Thursday, 18 January 2018

M'sia Ramai Perogol? Ini Peluang Bisness, Seluar Kalis Rogol!


Remaja cipta seluar dalam kalis rogol (Gambar)

JOM KREATIF  

Remaja cipta seluar dalam kalis rogol

Remaja cipta seluar dalam kalis rogol (Gambar) Remaja perempuan warga India telah mereka cipta seluar dalam yang didakwa kalis rogol yang dilengkapi dengan kunci, amaran GPS untuk makluman polis dan video kamera untuk merakamkan muka penyerang. 

Laporan The Daily Mail menyebut, Seenu Kumari yang dilahirkan dalam keluarga miskin di Farrukhabad, Uttar Pradesh membelanjakan kurang RM270 untuk membangunkan seluar dalam yang turut meletakkan butang kecemasan dan kunci. Berwarna merah jambu, ia diharap mendapat pasaran meluas kerana turut memiliki kelebihan kalis peluru dan tidak boleh dipotong dengan pisau. 

“Saya letakkan kunci pintar yang hanya boleh dibuka jika tahu kata laluannya, selain peranti elektronik yang dilengkapi GPS dan kemudahan untuk dihubungi. 

“Jadi, apabila ada yang cuba mencabuli seseorang wanita, peranti itu akan menghantar mesej kepada ahli keluarganya dan juga polis. “Susulan itu, pihak polis akan tiba di lokasi menggunakan GPS yang dipasang dan mematahkan cubaan merogol itu,” katanya. 

Bagaimanapun, katanya, seluar dalam itu tidak semestinya dipakai sepanjang masa, kecuali ketika melalu perjalanan sendirian dan ketika berada di lokasi yang dianggap tidak selamat. Tambahnya, jika diserang, wanita yang memakai seluar dalam ini juga boleh menekan butang pada peranti yang akan menghubungi nombor kecemasan yang telah ditetapkan. 

Menurut media Britain itu, prototaip seluar dalam itu juga telah dihantar ke Yayasan Innovasi Nasional di Allahabad untuk dipatenkan sebelum ia dipasarkan. -kualalumpurpost 

Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 4
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik:  1 Hingga 3 E-Buku IH-10: Siri 1
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-53: Siri 2
Siri Jom Kreatif, Pelik-pelik: 1 Hingga 3 E-Buku IH-68: Siri 3
E-Buku IH-103: Kisah-kisah Jom Kreatif (4)  E-Buku IH-103: Siri 4

Monday, 15 January 2018

“Logo Halal Sah” – Pengeluar Umi Keropok Udang.




TAIPING – Syarikat pengeluar makanan ringan berjenama ‘Umi Keropok Udang’ hari ini menjelaskan keropok udang keluarannya mempunyai logo halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) serta sijil Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (Mesti) Kementerian Kesihatan.

Pengarah Urusan Assari Enterprise, Chuah Hock Guan berkata mereka tampil membuat penjelasan itu selepas syarikat mengalami kemerosotan jualan hampir 50 peratus susulan tindakan rampasan oleh pihak berkuasa terhadap sebuah syarikat lain yang menggunakan pembungkusan hampir sama namun logo halal tiruan.
“Keropok udang yang kami hasilkan di sini menggunakan udang segar dari Kuala Sepetang dan dijual dengan harga RM3.50 bagi berat 75 gram.
“Setiap enam bulan sekali syarikat ini akan diperiksa oleh pihak berkuasa bagi memastikan pemerosesan keropok mengikut standard yang ditetapkan selain dijamin kebersihan,” katanya dalam sidang media di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai, di sini.
Sehubungan itu, Chuah berkata pelanggan yang beragama Islam tidak perlu khuatir akan aspek suci dan halal produk berkenaan.
Menurutnya syarikat itu memperoleh sijil halal Jakim dan Mesti berkenaan sejak ia beroperasi pada 2008.
Beliau berkata keropok udang keluaran syarikat tersebut turut dieskport ke China sejak 2015.
“Namun, oleh kerana bekalan udang segar sukar diperolehi kerana nelayan bimbang untuk ke laut dalam keadaan ombak besar (sejak beberapa bulan ini) penghantaran ke China dikurangkan dengan memberikan tumpuan di Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Melaka dan di Perak,” katanya.
Pada 5 Januari lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perak telah merampas 396 bungkus keropok menggunakan jenama ‘Keropok Udang’ serta 1,600 unit plastik pembungkusan bernilai RM1,785 kerana menggunakan logo halal tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf Jakim dalam operasi di Gopeng. – BERNAMA


Friday, 12 January 2018

Pasu tembikar masyarakat India, Malaysia.

