Monday 6 February 2017

Piza itik salai The Plated


Hanisyan (tengah) bergambar bersama kakitangan Restoran The Plated di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Jika berkunjung ke Restoran The Plated, anda pasti terpukau dengan persembahan makanan, bau yang menyelerakan dan keenakan pelbagai hidangan di situ.

Restoran yang terletak di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya itu menampilkan hidangan berkonsepkan gabungan makanan (fusion) Asia dan Barat. Ia bagi memberi lebih banyak pilihan dan memenuhi cita rasa masyarakat tempatan.
Menurut Ketua Eksekutif Cefnya, Hanisyan Nan, sebanyak 54 jenis hidangan makanan dan 69 minuman disediakan di restoran tersebut.
“Kami memilih konsep fusion bagi memberi lebih banyak pilihan makanan di bawah satu bumbung yang menghidangkan makanan tempatan serta Barat.
“Pelanggan tidak perlu khuatir kerana makanan yang disediakan mampu memenuhi selera dan pada harga yang sangat berpatutan,” katanya yang mempunyai 19 tahun pengalaman dalam bidang masakan di hotel serta restoran terkemuka.
Antara hidangan yang disediakan ialah seperti nasi lemak, selera Minang, ayam bakar, pasta, sandwic, piza, stik, ikan dan kentang, sup cendawan, salad buah, spageti bersama sos lada merah dan salmon, burger, kambing panggang, ayam bakar dengan sos teriyaki serta chicken chop.
Jelas anak kelahiran Kodiang, Kedah itu, ayam bakar dengan sos teriyaki menghidangkan tiga konsep gaya Asia iaitu Melayu, Cina dan Jepun.
Ia dihidangkan dalam satu set iaitu ayam bakar disaluti sos teriyaki, nasi bawang (gaya Cina), sayur goreng ala Jepun, sambal belacan dan sup kosong.
Menariknya, restoran itu turut menghidangkan piza itik salai yang enak dan pastinya berbeza dengan piza sedia ada di pasaran.
 PIZA itik salai kelainan yang ditampailkan di Restoran The Plated.

Kelainan


Ujar Hanisyan, piza itik itu merupakan satu kelainan di restoran itu, malah ia sukar ditemui di premis makanan lain.
“Daging itik yang disalai dan dibakar bersama roti serta taburan keju serta sos menghasilkan kombinasi rasa sangat enak sehinggakan ramai pelanggan tidak melepaskan peluang untuk mencubanya.
“Makanan di sini diolah menggunakan resipi dan kepakaran cef masing-masing untuk memberikan rasa lebih sedap serta sesuai dengan kehendak pelanggan tempatan,” katanya yang mempunyai pengalaman bekerja di restoran Itali selama tujuh tahun.
Restoran itu boleh memuatkan kira-kira 100 orang pada satu-satu masa dan menyediakan tempat yang selesa untuk pelanggan menikmati juadah serta bersantai bersama rakan mahupun keluarga tercinta.
Di samping itu, Restoran The Plated turut menghidangkan minuman yang mampu menghilangkan dahaga seperti peach magarita, brazilian lemonade dan coklat susu kocak.
Tidak ketinggalan makanan pembuka selera iaitu ayam goreng telur masin yang dicicah bersama sos Thai.
Sebagai pelengkap hidangan, turut disediakan aneka pilihan menu pencuci mulut seperti tiramisu, jeli kelapa segar dan aiskrim. (Kosmo!)
PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.

No comments:

Post a Comment