Sunday 14 March 2010

Tahun Keramat: Malaysia ‘Great Nation’ 2050?

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Malaysia wajar menjadi negara agung atau ‘great nation’ pada 2050.

Demikian pandangan diketengahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) Ab. Rahim Mohd Noor yang percaya rakyat Malaysia bersama-sama perkhidmatan awam boleh menetapkan 2050 sebagai tahun keramat negara mengecapi status ‘great nation’.

Pada tahun 2050 negara akan mencapai usia 93 tahun selepas merdeka.

Ab. Rahim berkata pembentukan Malaysian sebagai sebuah ‘great nation’ pada 2050 adalah impian bagi membentuk perkhidmatan awam ketika itu agar dapat menyumbang ke arah wujudnya bangsa Malaysia sebagai kuasa ekonomi disegani, keupayaan pertahanan negara yang strategik, negara dihormati, masyarakat bertamadun tinggi, memacu perkembangan ilmu pengetahuan dan melahirkan inovasi mendahului zaman.

Beliau menyatakan demikian dalam kertas kerja yang dibentangkannya pada Seminar 1 Malaysia: Jati Diri Kebangsaan Manhaj Islami yang berakhir di ibu negara semalam.

Ab. Rahim menambah, setelah negara berjaya mengharungi sembilan cabaran Wawasan 2020 dan menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020, langkah seterusnya wajar difikirkan bersama adalah “ke manakah hala tuju setelah melepasi 2020.”

“Dalam konteks ini semua pihak adalah disyorkan supaya menyediakan perancangan strategik untuk dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” katanya.

Dengan menggariskan enam isu utama dalam pembentukan jati diri kebangsaan, Ab. Rahim juga berkata kerajaan sedang merangka Pelan Transformasi Sektor Awam (PTSA) bagi mendokong inisiatif kepimpinan negara dalam melaksanakan Rancangan Malaysia Ke-10, Program Transformasi Kerajaan, gagasan 1 Malaysia dan model ekonomi baru.

Ia di antara usaha diambil bagi mengukuhkan jati diri individu menerusi pembangunan keupayaan kepimpinan yang berkesan.

Justeru, kata beliau tugas dan tanggungjawab transformasi perkhidmatan awam akan digalas oleh Mampu bersama-sama dengan rakan strategik yang lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbendaharaan, Unit Perancangan Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan dan pelbagai kementerian bagi menerajui PTSA.

“Selain itu perlu ditegaskan bahawa transformasi perkhidmatan awam bukannnya milik eksklusif Mampu tetapi turut dimiliki semua agensi perkhidmatan awam,” katanya.

Selain PTSA turut disyorkan ialah melaksanakan proses transformasi mengikut sektor agensi.

“Dalam hal ini, agensi-agensi utama di bawah sektor yang telah dikenal pasti sebagai bidang kritikal bagi membentuk jati diri akan disasarkan untuk proses transformasi terlebih dahulu,” katanya.

Antara agensi yang dimaksudkan ialah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi sektor pendidikan manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan Biro Tatanegara bagi sektor sosial.

Usaha ketiga ialah melaksanakan proses transformasi terhadap individu penjawat awam.

Transformasi merupakan suatu perubahan dan anjakan yang mesti disahut dengan hati yang cekal dan dada yang terisi sarat dengan obor perjuangan, katanya.

“Di dalam konteks ini gema transformasi bukanlah membawa konotasi yang memerlukan warga perkhidmatan awam berjuang sehingga ke ‘titisan darah’ yang terakhir seperti Gandhi dan Leftenan Adnan atau dipenjarakan seperti Nelson Mandela atau Martin King.

“Transformasi di sini memerlukan penjawat awam yang mempunyai ciri-ciri yang dikategorikan sebagai iconoclast iaitu pegawai-pegawai awam yang sanggup berubah, mengharungi dan melaksanakan sesuatu perkara tatkala orang lain mengatakan sesuatu perkara tersebut adalah mustahil atau tidak boleh dilaksanakan,” katanya. (Thr Malaysian Insider)

No comments:

Post a Comment