Foto oleh AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

Dua lelaki mengangkat pasu tembikar tanah liat yang sudah dijemur di bawah cahaya matahari di Kilang Perusahaan Krishnan Pottery, Kuala Selangor, di sini hari ini. Pasu tembikar ini mendapat permintaan yang tinggi di pasaran menjelang perayaan Ponggal yang menjadi acara keagamaan bagi masyarakat India berugama hindu di Malaysia. (Kosmo!)

Thursday, 11 January 2018

Motosikal 'Demak' Bakal Tembusi Pasaran Kemboja, Myanmar &Bangladesh.

YING (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Sokbundith  YING (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Sokbundith (tiga dari kiri) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – DNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd. (DNC Asiatic), pengeluar dan pemasang motosikal berjenama Demak, memperluaskan portfolio perniagaan eksportnya dengan me­nembusi pasaran Kemboja menjelang suku kedua tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Hu Ying berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 25,000 unit motosikal yang melibatkan AS$56 juta (RM224.2 juta) di negara tersebut dalam tempoh setahun.
“Kemboja menawarkan potensi pasaran yang cerah kepada kami, malah syarikat tidak meletakkan model motosikal ter­tentu bagi pasaran negara berkenaan dan ingin memenuhi segenap keperluan termasuk bagi tujuan pengangkutan biasa dan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis menandatangani perjanjian pengedaran antara DNC Asia­tic dengan Asian Comfort Co. Ltd. (Asian Comfort) bagi mempromosikan motosikal Demak di Kemboja di sini semalam.
Pemeteraian perjanjian itu disempurnakan oleh Ying yang mewakili DNC Asiatic manakala Asian Comfort diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, By Sokbundith.
Menerusi perjanjian berkenaan, Asian Comfort dilantik sebagai pengedar tempatan motosikal Demak yang dipasang di kilang Demak di Olak Lempit, Banting, Selangor.
Ying berkata, susulan penambahan pasaran Kemboja, pihaknya menyasarkan peningkatan eksport motosikal Demak kepada kira-kira 30,000 unit pada tahun ini berbanding 10,000 unit yang dicapai tahun lalu.
Selain Kemboja, pasaran eksport lain Demak ialah Myanmar dan Bangladesh.
Ia juga memiliki sebuah kilang pemasangan di Sri Lanka serta pengeluaran di Banting dan Kuching, Sarawak di Malaysia.
Ying memaklumkan, bagi tahun 2018, pihaknya berharap untuk mencapai kenaikan jualan kepada 51,000 unit motosikal, berbanding 46,000 unit pada tahun lalu. (Kosmo!)

Wednesday, 10 January 2018

Jadi jutawan jual produk kecantikan.


Hasil carian imej untuk iklan produk kecantikan
Sepanjang perjalanan melalui Lebuh Raya Utara – Selatan dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah terdapat beberapa papan iklan gergasi yang menarik dengan pelbagai aksi model bersama produk keluaran syarikat masing-masing.
Berbanding 10 tahun lalu, cuma syarikat korporat yang menggunakan papan iklan itu untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan kerana kosnya terlalu mahal.

Kini, hampir 80 peratus papan iklan gergasi yang dipacakkan di lokasi strategik itu menampilkan produk buatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pastinya, ia menawarkan salah satu hiburan buat pemandu yang melalui lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan perkembangan semasa, ia menggambarkan PKS bumiputera kini lebih berdaya saing dan sanggup melaburkan wang yang banyak untuk peruntukan perbelanjaan pengiklanan, pemasaran serta promosi.

