Tuesday 26 January 2016

PAS mahu pengerusi Tabung Haji dipecat jika benar rizab negatif

PAS mendesak semua pihak terbabit tampil menjelaskan perkara berhubung keadaan sebenar yang membelenggu Lembaga Tabung Haji yang dikatakan  nilai rizabnya menjadi negatif. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Januari, 2016.
PAS mendesak semua pihak terbabit tampil menjelaskan perkara berhubung keadaan sebenar yang membelenggu Lembaga Tabung Haji yang dikatakan nilai rizabnya menjadi negatif.
PAS menggesa Putrajaya memecat Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sekiranya benar laporan mengatakan rizab lembaga itu negatif dan tidak mampu membayar dividen kepada 8.8 juta pendeposit.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengerusi baharu perlu dilantik bagi membantu menunaikan obligasi lembaga itu berdasarkan saranan Bank Negara.
Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail yang menguruskan pelaburan lembaga itu sementara Azeez hanya mempengerusikan lembaga pengarah. 
Dalam kenyataannya Tuan Ibrahim mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Azeez untuk tampil menjelaskan perkara ini.
Tuan Ibrahim mempersoalkan apakah benar Bank Negara mengutuskan satu surat kepada Jamil mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji, di mana nilai rizab menjadi negatif.
Beliau turut mempersoalkan apakah benar Bank Negara dalam surat itu di bawah peruntukan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1955, ia tidak boleh mengisytiharkan pengagihan dividen dan bonus kepada pendeposit sekiranya nilai aset kurang nilai kesemua obligasinya.
“Apakah betul Bank Negara dalam satu surat berlainan kepada pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Zeti menyarankan agar Lembaga Tabung Haji merumus satu dasar rizab yang komprehensif dengan kadar segera sebelum 31 Mac 2016?
“Sekiranya semua di atas benar – apakah ini menjadi punca kelewatan Tabung Haji mengisytiharkan dividen dan bonus?” soal Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengapa Tabung Haji masih melabur membeli tanah di Pusat Kewangan Tun Razak Exchange (TRX).
“Apakah ini keputusan perdana menteri atau pengerusi LTH?
“Apakah pelaburan tersebut menggawatkan lagi situasi kewangan di Tabung Haji? soalnya. – 26 Januari, 2016.

No comments:

Post a Comment