Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd (HDC) menyasarkan Arab
Saudi sebagai pasaran baru tahun ini yang memberi peluang besar kepada
pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan unjuran
nilai perdagangan keseluruhan berpotensi RM100 juta dalam pelbagai
sektor.
Arab Saudi adalah negara baru yang mengadakan kerjasama perdagangan
dengan HDC dalam industri halal iaitu dalam bidang perkongsian kepakaran
status halal, pelaburan dan teknologi dalam kalangan PKS antara dua
negara.Timbalan Presidennya, Prof Malik Musharaf berkata, ketika ini, HDC menjalankan kerjasama dengan 20 negara antaranya China, Singapura, Thailand, India, Australia, Amerika Syarikat, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan Belanda.
Beliau berkata, dengan kemasukan Arab Saudi sebagai rakan kerjasama terbarunya akan membantu PKS tempatan mengembangkan perniagaan mereka dalam industri halal ke pasaran asing lebih meluas berikutan kemampuan permintaan produk dari negara di sekitarnya.
“Pihak berkuasa dari Arab Saudi juga memperuntukkan 100 syarikat Malaysia untuk menjalankan perniagaan di negaranya dalam pelbagai sektor yang berpotensi antaranya makanan dan minuman, farmaseutikal dan kosmetik.
“HDC mempunyai 900 syarikat dalam industri halal yang mengikuti Program Transformasi Perniagaan Halal (HBT) dan telah mengenal pasti 100 syarikat daripada jumlah berkenaan untuk memasarkan serta menjalankan perniagaan di negara terbabit.
Namun, senarai syarikat berkenaan akan diteliti oleh Arab Saudi terlebih dulu,” katanya.
Malik berkata, HBT antara 20 program yang dinilai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada tahun lalu dan diiktiraf sebagai program terbaik oleh Jawatankuasa Penilaian Outcome.
“Kami melihat langkah ini dapat melahirkan banyak usahawan tempatan menceburi sektor halal secara global dengan bantuan perkongsian maklumat pemasaran asing dan insentif lain pelepasan cukai,” katanya. (myMetro)