Wednesday, 7 December 2016

Peniaga Raih Pulangan Lumayan Jual Kuih Putu Halba


Kuih Putu Halba

KOTA BHARU – Seiring dengan ketibaan musim tengkujuh di Kelantan, peniaga kuih putu halba, sejenis kuih tradisional diperbuat daripada ubi kayu yang dikisar bersama halba dan dikukus, turut muncul umpama cendawan yang muncul selepas hujan.

Seperti selalunya, peniaga putu halba, mampu memperolehi pendapatan lumayan, sehingga ada yang meraih jualan mencecah RM500 sehari.
Kuih berbentuk bulat seperti piring berintikan gula Melaka dan gula pasir dimakan bersama kelapa parut, enak dimakan ketika masih panas, seringkali dijual di gerai-gerai kecil yang dibuka khusus pada musim tengkujuh.
Seorang peniaga, Mohd Rosli Ghani, 42, ketika ditemui Bernama di kedainya di Kampung Chawas, Tanah Merah, berkata kuih itu hanya dijual pada musim tengkujuh memandangkan bekalan ubi kayu yang mudah diperoleh.
“Masyarakat dahulu sering tanam ubi kayu pada awal tahun untuk dijadikan sebagai persediaan bekalan makanan ketika musim tengkujuh bermula,” katanya.
Apabila hujan bermula, penanam ubi akan menuai tanaman ubi mereka bagi mengelak ia rosak sekiranya ditenggelami air, katanya.
Mohd Rosli berkata bagi proses pembuatan putu halba, ubi kayu akan diparut halus sebelum dimasak menggunakan cara dikukus dan ia dilakukan di gerai-gerai yang biasanya dibuka di tepi jalan.
Katanya, ia bukan pemandangan yang luar biasa apabila pelanggan terpaksa beratur, adakalanya dalam keadaan berpayung dalam hujan menunggu lama untuk membeli kuih terutama pada waktu petang.
“Kuih ini sangat laku (laris) terutama ketika hujan lebat. Saya mampu raih pendapatan sehingga RM500 sehari dengan hanya menjual kuih ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga Ramlah Hussin, 53, berkata setiap kali tibanya musim tengkujuh beliau tidak akan melepaskan peluang menjual kudapan ringan itu kerana ia menjadi ‘buruan’ oleh penggemarnya.
“Dengan menjual makanan itu pada musim ini saya mampu meraih pendapatan antara RM100 dan RM200 sehari kerana ia mendapat pemintaan tinggi,” katanya. – BERNAMA


Tuesday, 6 December 2016

MAHA 2016: Presiden PAS ucap terima kasih




KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan terima kasih kepada semua urusetia dan pegawai MAHA 2016 yang terbabit semasa lawatannya semalam. Perkara itu dinyatakan dalam facebook beliau hari ini.

“Sukacita saya merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua urusetia dan pegawai MAHA 2016 yang telah menjemput, mengurus dan melayan saya dan rombongan semasa lawatan ke tapak MAHA 2016 semalam ( 5.12.2016 ).

“Semoga usaha meningkatkan hasil pertanian negara mencapai kejayaan,” ujar beliau.

MAHA 2016 berlangsung dari 1 Disember hingga 11 Disember di MAEPS, Serdang dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

MAHA mempamerkan terkini dalam teknologi pertanian, makanan agro dan produk dan perkhidmatan berasaskan pertanian.

Pameran kali ini bertemakan "Makanan Kita Masa Depan Kita - Our Food Our Future", dan menampilkan kira-kira 1,500 gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk penyertaan peserta luar negara.

Tiada tiket atau bayaran dikenakan untuk masuk ke Pameran MAHA 2016. Hanya tapak letak kereta akan dikenakan bayaran RM5 untuk sebuah kereta. – HARAKAHDAILY 6/12/2016

Trump bidas dasar ekonomi China



AP - TRUMP bercakap semasa pertemuannya dengan Presiden Barack Obama di White House, Washington D. C. pada 10 November lalu.

