Wednesday 6 August 2014

Paderi Godfrey Usahakan Ladang Organik Banteras Kemiskinan.

AKTIVITI pertanian di Benin bertujuan mengatasi masalah kemiskinan, alam sekitar dan kekurangan pekerjaan dalam kalangan belia yang sedang melanda Afrika. 

BERTOPI panama dan bertongkat, Paderi Godfrey Nzamujo menggentas laluan Songhai, sebuah ladang organik yang beliau mulakan hampir 30 tahun lalu dengan tujuan membanteras kemiskinan dan migrasi penduduk luar bandar di Afrika.

Ladang kecil yang mula diusahakan pada tahun 1985 atas tanah seluas sehektar di Porto Novo itu kini menjadi projek perintis di benua Afrika demi meningkatkan pengeluaran hasil tanaman. Terus berkembang, ladang berkeluasan 24 hektar dan terletak di ibu negara Benin itu kini mempunyai bilangan pekerja dan perantis yang besar.

Mereka tidak mengenal makna penat lelah, membanting tenaga dari terbit fajar sehingga senja untuk menanam buah-buahan, sayur-sayuran, padi dan menternak ayam serta itik.

"Tiada istilah pembaziran kerana setiap bahan yang terhasil digunakan sepenuhnya," kata Nzamujo yang memberitahu hasil buangan ayam juga diproses kepada sumber biogas yang menjadi sumber tenaga di dapur utama pusat tersebut.

Matlamat utama

Walaupun Benin merupakan sebuah negara yang kecil, Songhai mempunyai rancangan yang besar bagi benua Afrika. Beberapa buah negara seperti Liberia, Nigeria dan Sierra Leone mengadaptasi aktiviti pertanian di Songhai. Ia merancang untuk memperluaskan rangkaian di 13 negara di bahagian barat dan tengah Afrika.

Matlamat utama Nzamujo menerusi usaha tersebut ialah untuk membantu rakyat Afrika meningkatkan hasil tani melalui penggunaan teknik yang mudah dan tanpa penggunaan racun perosak atau baja kimia, pada masa yang sama mengurangkan kos produksi serta melindungi alam sekitar.

Paderi yang berasal dari Nigeria dan dibesarkan di California, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, berasa sedih menyaksikan kisah kebuluran di Afrika yang sering disiarkan di televisyen pada sekitar tahun 1980-an.

Imej itu menyebabkan beliau sanggup merantau ke Afrika dengan satu tujuan iaitu mempraktikkan ilmu yang dipelajari ketika menuntut di universiti. Mahir dalam bidang agronomi, ekonomi dan pengurusan teknologi, Nzamujo yakin dia mampu melawan kemiskinan dengan kaedahnya sendiri.
Selepas melawat beberapa buah negara di Afrika, pengembaraan beliau berakhir di Benin selepas kerajaan negara itu memberikannya sebidang lot tanah.

"Ia merupakan sebidang tanah terbiar dan tidak subur kerana diracuni bahan kimia disebabkan oleh kaedah pertanian konvensional," katanya kepada AFP.
SONGHAI lokasi aktiviti pertanian yang giat membangun menerima baik golongan perantis yang mahu aktif dalam industri agro itu. 

Tidak berputus asa, beliau dan enam individu lain mengusahakan tanah berkenaan.

"Kami menggali perigi dan menyiram tanah ini sendiri. Ketika musim kering, tanah berwarna kelabu ini berubah hijau kerana subur," ujarnya.

Rahsia Nzamujo dalam memastikan tanah tersebut subur ialah memahami konsep alam semula jadi dengan membiarkan bakteria baik hidup dalam tanah tanpa bergantung kepada penggunaan bahan kimia. Hasil tani di Songhai membuktikan usaha tersebut. Ladang itu menghasilkan tujuh tan beras bagi setiap hektar sebanyak tiga kali setahun berbanding satu tan sehektar sekali setahun pada peringkat awal projek tersebut.

"Songhai menangani tiga isu yang dihadapi Afrika pada masa ini iaitu masalah kemiskinan, alam sekitar dan peluang pekerjaan dalam kalangan belia," kata lelaki itu sambil tersenyum bangga.

Sistem yang dirangka paderi tersebut memberi tumpuan terhadap produksi dan pengedaran tempatan, menghasilkan aktiviti ekonomi untuk membanteras kemiskinan secara terus. Di Songhai, jem dibiarkan mereneh dalam periuk-periuk besar, sementara ayam dipanggang bersama minyak kacang soya. Selain itu, nasi dan jus buah-buahan dibungkus untuk dijual di kedai atau restoran di pusat tersebut.

Latihan

Mesin-mesin yang rosak diguna semula untuk menghasilkan mesin baharu dan air terpakai ditapis menggunakan keladi bunting. Pusat tersebut juga mempunyai kemudahan internet dan bank supaya penduduk tidak perlu bersusah untuk ke pusat bandar. Pengambilan pekerja belia amat digalakkan dengan hampir 400 perantis dipilih melalui satu pertandingan khas dan dilatih setiap tahun. Latihan yang mengambil masa 18 bulan itu diberikan secara percuma.

Paul Okou adalah di antara mereka yang terpilih. Lelaki berusia 25 tahun dari Parakou, utara Benin itu, mahu mengikut jejak ibu bapanya bertani tetapi berharap mampu menjana pendapatan yang lebih baik.

"Ibu bapa saya melakukan pertanian tradisional sementara Songhai mengajar kami kaedah moden. Kaedah dahulu yang memakan tempoh sehingga dua hari boleh dipendekkan kepada dua jam sahaja," katanya.

Perantis-perantis tersebut dihantar ke kawasan perkampungan untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Apabila sudah berjaya mengusahakan ladang mereka, individu terbabit akan menjalinkan kerjasama dan menjadi sebahagian daripada Songhai.

Songhai juga mengalu-alukan pelatih yang sanggup menanggung sendiri latihan mereka di pusat tersebut. Antaranya, Abua Eucharia Nchinor, 30-an, dari Nigeria dan Kemajou Nathanael, 39, dari Cameroon yang mahu membuka sebuah ladang organik di tanah air masing-masing. - AFP

1 comment: