Tuesday, 7 August 2018

Bos Mydin Selar PH Silap Besar Buat SST

Bos Mydin Selar PH Silap Besar Buat SST


BONGKAR… Ini bukan cakap orang tepi jalan. Beliau ialah tauke rangkaian pasar raya yang ada 70 cawangan di seluruh negara dan popular dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang lama terlibat dalam perniagaan pasar raya tetap berpendapat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih efisien daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Dalam interviu dengan portal berita Malaysiakini, beliau menyifatkan langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak laksana balik SST ganti GST sebagai satu kesilapan besar dalam dunia.
Beliau berpendapat sepatutnya kerajaan baharu di bawah pentadbiran PH cuba kurangkan kadar peratusan cukai GST daripada enam sekarang kepada dua atau tiga peratus.
“Saya rasa kerajaan akan membuat kesilapan besar dalam dunia. (Laksanakan SST) ini kesilapan, ini ego, sebab mereka ini orang politik. Mereka dah buat janji dan kena tepati janji, kalau tidak rakyat marah pula.
“Saya rasa itu masalahnya,” kata Ameer. Kerajaan PH bakal laksana SST mulai 1 September ini sebagai hadiah istimewa buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-61 tahun yang diraikan sebelumnya.
BERIKUT IALAH INTERVIU PENUH DATUK AMEER ALI MYDIN DENGAN MALAYSIAKINI:
GST: PH buat silap besar dalam dunia
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat kesilapan besar apabila ingin melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata secara praktikal GST lebih efisien.
Malah katanya jika isu ketirisan yang menjadi masalah besar, Ameer berkata pelaksanaan SST lebih banyak membuka ruang untuk itu berbanding GST.
Sebagai seorang ahli perniagaan, Ameer turut berpendapat, langkah betul yang perlu diambil kerajaan PH bukanlah menggantikan GST sebaliknya menurunkan kadar yang ditetapkan.
“Misalnya rendahkan kepada dua atau tiga peratus berbanding enam peratus,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya perkara berkenaan tidak akan berlaku memandangkan PH sebelum ini telah pun berjanji kepada rakyat untuk menghapuskan GST.
“Saya rasa kerajaan akan membuat kesilapan besar dalam dunia. (Laksanakan SST) ini kesilapan, ini ego, sebab mereka ini orang politik.
“Mereka dah buat janji dan kena tepati janji, kalau tidak rakyat marah pula. Saya rasa itu masalahnya,” kata Ameer dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Menurut beliau kerajaan PH menekankan azam mereka tidak mahu membebankan rakyat ketika kutipan GST sebelum ini ialah sebanyak RM44 bilion.
Justeru katanya mereka akan melaksanakan SST namun itu nanti akan membuat hasil kutipan kerajaan menurun kepada kira-kira RM22 bilion saja.
Dalam keadaan begitu katanya cara yang betul ialah mengurangkan kadar GST daripada enam kepada tiga peratus.
“Peniaga pun tak perlu susah dan tak perlu ubah apa-apa sistem yang sebelum ini dah dibelanjakan. Dan yang paling mustahak, ia tak ada ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan sama ada GST atau SST yang memberi kebaikan kepada rakyat.
Kerajaan PH berhasrat untuk melaksanakan SST bermula pada 1 September depan. Ia sebagai menunaikan salah satu antara janji gabungan itu dalam 100 hari pertama mereka berkuasa.
Ekoran pelaksanaan SST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menjangkakan kira-kira 6,400 jenis barangan akan dikenakan SST berbanding 11,197 barangan yang dikenakan GST sebelum ini.
Terdapat 470,000 syarikat pengeluar yang berdaftar dengan sistem MyGST dan kira-kira 70,000 daripada jumlah itu akan dipindahkan ke dalam sistem MySST secara berperingkat.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengatakan, SST akan dikenakan ke atas barang yang lebih sedikit berbanding GST – khususnya 38 peratus barangan yang bentuk “bakul barangan” indeks harga pengguna (CPI) berbanding GST yang lebih 60 peratus.
Ameer yang telah menjalankan perniagaan sejak 1980-an turut memberi penjelasan mengenai perbandingan harga sekiranya SST dilaksanakan.
Menurutnya, jika cukai SST dikenakan pada kadar 10 peratus, harga barangan – selain makanan segar dan dalam tin – akan melambung naik bebeza semasa GST dilaksanakan.
“GST lebih telus dan efisien cuma masalahnya kadarnya terlalu tinggi. Kerajaan boleh turunkan harga tapi kerajaan perlukan duit, itu kita faham.
“SST pula lebih terdedah kepada ketirisan kerana hanya satu peringkat sahaja dan sukar untuk diawasi.
“Semua orang setuju, dan kerajaan pun setuju (SST terdedah kepada ketirisan) tapi mereka kata tak apa sebab mereka akan buat denda dan harap orang akan ikut,” katanya.
Namun menurut Ameer kerajaan sebenarnya “sudah terlambat” untuk berundur daripada janji yang diikrarkan sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.
“Nasi sudah menjadi bubur, sebab mereka semua ini ahli politik,” katanya.
Menjelaskan mengenai bagaimana SST akan memberi kesan terhadap harga barang, Ameer memberikan contoh sekiranya kadar cukai berkenaan terbahagi kepada tiga iaitu sifar peratus, lima peratus dan 10 peratus.
Memiliki lebih 70 pasar raya di seluruh negara, Ameer menerangkan meskipun angka kadar cukai berkenaan merupakan satu andaian namun sebagai seorang ahli perniagaan yang terlibat dengan proses rantaian bekalan, pengilangan, mengedar serta menjual, beliau berkata harga barangan berubah mengikut kadar SST.
“Kita (Mydin) buat semua, sudah tentu kita tahu. Sudah tentu ia andaian.
“Kalau nak senang kita ambil begini: pengilang biasanya ambil keuntungan dalam 20 peratus, ini margin. Sudah tentu ada yang ambil keuntungan 15 peratus, 25 peratus tetapi ini kita andai secara umum. Kita perlu andaikan sesuatu dan berikan angka.
“Pemborong pula akan ambil (keuntungan) lima atau 10 peratus sahaja begitu juga dengan pengedar.
“Kalau di butik, margin keuntungan ialah 300 peratus. Baju kalau beli dengan harga RM100, ia akan dijual dengan harga RM400. Kalau di pasar raya contohnya di Mydin, kami beli RM100, jual RM120.
“Jadi kita ambil margin 20 peratus (pengilang), 10 peratus (pengedar) dan 20 peratus (penjual). Kalau kita ambil pengiraan begini, semua barang yang SST sifar peratus akan murah berbanding enam peratus GST.
“GST mempunyai tiga peringkat tetapi diakhirnya hanya enam peratus,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, sekiranya barangan yang dikenakan SST pada kadar lima peratus, harga barangan itu pada akhirnya mempunyai harga hampir sama semasa GST dilaksanakan.
“(Jika lima peratus) maknanya tiada beza jika kerajaan melaksanakan SST atau GST, harganya sama.
“Tetapi jika ada barangan yang dikenakan 10 peratus SST, harga barang akan mahal. Tak boleh cakap tak akan ada barang yang tak naik harga,” jelas Ameer lagi.
Selain itu, dalam wawancara sama, Ameer turut menggesa agar kerajaan menyenaraikan segara barangan yang akan dikenakan SST.
Katanya, ia bagi memudahkan ahli perniagaan untuk melabel serta menulis harga barangan sekiranya ia diimport.
“Saya tak tahu kenapa nak tangguh umum kadar (terhadap barangan). Sekurang-kurangnya kita perlu tahu, September tinggal sebulan sahaja lagi. Barang yang dah dipesan dah nak masuk, harga nak kena tulis.
“Kalau naik lima peratus, kena naikkan harga lima peratus. Kalau 10 peratus, kena tukar harga. Barang kita dah pesan enam bulan lalu,” katanya.
Sehubungan itu, Ameer juga memberi cadangan kepada pihak kerajaan agar tidak terburu-buru membatalkan GST.
Menurutnya, sebelum pelaksanaan SST ingin dibuat, kerajaan perlu cuba menurunkan kadar GST terlebih dahulu bagi memberi gambaran sama ada ia bagus untuk negara atau tidak.
“Kalau kerajaan nak buat sangat SST, buatlah. Tapi boleh tak mereka buat GST satu peratus dulu, dari situ kerajaan akan tahu. Jadi janganlah mansuhkan dulu.
“Sekarang kerajaan dah rugi beberapa bilion sebab nak tunggu SST.
“(Jika tak jadi batal GST) mereka boleh minta maaf, cakap: saya silap, mari kita laksana GST dua peratus bukan mansuhkan.
“Tapi mereka takut. Saya rasa mereka lupa yang mereka sekarang yang mentadbir negara. Saya rasa rakyat akan faham (jika tidak jadi hapuskan GST),” kata ahli perniagaan berusia 62 tahun itu lagi. – Mynewshub.TV




