Friday 12 March 2010

MEB Belum Sertakan Rangka Lindungi Bumiputera


KUALA LUMPUR, 12 Mac — Model ekonomi baru masih belum menyertakan sebarang rangka kerja untuk melindungi kepentingan ekonomi orang Melayu, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah hari ini.

Sehubungan itu jelas Husni , ranka kerja sedemikian hanya akan dimasukkan selepas model ekonomi baru ini dikemukakan kepada Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan (NEAC) untuk diletakkan input.

“Sebenarnya tiada formula untuk inisiatif untuk melindungi pembangunman ekonomi Melayu dalam model ekonomi baru,” kata beliau di sini hari ini.

“Rangka kerja model ekonomi baru akan diberikan kepada NEAC dan ia akan dipamerkan supaya setiap orang, setiap kaum dan sektor boleh memberikan input mereka,” kata beliau lagi.

Husni berkata kerajaan masih melihat pada aspek “pertumbuhan berasaskan ekuiti” bermakna tidak akan mengabaikan kepentingan mana-mana kaum khususnya Bumiputera.

“Kita tidak akan mengetepikan mana-mana kaum dalam pembangunan negara.

“Sebab itu kita menekankan istilah pertumbuhan dengan ekuiti,” katanya.

Model ekonomi baru ini yang ideanya digerakkan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu mengesyorkan ekonomi dibuka dan tidak lagi memberi penekanan kepada kuota Bumiputera dalam beberapa sektor demi meningkatkan pendapatan kumpulan pertengahan.

Bagaimanapun syor itu mendapat “tentangan” kalangan anggota Kabinetnya sendiri selain pendirian tegas kumpulan bukan kerajaan baru ditubuhkan, Majlis Perundingan Melayu, yang antara lain disertai Perkasa.

Dalam pertemuan di ibu negara minggu lalu kumpulan itu menggesa agar agenda Melayu dipertahankan.

Semalam perdana menteri berkata model ekonomi baru akan diumumkan dalam dua peringkat termasuk bahagian pertama hujung bulan ini manakala yang kedua bersama Rancangan Malaysia Ke-10. (The Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment