Thursday, 6 April 2017

Siasat segera kehilangan RM1.1 bilion untuk rumah Felda


MERUJUK perkembangan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda ( PGBF ), bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd  Isa Samad dalam satu siaran disiarkan oleh akbar Sinar ruangan SOROT, mengesahkan Felda sudah mengeluarkan perbelanjaan RM400 juta hingga RM600 juta untuk pembangunan rumah fasa pertama 8,470 unit, selebihnya untuk pembinaan fasa seterusnya sebanyak 11,630 unit lagi memerlukan pinjaman daripada bank.
Ketua Jabatan Dokumen dan Kontrak PGBF, Mazlan Abdul Karim juga mengesahkan Felda sedang berusaha menyelesaikan pembinaan ini sepertimana dijanjikan akan siap sepenuhnya 20,000 unit pada 2018 dengan suntikan kewangan dari pihak organisasi luar. (Sinar 30 Ogos 2016)
Sebelum ini banyak kenyataan, Felda menyatakan bahawa mereka memperuntukan RM1.4 bilion untuk membina 20,000 unit PGBF bermula 2013 dan akan siap 2018. Antara rujukanya ialah :
Majalah Aspirasi Glokal - 30 Oktober 2014
Majalah Aspirasi Glokal - 30 Mei 2015
BERNAMA / Berita Harian - 23 April 2015
Jika merujuk kepada kenyataan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd  Isa Samad, sehingga 2016 hanya 8,470 unit sudah dalam proses pembinaan dengan Kos telah dibelanja RM600 juta, maka memberi kefahaman kepada kita, baki peruntukan daripada RM1.4 bilion ini ialah RM800juta.
Jadi kemana baki peruntukan RM800 juta ini sehinggakan pihak Felda perlu mendapatkan dana baharu?
Satu lagi suntikan dana pinjaman sejumlah RM300 juta diperoleh daripada Bank Perdagangan bertujuan memulihkan projek PGBF yang sakit diseluruh negara terumanya di Pahang (4,000 unit)
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Abu Bakar Harun dalam satu siaran Majalah Felda Aspirasi Glokal 30 Ogos 2015.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, menyatakan di Pahang 4,000 buah telah dilaksanakan oleh kontraktor terpilih, tetapi ada yang telah pun siap dibina sepenuhnya, ada yang masih di tahap 50 peratus pelaksanaan serta ada juga terbengkalai di peringkat awal lagi.
"Antara projek PGBF yang terbengkalai ialah di Felda Bukit Sagu Kuantan, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg. Awah dan Felda Chini 3, Pekan," katanya.
Berdasarkan beberapa kenyataan, maklumat serta pemerhatian yang kami lakukan, tidak ada laporan terperincil mengenai agihan peruntukan membaik pulih projek sakit ini. Beberapa tempat yang sebut di atas masih lagi tidak berubah terutamanya di Felda Bukit Tajau dan Felda Chini 3.
Jika peruntukan daripada RM1.4 bilion, telah digunakan hanya RM600juta, ini memberi perkiraan jumlah peruntukan ini berbaki RM800 juta dan ditambah dengan pinjaman tambahan membaik pulih projek sakit RM300 juta, keseluruhan nilai kewangan projek ini ialah RM1.7 bilion.
Jika betul RM600juta telah digunakan, ini bermakna RM1.1 bilion lagi masih berbaki. Persolannya kenapa perlukan dana baharu? Ke mana baki peruntukan ini?
Kami melihat ada sesuatu yang disembunyikan dan sewajarnya warga Felda diberi penjelasan segera mengenai perkara ini.
Kami menyeru semua pihak terutamanya pertubuhan berkaitan Felda seperti GENERASI, MBFM dan KAF peka dan terus memantau projek ini agar tidak disalah urus oleh pihak berkepentingan.
Kami mendesak pihak berkuasa Polis, SPRM membuat siasatan terbuka jika benar ada unsur penyelewengan projek PGBF yang maklamat asal sangat murni untuk menyediakan 20,000 unit rumah kepada generasi kedua Felda.
NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
05 April 2017 / 08 Rejab 1438H – HARAKAHDAILY 5/4/2017