Bagi usahawan, platform iklan menggunakan papan iklan gergasi merupakan salah satu kaedah penjenamaan dan imej syarikat terbaik syarikat selain bertindak agresif dalam media sosial sambil menggunakan media cetak serta elektronik.

Kumpulan ini sebenarnya terlalu kreatif dalam penghasilan produk masing-masing. Pelbagai bahan semula jadi, ekstrak buah-buahan serta herba diformulasikan sendiri untuk menghasilkan produk bagi membantu meningkatkan kualiti kesihatan serta penjagaan kecantikan masyarakat kini.

Rata-rata produk mereka telah melalui kajian dan pembangunan yang teliti selain dihasilkan di kilang bertaraf Amalan Pengilangan Terbaik berserta mendapat pengesahan halal daripada

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia termasuk kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jika produk yang berjaya dipromosikan dengan berkesan mampu mencatat jualan menggalakkan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit malah jutaan ringgit hanya dalam tempoh beberapa bulan selepas dilancarkan.

Ini disokong oleh rangkaian pemasaran yang kukuh di seluruh negara melalui pelantikan ejen dan stokis termasuk mengembangkan pasaran hingga ke negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Ternyata ia memberi ruang dan peluang kepada stokis atau ejen untuk menambah pendapatan bulanan masing-masing khususnya bagi mereka yang menjadikan perniagaan itu sebagai pekerjaan separuh masa.

“Saya memiliki seorang stokis wanita yang cukup aktif, masih muda dan pendapatan bulanannya ialah kira-kira RM50,000 ke atas setiap bulan,” demikian menurut seorang usahawan produk yang ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Saya termenung sejenak, memikirkan apakah strategi anak muda ini dalam perancangan pemasarannya sehingga berjaya mencatat jualan setinggi itu pada setiap bulan.

Ini semua memerlukan strategi yang mantap, rangkaian ejen yang aktif dan usaha gigih berterusan untuk mencapai sasaran berkenaan.

Lebih menarik, ada juga pasangan suami isteri yang sebelum ini tinggal di rumah pangsa dan hanya memiliki sebuah motosikal mampu mengubah kehidupan mereka dengan membeli

kenderaan pacuan empat roda dan membeli sebuah rumah banglo mewah di Pantai Timur hanya dengan penjualan produk jamu.

Produk keluaran syarikat pasangan muda ini berjaya membantu ramai pelanggannya untuk menurunkan berat badan.

Kejayaan mereka bukan datang dalam sekelip mata, ia memerlukan pengorbanan yang besar dari segi masa, tenaga dan wang ringgit untuk mencapai kejayaan itu.

Diharapkan kejayaan jutawan muda itu  dalam bidang pengeluaran produk buatan tempatan perlu dijadikan panduan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut. (Kosmo!)

Tuesday, 9 January 2018

Video: Warga Asing Pukau Juruwang, Songlap RM1,400!


TERPEDAYA… Tular menerusi media sosial dengan rakaman video seorang juruwang wanita dipukau dua individu warga asing dalam kejadian di sebuah pasar raya di ibu negara.

Kejadian yang dipercayai dirakam pada Sabtu lalu itu dimuat naik oleh bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Zack menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurutnya, anak perempuannya itu mengalami kerugian kira-kira RM1,400 dan lebih aneh, ketika kejadian berlaku, tiada sesiapa pun yang menyedarinya.

