Thursday 7 January 2016

Rizab antarabangsa BNM sebanyak RM409.1 bilion pada akhir 2015


KUALA LUMPUR, Khamis – Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM409.1 bilion (bersamaan US$95.3 bilion) pada 31 Dis, 2015 berbanding RM405.4 bilion (bersamaan US$115.9 bilion) pada akhir 2014.
Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata paras rizab pada 2015 terus disokong oleh lebihan akaun semasa dan aliran masuk pelaburan langsung asing dalam persekitaran kebalikan aliran modal.
“Aliran keluar ini mencerminkan kebalikan pelaburan portfolio pelabur bukan pemastautin disebabkan oleh sentimen buruk berikutan momentum pertumbuhan yang menjadi sederhana di beberapa negara maju dan sedang pesat membangun, ketidakpastian terhadap harga komoditi serta kemungkinan keadaan pasaran yang tidak teratur yang berpunca daripada pelarasan dasar di negara-negara maju,” katanya.
Bank pusat berkata pelaburan langsung luar negeri yang berterusan oleh syarikat-syarikat Malaysia dan pemerolehan aset portfolio asing oleh pelabur-pelabur institusi pemastautin pada tahun itu turut menyumbang kepada aliran keluar.
BNM berkata paras rizab antarabangsa kekal lebih daripada mencukupi untuk memudahkan urus niaga antarabangsa.
Pada 31 Dis 2015, paras ini memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh, jauh lebih tinggi daripada paras had antarabangsa iaitu 3 bulan.
“Paras rizab ini juga mencukupi untuk memenuhi obligasi luaran dengan perlindungan rizab 1.1 kali,” katanya.
Ia berkata rizab antarabangsa Malaysia kekal boleh guna dan dijangka disokong oleh aliran masuk perdagangan dan pelaburan pada 2016. – Bernama

No comments:

Post a Comment