WASHINGTON – Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump me­rungut tentang dasar ekonomi dan ketenteraan China di Twitter kelmarin tanpa petanda untuk berdamai selepas perbualan telefon beliau dengan Pre­siden Taiwan, Tsai Ing-wen mencetus kemarahan Beijing.
Perbualan telefon luar biasa antara Trump dan Ing-wen Jumaat lepas mengundang bantahan diplomatik terhadap AS pada hari berikutnya.
Perbualan tersebut adalah yang pertama sejak Presiden Jimmy Carter mengiktiraf dasar Satu China pada 1979.
Bakal Naib Presiden AS, Mike Pence cuba meredakan keadaan apabila menyatakan panggilan Ing-wen sebagai menghormati Trump dan bukan petanda AS mengubah dasarnya tentang China.
Namun, Trump, 70, yang sebelum ini berjanji akan melabel China sebagai pemanipulasi mata wang masih meneruskan retorik kerasnya kelmarin.
“Adakah China pernah bertanya kepada kita adakah baik untuk menurunkan mata wang yuan (mengakibatkan syarikat kita sukar bersaing), mengenakan cukai tinggi ke atas produk AS di negara mereka (AS tidak mengenakan cukai ke atas produk China) atau membina kompleks ketenteraan besar di tengah Laut China Selatan? Saya rasa tidak!” kata Trump.
China, Taiwan, Filipina, Vietnam, Malaysia dan Brunei menuntut sebahagian atau keseluruhan Laut China Selatan yang menjadi laluan perdaga­ngan bernilai beberapa trilion dolar setiap tahun.
China menyalahkan Taiwan berhubung panggilan telefon itu tetapi turut mengemukakan bantahan terhadap AS Sabtu lepas dengan menegaskan bahawa dasar Satu China perlu menjadi teras hubu­ngan antara Beijing dan Washing­ton. – Reuters

Sate Tuna Pertama Di Asia, Jual 23,000 Cucuk Di Pameran Pertanian.


Suzanna menunjukkan sate tuna yang menjadi salah satu tarikan pada MAHA 2016 di Maeps, Serdang semalam.


SERDANG – Sate tuna pertama di Asia yang dihasilkan di Wilayah Persekutuan Labuan dilihat berjaya memikat selera pe­ngunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan (MAHA) 2016 apabila mencatat jualan kira-kira 23,000 cucuk setakat ini.
Pengusahanya, Suzanna Ahmad berkata, produk yang berasaskan ikan tuna itu te­lah dilancarkan awal September lalu dan masih belum ada di mana-ma­na pasaran Asia ­apatah lagi dalam negara sama ada dalam bentuk siap dimasak mahu pun sejuk beku.
“Difahamkan, saya adalah pengusaha pertama di Asia yang mengusahakan produk ini dengan cara yang agak unik iaitu ikan tuna dijadikan sate.
“Produk ini dijangka dipasarkan di Malaysia termasuk seluruh Asia pada Februari atau Mac tahun depan dengan harga yang masih belum ditentukan lagi,” katanya kepada Kosmo! di gerai Sate Tuna di tapak MAHA 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) sini semalam. (IH)

Harga kereta tempatan dijangka naik 5-10%


perodua-proton1
SHAH ALAM, 5 DIS: Harga pasaran kenderaan tempatan dan import yang dipasang di negara ini dijangka bakal meningkat sekitar 5 hingga 10 peratus ekoran trend berterusan kejatuhan nilai ringgit.
Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, kenaikan itu mungkin boleh mencecah sehingga 15 peratus jika nilai ringgit terus merudum.
“Walaupun kereta seperti Proton dan Perodua adalah keluaran Malaysia tetapi mereka banyak bergantung kepada komponen diimport seperti kenderaan import yang dipasang dalam negara tentunya turut terkesan.
“Peratusan sebenar kenaikan ini banyak bergantung kepada peratusan kejatuhan nilai ringgit, misalnya selepas Donald Trum menang, harga ringgit jatuh dalam lima peratus, sekali gus boleh menyebabkan harga kereta naik,” katanya kepada SelangorKini.
Katanya, selain Proton dan Perodua, antara pengeluar lain yang dijangka menerima kesan kejatuhan nillai ringgit adalah kenderaan import yang dipasang dalam negara seperti Naza Kia.
dr_rosli_yaakob_Katanya, kenaikan itu berlaku apabila pengeluar kenderaan tempatan dan import yang dipasang di dalam negara tiada pilihan lain kecuali terpaksa membayar harga tinggi bagi mendapatkan komponen kenderaan masing-masing dari negara pengeluar.
“Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, pengeluar ini tiada pilihan kecuali terpaksa menaikkan harga pasaran kenderaan keluaran masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Aminar Rashid Salleh berkata, Perodua sedia mengkaji semula nilai pasaran harga keretanya jika ringgit terus lemah berbanding mata wang utama dunia. (SK)

Monday, 5 December 2016

Tolak GST kerana ia sistem cukai zalim




Ramai yang mengeluh dikenakan GST. Kata mereka GST tidak sesuai dilaksanakan sekarang di Malaysia dalam keadaan rakyat tertekan dengan kos kehidupan.

