Friday 24 February 2017

Ekonomi tenat, impian lihat negara maju 2020 musnah - Siti Zailah




KOTA BHARU: Impian rakyat untuk melihat Malaysia maju menjelang tahun 2020 musnah  apabila ekonomi negara semakin tenat. 

Dalam tempoh 60 tahun pemerintahan BN, Malaysia dihimpit hutang negara yang semakin membebankan setiap tahun hingga mencecah lebih RM800 bilion. 

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, rakyat belum sempat mencapai negara maju tahun 2020, Malaysia berdepan dengan krisis ekonomi yang makin teruk. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan rakyat sekeliling yang mendakwa kos kehidupan semakin meningkat. 

Pada masa yang sama hasil jualan peniaga semakin merosot kerana kesan kegawatan ekonomi akibat kegagalan pemerintah. 

“Tanpa kita sedari berapa ribu pekerja dibuang majikan dari beberapa buah syarikat kerana masalah yang sama,” ujarnya. 

Ketika memberitahu Harakahdaily, beliau berkata rakyat semakin tertekan dengan suasana kini. 

Tegasnya, apa yang berlaku kerana pemimpin negara bukan hanya boros berbelanja, sebaliknya juga tidak pandai mengurus negara dengan betul. 

“Hutang negara terlalu besar, tanggungan kos pengurusan tinggi, pendapatan negara tidak sepadan dengan perbelanjaan negara setiap tahun,” ujarnya. 

Katanya, kerajaan hanya mengisytiharkan hutang negara hanya RM635 bilion dalam Parlimen baru-baru ini. 

Sambungnya, kedudukan hutang negara sebenarnya sudah melebihi 53.05 peratus daripada KDNK. 

Tambahnya, hutang negara nampak kecil kerana kerajaan telah mengkorporatkan hutang pinjaman perumahan lebih 2.5 peratus daripada KDNK. 

Zailah berkata, nilaian itu tidak dimasukkan sebagai tanggungan kerajaan. 

Tegasnya, ianya sebagai helah kerajaan untuk memperlihatkan hutang negara masih pada kadar biasa, sedangkan hakikatnya sudah melebihi RM800 bilion. 

“Rakyat perlu buat perubahan besar untuk masa depan semua lapisan masyarakat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 23/2/2017

No comments:

Post a Comment