Wednesday, 1 August 2018

Harga Minyak Dunia Terus Merosot


TOKYO – Harga minyak merosot hari ini selepas data industri menunjukkan simpanan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) mengalami kenaikan tidak dijangka.

Ia meletakkan permulaan bulan baharu dalam wilayah negatif selepas penurunan bulanan terbesar dalam tempoh dua tahun pada Julai.
Niaga hadapan minyak mentah Brent pada Oktober jatuh 29 cents, atau 0.4 peratus kepada AS$73.92 setong pada 0044 GMT, menambah kerugian kepada 1.8 peratus dalam sesi sebelumnya.
Niaga hadapan minyak mentah AS susut 44 cents, atau 0.6 peratus, pada AS$68.32 setong, kejatuhan hampir dua peratus pada Selasa.
Minyak mentah Brent merosot lebih enam peratus pada Julai, manakala niaga hadapan minyak mentah AS mencatatkan penurunan sekitar tujuh peratus, penurunan bulan terbesar bagi kedua-dua penanda aras itu sejak Julai 2016.
Data daripada Institut Petroleum Amerika (API) menunjukkan inventori minyak mentah domestik meningkat sebanyak 5.6 juta tong minggu lalu. Reuters menjangkakan kejatuhan sebanyak 2.8 juta tong. – REUTERS

Thursday, 26 July 2018

Giliran MonSpace Pula Kena Serbu Dan Akaun Kena Beku


Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata serbuan tersebut melibatkan sebuah premis perniagaan syarikat itu di Ipoh, Perak dan 15 lagi di Lembah Klang meliputi empat premis perniagaan, lapan kediaman dan tiga pusat pelayan internet (server).
Katanya komputer dan pelbagai produk syarikat itu bernilai RM980,352 turut dirampas, selain menyita mata wang asing terdiri daripada Euro, Yuan dan Dolar Amerika bernilai RM93,879.20.
“Sebanyak 26 buah kenderaan dengan nilai RM6.2 juta telah dibekukan daripada transaksi pindah hak milik,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya operasi itu turut membabitkan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia.
Mohd Roslan berkata Ops Coin itu dijalankan hasil siasatan yang dijalankan sejak tahun lepas susulan enam aduan yang diterima daripada mangsa skim tersebut.
“Lima aduan berkenaan tidak mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat, manakala satu lagi mengenai penggunaan logo BNM dalam laman web syarikat itu untuk meyakinkan orang ramai,” katanya.
Ditanya sama ada pengasas syarikat itu akan ditahan, katanya buat masa ini tiada tangkapan dibuat berikutan wanita berusia 48 tahun yang bergelar Datuk Seri itu memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan.
“Bagaimanapun, kita telah mengambil tindakan membekukan perjalanan dia ke luar negara. Namanya telah disenarai hitam Jabatan Imigresen,” katanya.
Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.
Ditanya mengenai modus operansi syarikat itu, Mohd Roslan berkata seorang anggota perlu melabur antara RM500 sehingga RM5,000 dan mereka perlu mencari dua lagi anggota bagi mendapatkan semula modal dan pulangan mereka.
Pada Mei tahun lepas, dilaporkan seramai 71 warga China membuat laporan polis terhadap MonSpace di Balai Polis Bukit Jalil selepas mendakwa wang simpanan mereka ditipu syarikat itu.
Sumber: Bernama

Wednesday, 25 July 2018

Kotor? Pusat Beli-belah Di P/Pinang Diarah Disinfeksi.



BAYAN LEPAS, 12 Zulkaedah 1439H, Rabu – Semua pasar raya dan pusat beli-belah di Pulau Pinang diarah melakukan kerja disinfeksi (sucihama) terhadap troli, alat permainan dan bangku yang ada di premis mereka berikutan peningkatan kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Afif Bahardin berkata arahan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang selepas pemeriksaan yang dijalankan mendapati alatan berkenaan adalah antara punca penularan penyakit tersebut.
Beliau berkata arahan itu dikeluarkan pada 20 Julai lepas dan premis terlibat disaran menggunakan larutan peluntur pada nisbah 1:10 iaitu satu bahagian peluntur dan 10 bahagian air.
“Ya betul memang ada arahan sedemikian seperti yang tular di media sosial… macam saya sebut sebelum ini, penularan HFMD bukan sahaja melalui troli di pasar raya atau pusat beli-belah malah menerusi tempat permainan kanak-kanak yang terdapat di situ.
“Jadi saya harap pemilik dan operator pasar raya serta pusat beli-belah terlibat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dengan membersihkan premis perniagaan mereka supaya dapat membendung penularan penyakit HFMD di Pulau Pinang,” katanya.
Dr Afif berkata, sekiranya terdapat anggota keluarga yang dijangkiti HFMD, mereka perlu mendapatkan rawatan segera dan dikuarantin di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain jika berada di tempat awam.
Mengulas mengenai status terkini HFMD di Pulau Pinang, beliau berkata terdapat pertambahan kes baharu pada hari Ahad dan Isnin iaitu sebanyak 128 kes menjadikan jumlah terkini sehingga semalam ialah 2,559 kes berbanding 1,102 bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata seramai 13 pesakit masih dirawat di Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan hospital swasta dengan keadaan mereka yang berusia setahun hingga 10 tahun terbabit dilaporkan stabil.
“Ketika ini sebanyak 23 premis masih ditutup akibat penularan wabak itu membabitkan empat sekolah rendah, taska (6), tadika (7), prasekolah (5) dan pusat jagaan (1). Sekolah dan kelas yang masih ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Moh Ghee Pusat, SJKC Beng Teik Pusat dan SJKC Kwang Hwa,” katanya.
HFMD ialah penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu adalah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda-tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 serta Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit. – Bernama

Monday, 23 July 2018

Restoran Chef Wan Di Singapura Ditutup

Restoran Chef Wan Di Singapura Ditutup


SUNYI… Baru sekitar setahun sahaja dibuka, restoran Cef Wan di Esplanade, Singapura kini sudahpun tutup kedai menurut laporan agensi berita tempatan,Mediacorp.

