Thursday 9 February 2017

Felda perlu kaji perjanjian tanam semula kedua



Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad sewajarnya mengarahkan semakan semula perjanjian Tanam Semula Kedua sebagai langkah mewujudkan keharmonian peneroka Felda dan pihak pengurusan. Saranan ini sejajar dengan 'keterbukaan' beliau untuk menyelamatkan Felda dari permasalahan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Isa Samad.

Program Tanam Semula kali kedua sekarang ini membabitkan beberapa Tanah Rancangan yang dibuka sebelum 80-an. Tidak semua daripada 317 Tanah Rancangan Felda terlibat buat masa ini, tetapi mereka semua bakal melalui proses ini. Sebahagian peneroka Felda yang terlibat dengan Program Tanam Semula Kedua terkejut dengan terma  perjanjian yang telah dan bakal mereka tandatangani sebelum proses menyerahkan urusan ini kepada pihak Felda. Pihak Felda pula menyerahkanya semua urusan tebang pokok tua, tanam pokok baru, penjagaan dan urusan pengurusan selanjutnya kepada Felda Technoplant.

Peneroka dan pewaris mereka tiada pilihan lain selain daripada bersetuju atau terpaksa menerima program ini walaupun mereka mengetahui banyak perkara menyulitkankan mereka. Hanya segelintir peneroka terpaksa melanggar ketetapan ini dan bertegas menguruskan sendiri proses tanam semula kedua sebagai jalan selamat untuk mengelak dari perjanjian yang mereka tidak persetujui. Terdapat beberapa klausa " menakutkan" dan "mengikat" peneroka Felda. Perkara ini tiada dalam perjanjian terdahulu semasa mereka menyertai tanam semula pertama 30 tahun lalu.

Perkara (13) (b) dengan jelas Felda akan mempunyai kuasa 'Eksklusif' ke atas kebun peneroka dalam tempoh perlaksanaan ini. Apakah dalam tempoh ini peneroka hilang hak ke atas semua urusan kebun mereka sehingga semua hutang lama dan baru dilunaskan. 

Klausa lain yang mengejutkan peneroka Felda ialah, mereka TIDAK lagi diberi peluang untuk menguruskan sendiri kebun mereka selepas pokok mula mengeluarkan hasil selepas 36 bulan seperti perjanjian sebelum ini. Perjanjian kali ini mengikat peneroka Felda selama 15 tahun. Dalam tempoh selepas tahun ke-4, peneroka Felda dibayar wang saraan sahaja dikenali 'Pendahuluan Hasil' sekitar RM1,500 sebulan sehingga tahun ke-8.

Jika mereka peneroka berhajat melanggar perjanjian ini mereka perlu menjelaskan segala hutang peneroka kepada Felda merujuk kepada perkara (14) (g) yang berbunyi 'Membuat bayaran balik kepada Felda, termasuk dengan caj perkidmatan pada kadar yang ditetapkan oleh Felda seperti di jadual 2 (6.25 peratus), dalam tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun selepas mencapai tahap titik pulang modal untuk kos seperti yang berikut (kemudian daripada ini disebut "Hutang Peneroka").

Peneroka memahami perkara ini, mereka akan diikat dengan tempoh yang lama 8-15 tahun berdasarkan tahap titik pulang modal dan tempoh bayaran kembali. Persoalan yang timbul jika sekarang ini pun Technoplant gagal membuktikan secara terperincil kos yang menyebabkan mereka berhutang bagaimana pula akan datang iaitu hutang kos pembangunan tanam semula kedua.

Berdasarkan penerangan oleh pihak Felda, mereka berhak memasukan "Perintah Larangan" jika perlu. Ini menimbulkan keluh resah di kalangan peneroka. Apakah Akta GSA yang mengikat peneroka selama ini tidak cukup kuat? 

Keseluruhan perjanjian ini adalah bersifat sangat berat  sebelah apabila merujuk perkara (19) yang mana Felda tidak dianggap memungkiri perjanjian ini jika terdapat kegagalan pelaksanaan yang sepenuhnya atau sebahagianya terhadap tugas dan kewajipan di bawah perjanjian ini yang disebabkan oleh bencana alam, kebakaran, tindakan kerajaan Pusat atau kerajaan negeri, perperangan, kekecohan awam, pemberontakan, embargo dan sebab-sebab lain di luar kawalan mana-mana pihak.

Kami melihat perkara (19) ini satu langkah selamat yang menguntungkan Felda dan akan menimbulkan masalah besar kepada peneroka Felda kemudian hari jika kegagalan pihak Felda menjayakan program tanaman semula in terutamanya melibatkan  Felda Technoplant.

Lebih mengejutkan Felda hanya  memaklumkan secara lisan, urusan proses tanam semula ini diserahkan kepada Syarikat Technoplant dan Felda tidak bersedia mendedahkan perjanjian antara Felda dengan Technoplant .

Pengerusi Felda sebelum ini, pernah mengakui kegagalan Technoplant melaksanakan urusan tanam semula di beberapa tanah rancangan di Melaka. (Rujuk kenyataan Tan Sri Isa Abdul Samad di Majalah Rasmi Felda Aspirasi Glokal keluaran 28 Mac 2015)

Peneroka mempertikaika mengenai kos keseluruhan Hutang Peneroka Felda yang menyertai skim tanam semula kedua ini sangat tidak munasabah dengan nilai RM169,600 sehingga tahun ke-8 untuk keluasan 10 ekar. Keseluruhan kos ini ditanggung peneroka Felda sedangkan mereka kebun luar atau pekebun kecil mendapat bantuan insentif dari MPOB sebanyak kurang lebih RM7,000 perhektar.

Justeru ini saya mohon pihak Felda membuka kembali pintu rundingan dengan peneroka Felda agar kata sepakat dan tidak merugikan mana-mana pihak.

Pas melalui Unit Hal Ehwal Peneroka Felda juga mencadangkan agar pihak Felda membenarkan mana-mana peneroka Felda yang mempunyai kemampuan dan teknologi sendiri untuk mengusahakan kebun mereka tanpa terikat dengan perjanjian ini atau menguruskan sendiri kebun-kebun mereka tanpa sekatan, malahan Felda perlu membantu mereka untuk bergelar usahawan peneroka berdikari. 

Felda juga perlu menghentikan semua diskriminasi terhadap golongan peneroka dan waris mereka yang mengusahakan sendiri kebun mereka dengan diberi galakan dan diwujudkan satu mekanisma menang-menang antara peneroka dan Felda. Kami yakin jika Pengerusi Felda mengamalkan pendekatan pintu terbuka, Felda mampu dikembalikan pada landasan asal dan mencipta kembali zaman kegemilangan seperti sebelum era Tan Sri Isa Samad.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
9 Februari 2017 / 12 Jamadil Awal 1438 
HARAKAHDAILY 9/2/2017

No comments:

Post a Comment