Oleh DR DZULKEFLY AHMAD
CADANGAN penggabungan bank sekali lagi mengambil pentas utama dalam sektor kewangan negara mutakhir ini.
Saya
ditanya pihak media apakah ia punya hubungan dengan persiapan mendepani
cabaran era persaingan yang lebih sengit setelah Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani.
Setelah saya ditanya media
dan mungkin sahaja boleh 'diputar’ atau ‘spin’ oleh pihak media bagi
menyokong atau membantah sesuatu maksud, lebih baik saya terus menulis
sahaja artikel berhubung tajuk ini.
Menubuhkan sebuah bank
bersifat mega dan mempunyai aset yang lebih besar, logiknya akan memberi
keupayaan untuk lebih mampu bersaing. Begitulah agaknya tanggapan umum.
Kalau diberitahu oleh pihak kerajaan akan keperluannya begitu, akan
pasti diangguk dan diterima sahaja oleh rakyat.
Untuk peringatan
umum, kali terakhir ‘penggabungan bank’ berlaku secara besar-besaran
adalah pada era Tun Dr Mahathir Mohamad setelah kegawatan kewangan
1997. Malaysia yang ada 58 institusi kewangan dan perbankan diarah
bergabung menjadi enam ‘anchor bank'.
Tidak ramai yang ingat
bahawa ‘konflik kepentingan’ antara Tun M dan Tun Daim Zainudin, setelah
menggantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai Menteri
Kewangan, berakhir dengan menyaksikan jumlah 'anchor bank' menjadi 10
buah. Tun Daim yang berebut dengan Mokhzani Mahathir untuk mengambil
alih ‘control’ salah satu ‘anchor bank' tersebut.
TRADISI SONGSANGPeristiwa
ini juga merakamkan sejarah yang menyaksikan Tun M melantik dirinya
sebagai Menteri Kewangan dan sehingga kini tradisi ‘songsang’ ini
diteruskan secara ‘komplian’ oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan
kini Dato' Seri Najib Razak.
Penguasaan terhadap Kementerian
Kewangan sekali gus memberikan Presiden Umno kawalan ke atas sektor
kewangan negara yang sebahagian besarnya adalah dalam pemilikan kerajaan
melalui syarikat-syarikat kaitan kerajaan (GLC) mengikut dapatan Dr
Terrence Gomez, seorang profesor ‘Political Economy’ di Universiti
Malaya.
Untuk ingatan umum, semasa Krisis Kewangan Asia 1999,
bebanan hutang tak berbayar (NPL) seumpama ditanggung Sime Bank (nama
asal UMBC) dan Bank Bumiputra, yang 'dikontrol' oleh kerajaan, mencecah
RM21 bilion daripada sejumlah RM28 bilion seluruh NPL dalam negara.
Bank
Bumiputra digabung dengan Bank of Commerce menjadi sebahagian daripada
CIMB Holding Group. Sementara itu, Sime Bank digabungkan dengan RHB Bank
yang umum mengetahui dimilikki oleh Tan Sri Rashid Hussain. Ketika
Rashid Hussain ‘bermasalah’ dengan pimpinan Umno, kepentingan RHB
diambil oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud melalui penggabungan
dengan Bank Utama dan dana KWSP memiliki pegangan saham majoriti.
SKANDAL UMBCRHB
itu sendiri adalah hasil penggabungan antara Kwong Yip Bank yang dibeli
daripada Malayan Banking dan Bank D&C yang ditubuhkan oleh bekas
Menteri Kewangan HS Lee dan dimiliki oleh anaknya Alex Lee, seorang
pimpinan kanan Parti Gerakan, yang juga rapat dengan Tun M dan Daim.
Meneliti
sejarah CIMB dan RHB secara lebih khusus akan menyerlahkan dakwaan
tentang bagaimana sektor kewangan ini sememang menjadi perebutan dan
dikawal rapi oleh kepentingan penguasa politik dan elit bisnes.
Umno
pada 1975 mengambil alih sebuah bank berpangkalan di Sarawak iaitu Bank
Bian Chiang dan dijenamakan kembali sebagai Bank of Commerce, yang
sepatutnya bergabung dengan UMBC (United Malayan Banking Corporation)
milik Daim pada 1985 tetapi gagal dilaksanakan. Peristiwa yang diberi
jolokan “UMBC Scandal” berakhir dengan saham Daim dalam UMBC dijual
kepada Pernas.
UMBC kemudiannya berada di bawah 'kontrol' Datuk
Keramat Holding dan koperasi Umno, KUB. UMBC mengalami pelbagai masalah
tadbir-urus dan skandal pinjaman, sehingga beralih kawalan di bawah Sime
Darby, sebuah GLC awam. UMBC mengalami penjenamaan semula dengan nama
Sime Bank yang kemudiannya bergabung dengan RHB.