Tinjauan wartawan agensi berkenaan di pekarangan premis tersebut lebih seminggu lalu mendapati pintu pagarnya tertutup rapi dan tertera sekeping kertas yang ditampal pada pintunya.
Ia berbunyi: “Closed for business” (Perniagaan ditutup). Mediacorpbertanya kepada staf restoran bersebelahan sama ada restoran Chef Wan’s Kitchen itu memang ditutup sementara atau atau sudah gulung tikar?
Kakitangan berkenaan menjawab dalam bahasa Inggeris bahawa penutupannya “permanent” (kekal).
Malah jika anda cuba meng-Google untuk cari atau tempah restoran bernama Chef Wan’s Kitchen ini, sebahagian hasil carian akan menunjukkan perkataan “Permanently closed” (Ditutup terus) atau “Closed” (Sudah ditutup).
Laman Facebook Chef Wan’s Kitchen juga nampaknya sudah ditutup.Mediacorp kemudian langsung menghubungi cef Melayu terkenal itu dan beliau mengesahkan bahawa restoran tersebut sudah ditutup.
Ini menjadikannya sebagai restoran kedua di Singapura yang dikaitkan dengan Cef Wan, atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, terpaksa ditutup operasi di republik berkenaan hanya dalam tempoh tiga tahun.
Pada 2016 lepas, restoran 1 Market yang terletak di Plaza Singapura, di mana beliau menjadi ‘wajah’ restoran itu, juga ditutup setelah sekitar tiga setengah tahun beroperasi.
Ditanya tentang sebab musabab restoran itu, yang pernah dipujinya sebagai “lokasinya bagus”, Cef Wan antara lain menjawab bahawa para tukang masaknya di situ “tidak boleh memasak sepertimana saya lakukan”.
Ini luahan terus terang Cef Wan: “Saya tidak kata tukang masak Singapura bagus atau tidak. Cef yang bekerja di situ tidak menghasilkan masakan mengikuti resipi saya. Pergi bandingkan lontong I (saya) dengan lontong dia cukuplah.
“Bandingkan nasi lemak dia dengan nasi lemak I (saya) cukuplah. Berbuih-buih cakap berhari-hari hantar gambar, hari-hari buat macam-macam. Ada antara mereka pun sudah pernah kerja di 1 Market.”
Yang pasti, Cef Wan juga tidak menolak kemungkinan bahawa disebabkan beliau jarang berada di restoran tersebut, kualiti menu-menunya terjejas. Itu kami ajukan dan ini pengakuan beliau: “Saya tidak tahu. Mungkin juga.”
Difahamkan, Cef Wan menjadi rakan kongsi restoran itu yang mula dibuka pada hujung Julai 2017. Dalam temubual menerusi panggilan, Cef Wan menyanggah pandangannya tahun lalu tentang lokasi restoran itu yang “bagus”.
“Kami dapati sepanjang kontrak Wan setahun, tempat itu kurang menarik perhatian yang mencukupi. I perasan tempat tu agak terpencil macam menyorok saja. I rasa tempat tu bukan lokasi yang baik.
“Kita ambil tempat itu sementara dari pemilik restoran makanan Jepun dan Korea,” jelas cef peramah itu lagi kepadaMediacorp. Beliau juga mendakwa bahawa mungkin juga faktor “hiasan dalaman” jadi punca kegagalan.
“Saya bantu mereka menjalankan tempat itu seketika dengan perabot mereka. Sayang nak buang,” katanya.
Cef Wan berpendapat bahawa memang sukar sekiranya beliau tidak berada di restoran tersebut sepenuh masa untuk memantau sendiri urusan perniagaan restoran tersebut memandangkan beliau begitu sibuk di Kuala Lumpur.
Mediacorp terus menggali jawapan dari beliau. Jika sebelum membuka restoran Chef Wan’s Kitchen dahulu Chef Wan pernah berkata lokasi restoran di Esplanade itu adalah tepat sekali tetapi mengapa kini menjadi lain pula?
“Yang perfect (sempurna) itu ialah Esplanade tetapi ia bukan menjadi isu. Bila masanya dah tiba untuk ditutup, tutuplah. What is the big deal? (Apa masalahnya?) Saya dah beri mereka peluang, beri mereka resipi saya,” katanya.
Chef Wan namun berkongsi bahawa beliau tidak berasa rugi apa-apa menandatangani kontrak selama setahun bersama rakan kongsi Singapura untuk Chef Wan’s Kitchen kerana beliau diberi saham percuma sebenarnya.
“Saya rasa itu adalah sesuatu yang bijak. Satu tahun cukuplah untuk tengok prestasi mereka,” tambahnya. Beliau turut ditanya apakah perasaannya ketika mengambil keputusan untuk menutup Chef Wan’s Kitchen di Singapura.
Chef Wan yang dikenali dengan sifatnya yang kelakar itu menjawab dengan penuh selamba: “Lega. Kalau boleh nak sedekah pisang kat masjid. Jadi tak payah pening kepala.
“Tak payah tengok macam mana cef Singapura itu kena maki hamun siang malam pun tak buat jugak. Sedangkan I buat di Mandarin Oriental Hotel KL hari-hari. 800 orang saya sajikan semua hari-hari tidak ada masalah pun.”
Di tengah-tengah pelbagai persoalan diajukan tentang penutupan restorannya itu, tukang masak yang petah bercakap itu memberikan satu berita lain. Pasti untuk mengimbangi berita buruk penutupan Chef Wan’s Kitchen.
“Dah ada pun orang tawarkan pada I. Pelabur dari Singapura,” dedahnya tentang adanya tawaran untuk membuka sebuah restoran lain di Singapura nanti.
Meskipun restoran di Esplanade terpaksa ditutup atas pelbagai sebab, beliau menegaskan tidak pernah serik. Adalah lebih baik untuk menutupnya kerana adat perniagaan adalah ‘you win some, you lose some’.
Katanya lagi: “Jika akan datang ada rezeki, buatlah. Bukan rugi duit I pun. Satu sen pun I tak keluar. Mereka bagi percuma, siapa tak nak?”
Beliau turut ditanya jika penutupan restoran kedua itu akan menjejas imej atau namanya sebagai seorang cef terkenal. Ini jawapan langsung Cef Wan membela dirinya: “Orang meniaga mana ada serik?
“Tidak ada apa yang harus dimalukan. Dekat restoran I, imej I bagus. Orang makan masakan I selama empat tahun, tamu-tamu sana sini kata makanan I sedap. Apa nak takut pada imej?”. – Agensi/Mynewshub.TV
* Video bawah sekadar hiasan…