Tuesday, 4 April 2017

Amy Search Serius Dalam Bidang Rekaan Fesyen


Amy Search mahu terus serius dalam bidang fesyen menerusi jenama pakaiannya iaitu General Products by Amy Search. Foto ROHAZIAT DARUS



PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Search iaitu Amy serius untuk menceburkan diri dalam bidang fesyen menerusi jenama pakaiannya iaitu General Products by Amy Search.
Penyanyi berusia 59 tahun ini berkata, sejak dahulu lagi dia memang memasang hasrat untuk menghasilkan labelnya sendiri kerana memang meminati fesyen.
"Sepanjang 35 tahun sebagai penyanyi, fesyen itu memang tidak dapat dipisahkan dan ia sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan karier seni saya.
"Saya memang sudah lama pasang hasrat untuk memiliki label pakaian sendiri tetapi tidak tahu bagaimana hendak mulakan kerana tiada pengalaman.
"Kewujudan General Products by Amy Search adalah satu impian yang jadi kenyataan dan anda akan lihat lebih banyak pakaian dihasilkan menerusi jenama ini," katanya kepada mStar Online.
Antara koleksi menarik daripada General Products by Amy Search.
Amy ditemui pada Minggu Fesyen Islamik Asia 2017 (AIFW2017) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, Ahad.
Pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman itu buat pertama kali menampilkan koleksi terbaharu jenama General Products by Amy Search pada acara itu.
Antara selebriti lain yang turut memperagakan koleksi mereka adalah Mizz Nina menerusi Sawdaa, Vie Shantie (V Hijrah) dan Erma Fatima (Mak Cun dan Khalif by Eirma Fatima).
Dalam pada itu, Amy berkata, rakan kongsi yang juga isterinya, Norhasniza Hassan atau Nourish adalah insan paling penting dalam memastikan semua ideanya terlaksana.
"Isteri banyak membantu dalam merialisasikan semua idea yang ada dalam kepala saya kerana dia faham apa yang saya mahukan dalam sesuatu koleksi.
"Malah untuk Minggu Fesyen Islamik Asia ini dia adalah orang penting bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik," katanya.
Model memperagakan jubah rekaan Amy.
Bercakap mengenai AIFW2017, Amy berkata, dia sebenarnya tidak percaya apabila diberi peluang untuk mementaskan koleksi General Products by Amy Search kerana merasakan masih baharu dalam bidang fesyen.
Bagaimanapun dia tetap menyahut cabaran itu kerana menganggap ia peluang yang tidak patut dilepaskan dan mengambil masa dua bulan membuat persiapan.
"Macam tak percaya! Tetapi Alhamdulillah ini adalah impian saya dan kami mengambil masa dua bulan untuk melakukan persiapan.
"Dalam tempoh itu pelbagai idea saya keluarkan bagi memastikan apa tampilkan sesuatu yang segar dan melambangkan diri dan ada 'feel' Amy Search itu.
Tambah Amy lagi, dia tidak akan memberi fokus kepada pakaian berbentuk Islamik sahaja sebaliknya merancang untuk mempelbagaikan rekaan menerusi jenamanya pada masa hadapan. (mStar)

Monday, 3 April 2017

Program Tenaga Nuklear, Apa Yang Masyarakat Perlu Faham?