Pada 10 Julai
lalu, pasaran kewangan kembali sibuk dengan berita bahawa penggabungan
antara CIMB Group Holding, RHB Capital, dan Malaysian Building Society
Bhd (MBSB) sedang dalam proses pembikinan. Ia sekali gus akan
menampilkan sebuah institusi kewangan Islam terbesar di Asia Tenggara.
Ia
akan membentuk sebuah bank mega dengan aset sejumlah RM613.7 bilion,
mengatasi bank utama dan terbesar di Malaysia, iaitu Maybank Bhd yang
memiliki aset sebanyak RM578 bilion.
TUJUAN PENGGABUNGANNah, apakah tujuan penggabungan buat kali ini? Ramai yang ingin tahu. Apakah cakap tentang perlaksanaan TPPA puncanya?
Yang
jelasnya daripada sedikit pengkisahan dan naratif penggabungan
perbankan di atas, ia adalah lebih tepat lagi untuk konsolidasi kuasa
dan 'kontrol-kawalan' pihak keajaan dan elit bisnes. Maka dalam
pusingan kali ini pun, penulis cenderung untuk membuat telahan bahawa ia
juga bermatlamat sedemikian.
Siapa yang mendapat keuntungan
segera daripada proses penggabungan ini tidak perlu dipertikaikan kerana
umum sudah sangat faham dan tahu bank mana yang kerap diberikan tugasan
melaksanakan kegiatan M&A atau penggabungan dan pembelian seperti
ini.
Tidak ada penganalisis kewangan pun yang diperhatikan
penulis secara jelas menyokong penggabungan bank menjadi sebuah ‘mega
bank’ sebagai langkah yang bijak dan wajar dalam mendepani cabaran TPPA.
Sebaliknya
proses pergabungan yang dizinkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk
dilunaskan dalam 90 hari itu, dilihat sebagai berpotensi mencetuskan
pelbagai masalah kompleks dalam proses integrasi atau penggabungan serta
menampilkan pelbagai risiko dan cabaran.
Kekhuatiran ini
dilahirkan oleh sebuah agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings.
Isu-isu yang dibangkit Fitch Rating adalah sangat munasabah bersabitan
proses integrasi yang kompleks di antara CIMB dan RHB yang dirumitkan
lagi dengan kmasukan MBSB yang bukan sebuah bank. Juga Fitch Ratings
menelah kemungkinan akan melemahkan ‘capital buffer’ bagi CIMB kalau
tidak dibantu dengan suntikan ekuiti baru yang mencukupi.
PEKERJA MENJADI MANGSATidak
kurang juga ada pihak-pihak yang akan menjadi mangsa dan dimangsakan
seumpama pekerja-pekerja dan pemilik saham minoriti, seperti biasa.
Maka
tidak hairanlah, cadangan penggabungan CIMB Group Holding, RHB Capital,
dan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) ini telah ditentang oleh
beberapa pihak. Masing-masing punya sebab untuk menolak penggabungan.
Putrajaya
berdepan kritikan terhadap cadangan penggabungan ini apabila kesatuan
perbankan nasional, pemimpin Umno sendiri dan kerajaan Abu Dhabi
membantah pembentukan bank terbesar negara itu.
Abu Dhabi
(melalui Aabar Investment PJS) pemilik 21.4% saham RHB, mahu memastikan
mereka mendapat harga bayaran saham terbaik. Mereka turut mengugut
Putrajaya untuk menarik balik pelaburan berbilion ringgit bagi projek
Rapid Petronas di Pengerang. Isunya adalah harga saham.
Sementara
Abu Dhabi khuatir tentang kepentingan mereka tidak diambil kira dalam
proses penggabungan ini, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja
Bank (NUBE), menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Bank Negara kerana
tidak dibawa berunding bersama.
Secara lebih khusus mereka mahu
pastikan nasib pekerja-pekerja bank terjamin selepas penggabungan.
Penggabungan pusingan pertama meninggalkan pekerja sebagai mangsa
‘collateral damage’ dalam ‘perang korporat’ merebut kuasa dan 'kontrol'.
NEPOTISMEPemimpin
Umno membantah kerana mereka akan dituduh mengamalkan nepotisme dan
kronisme kerana CIMB diterajui adik kepada PM Najib iaitu Dato' Seri
Nazir Razak.
Kalau benar mewujudkan sebuah Mega Bank Islam adalah
penting maka mengapa tidak diberikan kepada Maybank, bank milik negara,
yang juga mahu membeli RHB sedikit waktu dahulu? Jelas persepsi tentang
amalan kronisme Putrajaya sekali lagi berbangkit.
