesia, Andi Amran Sulaiman berkata, kawasan-kawasan yang dipilih untuk projek berkenaan merupakan lokasi yang berpotensi tinggi dengan keluasan keseluruhan kira-kira 10.3 juta hektar.
“Jika tanah-tanah ini boleh digunakan semaksimum yang mungkin, saya yakin masalah harga cili yang membelenggu pengguna boleh diselesaikan dalam kadar segera.
“Sebelum ini, kita telah bertemu dengan pengerusi TP PKK dan mencapai kata sepakat bagi memperluaskan program sedemikian secara besar-besaran kepada beberapa tanaman lain termasuk padi dan jagung.
“Kami juga menyarankan agar semua pihak melakukan aktiviti pertanian secara kecil-kecilan sebagai satu alternatif tambahan seperti menanam sayur, cili dan buah-buahan tertentu di kawasan perumahan dan kediaman masing-masing terutama yang mempunyai tanah sendiri,” katanya.
Andi Amran memberitahu, benih-benih tanaman yang dihasilkan BKP akan diberikan secara percuma untuk ditanam oleh ahli-ahli TP PKK di seluruh Indonesia dan mereka juga akan diberi bantuan penerangan tentang penjagaan tanaman di setiap kampung dan daerah.
Bagi menjayakan program tersebut, Amran berkata, pihaknya akan memohon satu belanjawan khas kira-kira Rp100 bilion (RM33.3 juta).
Belanjawan tersebut turut merangkumi bantuan infrastruktur seperti kebun semaian dan pengairan sebanyak Rp6 juta (RM2,001) pembangunan kawasan pertanian sebanyak Rp7 juta (RM2,335) dan lain-lain belanjawan.
Selain Kementerian Pertanian, beberapa pihak atau agensi lain turut terlibat secara langsung dalam pemberian benih cabai termasuklah Agensi Keselamatan Makanan dan Bank Indonesia Riau.
Ketua Bank Indonesia Riau, Ismet Inono berkata, pihaknya akan menyerahkan bekalan benih cili kepada orang ramai untuk ditanam dan hasilnya diharap dapat meringankan beban ekonomi yang mereka alami.
“Medium penanaman cili tidak begitu sukar dan apa yang paling penting ialah kesanggupan mereka untuk menjaga tanaman tersebut supaya membesar tanpa sebarang penyakit.
“Benih cili dan beg plastik akan diberikan secara percuma kepada suri rumah di Kabupaten Pekanbaru, Riau, Sumatera,” ujarnya.
Pengerusi TP PKK Riau, Sisilita Arsyadjuliandi Rachman berkata, pemberian benih cili oleh Bank Indonesia Riau sangat membantu rakyat terutama bagi penduduk dan warga isi rumah di Pekanbaru.
“Kementerian Pertanian menganggarkan pengeluaran cili di seluruh negara bermula pada Januari tahun ini melebihi 5,000 tan metrik,” katanya.
Ketua Pengarah Kementerian Pertanian Hortikultur, Spudnik Sujono berkata, pada Januari lalu, pengeluaran cili dicatatkan sebanyak 73,000 tan metrik. Jumlah itu melebihi keperluan masyarakat sekitar 68,000 tan metrik.
Jaminan
Katanya, penggunaan sebenar cili per kapita bagi masyarakat Indonesia adalah sangat kecil iaitu hanya 1.26 kilogram per kapita setiap tahun atau 0.1 kilogram per kapita sebulan.
“Selepas menjalankan kajian bagi jumlah kawasan pengeluaran cili di negara ini, saya boleh memberi jaminan bahawa dengan adanya program seperti ini, keperluan bekalan cili boleh dikatakan terjamin tanpa sebarang masalah.
“Sebagai contoh, pada masa kini, daerah Kediri, Jawa Timur mempunyai kawasan tanaman cili seluas 5,000 hektar dan di Banyuwangi, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah pula sekitar 4,500 hektar,” ujarnya.
Tambah Spudnik, orang ramai tidak boleh terlalu bergantung kepada cili rawit merah ketika harga sedang melonjak naik kerana terdapat pilihan lain untuk membeli cili besar merah dan cili kerinting pada harga yang jauh lebih murah.
Sementara itu, Spudnik turut meminta Syarikat Perdagangan Indonesia (PPI) untuk menghantar benih cili rawit merah ke Jakarta sebagai satu percubaan untuk mengawal harga cili di ibu kota yang masih tinggi.

No comments:

Post a Comment