KEMALANGAN loji nuklear di luar negara membuatkan rakyat di negara ini bimbang untuk menerima sumber tenaga alternatif itu. – Gambar hiasan


WALAUPUN Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan kesediaan Malaysia membuat keputusan berdasarkan maklumat untuk memperkenalkan tenaga nuklear, masih terdapat persoalan sama ada orang awam sudah bersedia untuk menerima sumber tenaga alternatif itu atau sebaliknya.
Ramai yang masih dihantui bencana yang melanda loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun pada Mac 2011 berikutan gempa bumi dan tsunami, selain kemalangan loji tenaga nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyebabkan kematian akibat radiasi.
Menurut Pengarah Eksekutif Pusat ASEAN untuk Tenaga (ACE), Dr. Sanjayan Velautham, isu-isu keselamatan tetap menjadi kebimbangan utama orang ramai berhubung aktiviti nuklear.
Biarpun kemalangan reaktor nuklear telah lama ditegaskan sebagai peristiwa yang mempunyai kebarangkalian rendah namun akibatnya tinggi, dan sesetengah orang masih keberatan untuk mengambil risiko, walau betapa rendah sekalipun kebarangkalian bencana seumpama itu berlaku.
Bercakap kepada Bernama selepas Persidangan Tahunan Kelapan Nuclear Power Asia, di ibu negara baru-baru ini, beliau berkata, sebelum mana-mana negara memutuskan untuk menggunakan atau membina loji tenaga nuklear, mereka perlu mematuhi garis panduan IAEA yang menekankan aspek 3S (safety, security and safeguard) yang sangat penting iaitu selamat, terjamin dan terkawal.
Agensi itu juga telah membangunkan pendekatan IAEA Milestone Approach untuk membantu negara-negara yang sedang mempertimbangkan atau merancang untuk membina loji tenaga nuklear pertama.
Panduan
“Milestone Approach ini (disediakan untuk memberi panduan mengenai aktiviti yang perlu dilaksanakan) bagi tujuan membangunkan infrastruktur yang mencukupi untuk menyokong program tenaga nuklear negara,” katanya.
Persidangan itu dianjurkan oleh Clarion Events bersama Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia dan disokong oleh Korean Nuclear Energy Agency dan Badan Tenaga Nuklir Nasional Indonesia.
Dalam ucapan pembukaannya pada persidangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, misi Laporan Akhir Kajian Semula Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) IAEA telah menilai pembangunan infrastruktur Malaysia untuk program tenaga nuklear dan membuat kesimpulan bahawa negara ini bersedia sepenuhnya dan telah membangunkan asas pengetahuan yang sewajarnya untuk membuat keputusan bagi memperkenalkan tenaga nuklear.
Beliau berkata laporan akhir misi, yang diserahkan oleh IAEA kepada beliau pada awal bulan ini akan dibentangkan di Kabinet tidak lama lagi.
Misi INIR agensi itu menilai status negara-negara anggota dan tahap kesediaan untuk membangunkan program-program tenaga nuklear.
Penemuan pasukan INIR dijangka dapat membantu negara-negara berkenaan untuk membangunkan pelan tindakan bagi mengisi sebarang jurang yang ada ke arah pembangunan infrastruktur nuklear negara.
Antara kebimbangan utama awam mengenai pelaksanaan program nuklear ialah sisa radioaktif yang mungkin berbahaya kepada manusia dan alam sekitar.
Sanjayan bagaimanapun berkata, industri nuklear telah menetapkan langkah-langkah keselamatan dalam menguruskan kesemua kategori sisa radioaktif yang dikenali sebagai sisa tahap rendah (LLW), sisa tahap pertengahan (ILW) dan sisa tahap tinggi (HLW).
Beliau berkata, sebahagian besar (97 peratus) daripada jumlah sisa yang dihasilkan terdiri daripada LLW dan ILW yang dilupuskan dengan selamat di tapak pelupusan di banyak negara supaya tidak mendatangkan bahaya atau risiko dalam jangka panjang.
Amalan ini dijalankan sejak bertahun-tahun sebagai satu perkara rutin di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Korea Selatan dan China.
Mengimbangi
Bagi HLW, jumlah yang dihasilkan sebenarnya masih kecil berbanding sisa daripada sektor-sektor industri lain, katanya.
“HLW kini tersimpan dan diuruskan dalam kemudahan penyimpanan sementara yang selamat, menyediakan persekitaran yang sesuai untuk membendung dan menguruskan sisa berkenaan.
“Kemudahan ini juga membolehkan haba dan keradioaktifan daripada sisa menjadi rosak sebelum pelupusan (repositori) geologi jangka panjang,” jelas beliau.
Negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Perancis dan Finland sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan repositori muktamad atau pelupusan geologi untuk HLW, kata Sanjayan.
Negara lain seperti China dan Korea Selatan telah terlibat dalam usaha-usaha untuk memproses semula bahan api yang digunakan untuk mengurangkan jumlah bahan buangan dan menggunakannya semula di loji jana kuasa nuklear mereka.
Sambil menegaskan bahawa nuklear bukanlah saingan bagi sumber tenaga lain, Sanjayan bagaimanapun berkata, ia penting bagi negara untuk mempertimbangkan pelbagai sumber bagi mengimbangi campuran tenaga sedia ada dan mengekalkan jaminan tenaga jangka masa panjang.
Beliau berkata, tenaga nuklear boleh memberi sumbangan besar ke arah mengurangkan kesan perubahan iklim, dan menjamin peningkatan tenaga dan pembangunan ekonomi. (Kosmo!)

