Tuesday 14 February 2017

'Bertani Satu Ibadah' tingkat momentum petani




KUALA KRAI: Gagasan 'Bertani Satu Ibadah' yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas memberi momentum bagi meningkatkan lagi sektor pertanian di Kelantan.

Pengerusi Jawankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kini semakin ramai anak-anak muda terbabit dalam sektor pertanian.

Katanya, bagi memperkembangkan lagi sektor pertanian kerajaan negeri memberi geran projek pertanian kepada lebih 100 petani di Kuala Krai membabitkan peruntukan sebanyak RM307,246.

"Ia merupakan salah satu penghargaan terhadap usaha petani, nelayan dan peladang bagi meningkatkan lagi hasil pertanian," katanya pada majlis penyampaian bantuan tersebut di Pejabat Pertanian Kuala Krai, semalam.

Turut hadir Timbalan Speaker, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman; Adun Manek Urai, Fauzi Abdullah; Adun Guchil, Roslan Puteh dan Pengarah Pertanian Kelantan, Mohd Khairi Yusof.

Che Abdullah juga berkata kerajaan negeri baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan Agro Bank bagi menyelaras bantuan kewangan kepada petani.

Pegawai Pertanian Kuala Krai, Azih Mamat berkata, peruntukan tersebut diberikan kepada lapan kategori pertanian.

Ia merangkumi pembangunan tanah terbiar RM102,400, pembangunan industri padi (RM18,000), pembangunan pelbagai komoditi (RM33,000) dan pembangunan industri sayuran (RM28,000).

Selain itu pembangunan industri buah-buahan (RM26,000), industri asas tani (RM19,000), pembangunan usahawan tani (RM30,000) dan pembangunan industri kelapa (RM45,000).

Projek tersebut melibatkan seramai 100 petani dengan keluasan 200 ekar. - HARAKAHDAILY 14/2/2017

No comments:

Post a Comment