Ketiga-tiga
institusi ini mempunyai satu persamaan yakni dimiliki oleh KWSP, yang
berkebetulan di bawah penguasaan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.
Tidak dapat tidak ‘masalah persepsi’ tentang amalan kronisme sukar untuk
dinafikan ketika Najib memilih Nazir melalui CIMB dan tidak pula
Maybank untuk melaksanakan mewujudkan Mega Bank Islam ini.
Benar
Nazir akan diganti Dato' Zafrul Abdul Aziz, selaku CEO baru CIMB namun
Nazir disamping akan mengambil alih Pengerusi Lembaga akan juga menjadi
Pengerusi sebuah ‘Jawatankuasa Eksekutif’ yang bakal ditubuhkan CIMB
yang berperanan dalam penentuan polisi dan urusan strategik pelaburan.
Maka
persoalan yag perlu dijawab Najib dan pentadbirannya di Putrajaya
adalah, apakah penggabungan ini mencetuskan ‘iklim’ dan menyuntik
semangat dan keyakinan ‘pelabur’ terhadap sektor kewangan dan perbankan
negara?
MEGA BANKPenguasaan elit politik
yang bersekongkol dengan elit bisnes adalah satu sindrom dan amalan
yang sangat dibenci pelabur kerana acapkali meletakkan akhirnya mereka
tidak bersaing di atas ‘padang sama-rata’. Ini akan bakal meneruskan
kegiatan ’rent-seeking’, kronisme dan nepotisme dalam pelbagai kegiataan
tadbir-urus yang dilhat dan dipandu oleh kepentingan ‘parokial’ pihak
tertentu serta ‘greed’ atau tamak sekali gus merosakkan pasaran
kewangan.
Sememangya betul penggabungan ini akan menjadi entiti
ini keempat terbesar di segi 'aset' selepas DBS Group milik Singapura,
Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) dan United Overseas Bank.
Sememangnya
ia akan membenarkan entiti ‘Mega Bank’ ini melakukan ’leveraging'nya
pada skala yang lebih besar di rantau ini dan mengizinkan pinjaman
serantau atau ‘regional lending’ dan ‘pembiayaan perniagaan rentas
sempadan’ atau ‘cross-border trade financing’ dapat dijalankan.
Juga
kumpulan yang bergabung ini pastinya akan mempunyai yang terbesar dari
segi keuntungan (profit), pinjaman (loan) dan jumlah pendeposit. Mereka
juga akan dapat membuka lebih banyak lagi cawangan di Singapura apabila
mendapat status ‘Qualifying Full Bank' (QFB).
Maybank yang kini
memiliki 22 cawangan di Singapura sementara CIMB, selama kini gagal
mendapat status QFB dan hanya ada dua cawangan di Singapura, Pusat
Kewangan paling rancak di rantau ini. Sementara RHB punya tujuh
cawangan. Ini yang diidam-idamkan CIMB bukan sangat kerana TPPA dan
persaingan yang bakal dihadapi nanti.
BESAR BUKAN SEGALANYANamun
seperkara juga yang perlu diingatkan bahawa pengalaman krisis
'sub-prima' di Amerika Syarikat membuktikan bahawa ‘besar bukan
segala-galanya’. Pengalaman keruntuhan institusi kewangan membuktikan
dakwaan ini. Lehmann Brothers, Bear Stearns dan Merill Lynch, AIG,
Fannie Mae dan Freddie Mac adalah contoh-contohnya.
Kerajaan
Amerika terpaksa memperkenalkan konsep ‘Too Big To Fail’ bagi
menjustifikasikan ‘bantuan untuk menyelamatkan’ atau ‘bailout’ kerajaan
Amerika ke atas gergasi-gergasi besar ini yang ditanggapi sebagai
terlalu penting untuk negara, untuk mengelakkan mereka ini ‘gulung
tikar’ bahkan sebaliknya mesti dibantu dan diselamatkan.
Dengan
kata lain, sementara penggabungan membentuk bank mega itu ada
kemunasabahannya, namun tetap faktor tadbir-urus korporat institusi
kewangan atau perbankan dengan amalan terbaik atau ‘best practice’,
telus dan mengamalkan keamanahan serta kebertanggungjawapan itu adalah
jauh lebih penting dan penentu kritikal dalam meningkatkan prestasi dan
daya-saing sesebuah entiti bisnes.
Masa akan menentukan siapa pihak yang mengaut keuntungan lumayan daripada penggabungan ini.
- HARAKAHDAILY, 12/8/2014