Saturday, 1 April 2017

Najib Razak Teroka Peluang Baharu Di India?

 Najib bersama Rosmah (belakang, dua dari kiri) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai bagi memulakan lawatan rasmi selama enam hari ke India bermula semalam.

CHENNAI – Datuk Seri Najib Tun Razak menaruh harapan untuk meneroka peluang-peluang baharu semasa lawatan rasmi beliau ke India bermula semalam.


Perdana Menteri berkata, beliau berharap dapat bertukar-tukar idea dan mengadakan perbincangan yang berhasil dengan Perdana Menteri, Narendra Modi (gambar kecil) bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara.
“Ini merupakan lawatan saya kali ketiga ke India sejak menyandang jawatan Perdana Menteri (2009).
“Semasa lawatan ini, saya akan menemui antara lainnya peneraju industri dan menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global ketujuh,” kata Najib dalam laman blog najibrazak.com semalam.
Dalam pada itu, Najib tiba di sini semalam untuk memulakan lawatan rasmi enam hari ke India termasuk ke New Delhi dan Jaipur.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai pada pukul 1.50 tengah hari waktu tempatan (pukul 4.25 petang waktu Malaysia).

Friday, 31 March 2017

RM10 Juta, Jual Dara. Satu Bisnes Baik. Anda Ingin Serta?

kefren

REMAJA ini, Aleexandra Kefren sebelum ini telah mengiklankan diri untuk menjual daranya dan kini hajatnya itu tercapai apabila dia mendapat bidaan tertinggi pada harga 2.3 juta euro atau kira-kira RM10 juta daripada seorang ahli perniagaan dari Hong Kong.