Friday, 13 July 2018

Senarai 50 Individu Terkaya di Malaysia (2018)



Entri kali ini adalah mengenai senarai 50 individu terkaya di Malaysia untuk tahun 2018. Siapakah yang mendahului kedudukan itu? Senarai ini dikeluarkan oleh Forbes.com pada Mac yang lalu.

Tan Sri Robert Kuok masih kekal sebagai orang terkaya di Malaysia untuk tahun 2018. Beliau berada di kedudukan sebagai individu paling kaya di Malaysia sejak 13 tahun yang lalu.

Bilionair ini juga merupakan individu ke-96 paling kaya di dunia dengan kekayaan bernilai USD$14.8 bilion (RM57.7 bilion) yang sebahagian besarnya datang dari sektor minyak sawit, perkapalan dan hartanah.
Baca Juga : 8 Lebuhraya Paling Berhantu di Malaysia


Dalam senarai 50 orang bilionair dan jutawan ini, terdapat cuma 8 orang Melayu dan seorang wanita. Syed Mokhtar Al Bukhary yang berada di kedudukan ke-12 merupakan orang melayu terkaya di Malaysia ,manakala Norraesah Mohamad yang berada di kedudukan ke-48 merupakan wanita terkaya di Malaysia. 
Jadi , setelah melihat senarai ini , ada tak nama anda? Hehe, in shaa Allah jika kita kerja keras mungkin nama kita akan tersenarai juga. Mungkin buat masa ini kita berada di ranking terbawah, tetapi percayalah bahawa semua ini tidak penting. Yang penting adalah hati dan budi pekerti kita. *cewahh..


Semoga kita sama-sama termotivasi.

Sekian

P/S : Kalau salah seorang daripada mereka derma pada kita RM 1juta kan best. Btw, di mana kedudukan Dato Alif Syukri & Dato Vida ya? :)
Sumber : Forbes

Wednesday, 11 July 2018

Mak Cun’s Adventure semakin digemari…




PERMAINAN digital Media Prima Labs, Mak Cun’s Adventure menerima sambutan hangat apabila dimuat turun sebanyak 250,000 kali sejak dilancarkan hujung Mei lalu.
Malah, permainan dinspirasikan daripada drama bersiri popular Mak Cun itu mencipta sejarah apabila mendapat lebih 100,000 muat turun dalam tempoh 10 hari pelancaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali berkata, aplikasi itu turut dimuat turun pengguna peranti mudah alih di Singapura, Brunei dan Indonesia.
“Pencapaian ini di luar jangkaan kerana pada mulanya, kami mensasarkan 100,000 muat turun untuk tempoh tiga bulan.
“Kejayaan itu tercapai dengan sokongan pemain dan pihak media,” katanya.
Selain menyediakan masakan di warung Mak Cun, Rafiq berkata aplikasi itu kini memperkenalkan butik Mak Cun sebagai usaha Media Prima Labs menambah baik kandungan permainan.
“Kami mahu memberi kepuasan dan cabaran kepada pemain. Bagi Butik Mak Cun, pemain perlu melayan pelanggan yang datang membeli pakaian, aksesori dan barang kosmetik.
“Istimewanya, beberapa elemen budaya tempatan seperti Baju Kurung diselitkan dalam permainan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Media Prima Labs bakal memperkenalkan 30 tahap baru kemahiran memasak dalam permainan Mak Cun’s Adventure, bulan depan.
Pemain kini boleh membeli ‘coins” dan ‘gems’ bagi membolehkan mereka ke tahap seterusnya.
Mak Cun’s Adventure boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play Store dan Apple App Store.(IH)