“Assalamualaikum sahabatku, tolong viralkan video ini. Kejadian pukau di Kuala Lumpur oleh warga asing. Dalam video itu adalah anak saya. Kerugian RM1,400.
“Memang bijak diorang ini. Menurut anak saya, dia kena bayar balik duit itu kepada majikannya. Tak adillah begitu, kasihan anak saya,” katanya dalam kapsyen video.
Melihat pada rakaman, warga asing yang dipercayai berasal dari negara Timur Tengah itu pada mulanya cuba membayar dua air kotak jenama Milo dengan hanya menggunakan dua keping wang kertas RM1.
Wang yang diletakkan di atas kaunter itu kemudian diambil oleh mangsa, sambil memaklumkan yang ia masih tidak mencukupi dan perlu ditambah beberapa ringgit sahaja lagi.
Suspek kemudian meminta dipulangkan semula dua keping wang kertas itu dan ia digantikan dengan sekeping RM5.
Bagaimanapun, suspek lelaki secara tiba-tiba cuba menunjukkan kepada mangsa wang RM5 itu seakan rosak dan perlu diganti.
Pada saat inilah ilmu pukau pasangan terbabit dipercayai telah dipraktikkan dan mangsa pula dilihat ‘terdiam’ seketika dan hanya mampu menuruti permintaan mereka.
Suspek lelaki tersebut malah dilihat secara selamba mengaut sejumlah wang dari mesin simpanan wang dan kedua-dua pasangan itu tidak lama kemudian beredar.
Ekoran kejadian, mangsa telah dituduh cuai oleh pihak majikan dan lebih malang lagi, dia perlu membayar ganti rugi terbabit atau akan diberhentikan kerja.
Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan sentiasa berwaspada apabila berurusan dengan warga asing terutamanya pekerjaan yang melibatkan urusan wang, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. – MYNEWSHUB.CC

Kedai Makcik Seringgit diserbu pelajar.


 Pengusaha nasi bajet Noor Haliza Mohd Hashim,44, menunjukkan nasi bajet yang menjadi menu pilihan para pelanggannya di kedai Makcik Seringgit di Jalan Pondok Labu di Kulim. - Foto BERNAMA
KULIM: Sepasang suami isteri mengambil inisiatif menjual nasi bajet bagi membantu pelajar menikmati hidangan lazat pada harga murah.
Terkenal dengan jolokan Kedai Makcik Seringgit, Noor Haliza Mohd Hashim, 44, dan suaminya, Mohamad Rozi Ishak, 48, beroperasi sejak enam tahun lalu di Jalan Pondok Labu di sini.
"Tarikan utama adalah harganya iaitu nasi set bajet berharga serendah RM2 dan air hanya RM1 dan saya jual sebab kasihan kepada pelajar yang tak ada bajet besar untuk makan," katanya kepada Bernama.
Katanya, bagi set nasi bajet, pelanggan boleh memilih beberapa jenis lauk seperti ikan sardin, telur goreng atau rebus, sosej atau kepingan daging dan sayuran.
"Pelanggan boleh pilih satu daripada lauk ini dan sayuran yang disukai dengan harga RM2.
"Air pula, semua jenis air yang dibancuh termasuk Milo ais, teh ais, Horlicks ais dan ia hanya RM1 kecuali minuman yang di paket," katanya.
Noor Haliza menambah, kedainya mula beroperasi pada 7 pagi sehingga 7 malam.
"Waktu puncak pada tengah hari dan ketika ini pelajar paling ramai dan memang mereka akan pesan nasi bajet untuk makan tengah hari," katanya.
Selain itu, ramai pengunjung yang singgah ke kedainya untuk membeli air bungkus.
Katanya, kadang-kadang pelanggan memesan sehingga 20 bungkus air dan ada antaranya yang datang semata-mata mahu membeli air RM1.
Noor Haliza berkata, harga itu langsung tidak merugikan perniagaannya, malah menjadi tarikan ramai orang sehingga sentiasa dikunjungi setiap masa.
"Tak rugi sebab kalau rugi dah lama saya tak buat. Sudah lama saya berniaga dan lagi ramai orang datang.
"Bab makan saya tak nak berkira sangat. Janji harga berpatutan dan ramai orang boleh makan sampai kenyang," katanya.
Sementara itu, pelajar kolej vokasional, Aiman Syafiq Iza Syarrizan,18, berkata nasi ekonomi yang dijual di kedai tersebut lebih murah dari kantin kolejnya.
"Memang selalu saya dan kawan makan di sini terutama waktu tengah hari. Makanan di sini sedap dan harga lebih murah," katanya.-- BERNAMA