Proses membida itu dikendalikan oleh sebuah agensi Cinderella Escorts dari Jerman. Bagi tujuan berkenaan, sebuah bilik hotel telah ditempah dan Kefren, 18, juga telah berbual dengan pembelinya itu melalui telefon.
Mereka bagaimanapun masih belum bertemu.
“Saya memang mahu menjual dara saya dengan Cinderella Escorts berbanding memberikannya kepada rakan saya yang mungkin akan meninggalkan saya,” katanya.
Keputusan Kefren ini bagaimanapun telah mendapat tentangan daripada keluarganya dan mereka mengancam untuk membuangnya jika dia tetap dengan keputusan berkenaan.
Ini kerana apa yang dilakukan oleh Kefren ini tiada bezanya dengan pelacur, yang menjual kehormatan kepada lelaki yang sedia memberikan bayaran.
Selepas mendapat bidaan berkenaan, Cinderella Escorts telah menerima tawaran daripada kira-kira 300 anak dara yang berhajat mahu menjual dara mereka dari seluruh dunia.
Ia termasuk dari Australia, Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Selatan serta Asia. 
Demikian Lapor MYNEWSHUB.CC
Komen Weblog Ibnu Hasyim: RM10 juta, hasil dari jual dara. Ini suatu kejayaan bagi Aleexandra Kefren, bisnes yang dikendalikan oleh sebuah agensi Cinderella Escorts dari Jerman. 
Selepas mendapat bidaan berkenaan, Cinderella Escorts telah menerima tawaran daripada kira-kira 300 anak dara yang berhajat mahu menjual dara mereka dari seluruh dunia. Hebat bisnes ini sesiapa pun bisa menyertainya.
Kecuali penganut-penganut beragama Islam, dia terikat dengan peraturan 'halal-haram' dalam kehidupan dan bidang bisnesnya. Kita sedar kebanyakan negara-negara di dunia mentarbiahkan rakyatnya supaya maju dalam bisnes tanpa peduli halal-haram lagi, walaupun menurut agama masing-masing.
Termasuk di negara umat Islam Malaysia, kerajaan sendiri main judi, memberi laluan kepada sektor-sektor perniagaan haram seperti bisnes judi, arak, lacur, konsert hiburan lagha dan lain-lain maksiat lagi. Jasteru, bagaimana mengatasinya?
Salah satu cara mudahnya, ialah dengan semua rakyat perlu mengundi parti berdasarkan agama yang globalisasi. Contohnya ialah parti Islam. Islam agama kesejagatan, agama mendunia. Bukan BN parti sekular, bukan DAP cauvanis sekular, PKR dan lain-lain. Semuanya sama parti sekular, non Islamik, cuma pelaku-pelakunya saja berpelbagaian, tetapi dasarnya sama.
Bersiaplah keluar mengundi PRU 14 ini. Tentukan pendirian anda!

Thursday, 30 March 2017

3 lagi didakwa ubah wang haram.


RAMLI (kanan), Mohamed Thamimul (tengah) dan Muhammad Razik (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen semalam selepas didakwa atas 899 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.7 bilion.


JOHOR BAHRU – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 899 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1.7 bilion sejak 2012 hingga tahun lepas.
Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di dua kamar mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Mohamad Khalid Ab. Rahim.
Mohamed Thamimul Ansari, 41, menghadapi 351 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM791.5 juta; Ramli Mohd. Hassan, 59, sebanyak 196 pertuduhan melibatkan RM149.1 juta manakala Muhammad Razik Mohamed Riyaludin, 36, sebanyak 352 pertuduhan melibatkan RM791.5 juta. (Kosmo!)

Wednesday, 29 March 2017

Ubah wang haram RM1.4 bilion



Sebahagian daripada 14 individu diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam selepas didakwa atas 646 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1.4 bilion.


JOHOR BAHRU – Seramai 14 individu termasuk dua wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 646 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1.4 bilion sejak tahun 2012.
Kesemua tertuduh ialah Ahmad Shah Mhd. Shafie, 36; Arus Md. Salleh, 28; Luwi Poh Li, 38; Tay Kim Kee, 58; Wong Shu Haw, 39; Muhammad Azuwan Ismail, 22; dan Muhammad Faizul Mohd Haniffa, 23,
Turut didakwa ialah Jihad Dudden Shaikh Ali Khan, 26; Mohd. Ali Jinnah, 54; Naina Mohammad Abd. Kadar, 41; Noor Suhaily Harun, 27; Sutanto Sanarja, 49; dan Tajuddeen Abdul Rahim, 69 dan Ter Leong Jenn, 40.
Kesemua mereka ma­sing-masing merupakan pemilik tunggal syarikat, pengarah syarikat dan rakan kongsi.
Bagaimanapun, ke­semua tertuduh tidak mengaku salah selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim. (Kosmo!)