Ertinya mereka hanya menolak pelaksanaan GST kerana faktor masa bukan kerana menolak sistemnya yang zalim. Mereka mungkin menerima sistem GST sebagai satu sumber pendapatan negara akan datang.

Sedangkan GST perlu ditolak kerana sistem percukaian ini zalim dan tidak menepati syarat percukaian dalam Islam. Islam menolak percukaian berasaskan perbelanjaan kerana ia tidak boleh membezakan antara si kaya yang berkemampuan dan si miskin yang tidak berkemampuan.

Adapun cukai berasaskan pendapatan ia diharuskan dengan syarat-syaratnya yang tertentu.

Sebahagian besar ahli politik pembangkang yang menolak GST bukan kerana ianya bercanggah dengan Islam dan zalim tetapi hanya kerana ia dilaksanakan pada masanya yang tak sesuai.

Saya mengajak rakyat Malaysia menolak sistem GST sekarang dan akan datang kerana ia adalah sistem yang salah dan merosakkan keseimbangan ekonomi masyarakat khususnya si miskin.

Pelaksanaannya di banyak negara maju bukan alasan dan justifikasi untuk kita menerimanya kerana ia adalah sistem percukaian yang zalim dan menindas. - HARAKAHDAILY 5/12/2016

Dr Khairuddin at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat

Permohonan Umpan BR1M 2017 Dibuka Hari Ini..

Permohonan BR1M 2017 Dibuka 5-31 Disember


PUTRAJAYA – Permohonan dan kemas kini maklumat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 dibuka mulai 5 Disember hingga 31 Disember ini, kata Kementerian Kewangan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata notis dan surat pemakluman lulus atau gagal permohonan BR1M 2017 akan diposkan kepada pemohon mulai minggu kedua Februari 2017.
Bayaran BR1M akan mula dikreditkan ke akaun penerima secara berperingkat pada pertengahan Februari tahun depan, kata kementerian itu.
“Kerajaan berhasrat pembayaran BR1M tahun 2017 dapat membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.
Kementerian Kewangan berkata permohonan dan kemas kini maklumat itu boleh dilakukan secara manual atau dalam talian.
“Pemohon perlu mengemukakan maklumat peribadi dengan lengkap dan perlu dinyatakan maklumat waris, maklumat akaun bank dan nombor telefon yang boleh dihubungi,” kata kementerian itu.
Borang BR1M 2017 boleh didapati secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM), Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM.
Pemohon juga boleh memuat turun borang permohanan di portal rasmi BR1M di https://ebr1m.hasil.gov.my atau www.treasury.gov.my.
Kementerian Kewangan berkata pemohon perlu menyediakan dokumen tambahan seperti salinan kad pengenalan waris/tanggungan, dokumen slip pendapatan atau dokumen lain yang berkaitan.
Kementerian itu berkata permohonan juga boleh dibuat di portal rasmi BR1M LHDNM https://ebr1m.hasil.gov.my.
“Permohonan dalam talian hanya boleh dibuat menggunakan komputer sahaja dan salinan permohonan perlu disimpan bagi tujuan rekod.
“Aplikasi eBR1M tidak direka bentuk untuk capaian peranti mudah alih,” katanya.
Kementerian Kewangan berkata penerima BR1M 2016 sedia ada juga perlu membuat pengemaskinian maklumat terkini.
“Permohonan yang tidak lengkap akan menyebabkan permohonan tidak dapat diproses atau gagal,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober lepas mengumumkan pemberian BR1M kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.
Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, beliau mengumumkan pemberian BR1M dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.
Individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 pula BR1M dinaikkan daripada RM400 kepada RM450. – BERNAMA