Monday, 17 October 2011

K'tan Pinda Anakmen Emas, Tak Gantung Pd Wang Kertas?

Datuk Husam perkenal Dinar Kelantan, di Urumqi, Xinjiang.

KOTA BHARU, 17 Okt: Kerajaan Negeri Kelantan akan meminda Enakmen Kewangan Kelantan 1995 bagi membolehkan negeri itu membeli, menyimpan serta melabur emas dan perak.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pindaan itu akan dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula minggu ini.

“Dengan adanya pindaan ini ia bertujuan mengizinkan Kerajaan Negeri membeli, menyimpan dan melabur logam-logam berharga seperti emas, perak dan lain-lain supaya mata wang ini diguna pakai di Kelantan dan tidak bergantung kepada mata wang kertas yang semakin lemah nilainya," lapor Sinar harian.

Beliau berkat demikian pada sidang media selepas Forum Rakyat di sini, kelmarin.

Beliau memberi contoh negeri Utah di Amerika Syarikat sudah membuat undang-undang seperti ini peringkat negeri itu yang membolehkan mata wang jenis ini diterima kembali.

"Begitu juga Singapura juga sudah melaksanakannya sejak tahun 1965 lagi,” tambahnya.

Menurutnya lagi, Kelantan mahu menjadi perintis memperkenalkan enakmen itu di Malaysia dan menegaskan ia bidang kuasa Kerajaan Negeri dan tidak perlu kelulusan Kerajaan Pusat.

Negara-negara lain juga mengambil pendekatan sama seperti China yang mengalihkan polisi mereka apabila menyedari US Dollar lemah lalu menetapkan 10 peratus simpanan antarabangsa mereka dalam bentuk jongkong emas.

Katanya, langkah itu turut diikuti India dan Korea Selatan tetapi apa yang menghairankan Malaysia masih lagi tidak melakukan sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu.

Husam berkata, lazimnya masyarakat Islam diminta membahagikan simpanan mereka mengikut portfolio yang merangkumi emas, perak, mata wang kertas dan sebagainya.

“Bagaimanapun dalam negara kita sekarang ringgit disimpan dalam mata wang kertas terutama sekali US Dollar dan juga Euro. Dalam sejarah mata wang Islam terdapat dinar, dirham dan fulus.

“Fulus boleh menjadi ringgit Malaysia. Setiap mata wang memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing tetapi apabila ada tiga kombinasi itu ia menjadi kuat,” katanya.

Menurutnya, sebagai komoditi harga emas akan naik dan turun, apabila harga emas turun, fulus boleh berperanan tetapi apabila harga emas naik, dinar pula sebagai ganti.

Dengan cara itu, katanya, kekayaan yang dimiliki dapat diselamatkan kerana kombinasi mata wang jenis itu diguna pakai. (IH)

Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-2: Wang Syariah: Tugas Kita Belum Selesai.

E-Buku IH-2: Wang Syariah: Tugas Kita Belum Selesai.

Friday, 14 October 2011

Industri francais boleh naik 30%


INDUSTRI francais negara dijangka berkembang antara 25 hingga 30 peratus setahun susulan pengumuman pelepasan cukai yuran francais yang akan bermula Januari tahun depan.

Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Abdul Malik Abdullah berkata, langkah perlepasan cukai itu memberi kelegaan kepada pengusaha francais baru serta francaisor bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Tempoh kritikal perniagaan francais adalah enam bulan pertama kerana ketiadaan modal pusingan. Setelah setahun, perniagaan akan berjalan lancar dan stabil dengan strategi perniagaan yang baik,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Abdul Malik berkata, melalui pelepasan cukai itu, pengusaha francais dapat membuat tabungan dan modal pusingan sebanyak 20 peratus hinga 25 peratus dalam tempoh enam bulan selain digunakan untuk tujuan pemasaran atau pengiklanan.

Ketika ini, yuran perniagaan francais dianggarkan antara RM50,000 hingga RM100,000 menjadi faktor kekangan dan membebankan bakal francaisi di negara ini. (myMetro)

Monday, 10 October 2011

Skandal Telekom India: Ananda Krishnan Terlibat?


NEW DELHI, 10 Okt — Pihak berkuasa India memfailkan kes terhadap tokoh perniagaan Malaysia T Ananda Krishnan dan ketua eksekutif kepercayaannya Ralph Marshall bersama seorang bekas menteri telekomunikasi negara itu dan adiknya berhubung tuduhan konspirasi jenayah membabitkan urusan telekomunikasi Maxis dan Aircel.

Agensi berita Press Trust of India berkata tiga tiga syarikat termasuk Maxis telah disenaraikan dalam kes itu.

Dua syarikat lain ialah Aspro dan Sun TV dari India.

Bekas menteri India itu ialah Dayanidhi Maran dan adiknya bernama Kalanidhi.

Press Trust of India berkata Biro Siasatan Pusat (CBI) mengadakan serbuan ke atas premis kedua-dua beradik di Delhi dan Chennai.

“CBI telah memfaikan kes ke atas adik-beradik Maran, Ralph Marshall dan T Ananda Krishnan dan tiga syarikat di bawah Seksyen 120b Kanun Keseksaan India yang dibaca bersama Seksyen 13(2) dan Seksyen 13 (1)(d) dan juga Seksyen 7 dan 12 Akta Pencegahan Rasuah.

“Kes ini didaftarkan pada 9 Oktober. Serbuan diadakan di New Delhi dan Chennai,” kata jurucakap CBI Dharini Mishra hari ini.

Bekas ketua Aircel C Sivasankaran mendakwa bahawa Dayanidhi Maran ketika menjadi menteri telah bertindak memihak kepada Kumpulan Maxis dalam pengambilalihan syarikat itu dan sebagai ganjaran pelaburan dibuat oleh syarikat itu menerusi rangkaian Astro di Sun TV dimiliki oleh keluarga Maran.

CBI berkata selepas Aircel dijual kepada Maxis pelaburan dibuat oleh firma Malaysia ke dalam bisnes keluarga Maran.

Dalam pada itu jurucakap Maxis ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata pihaknya sedar tentang perkembangan tersebut.

“Kami sedar mengenainya dan kami akan menghubungi anda kemudian,” kata pegawai komunikasi itu lagi.

Kumpulan Aircel merupakan rakan kongsi antara Maxis Communications Berhad dan Sindya Securities & Investments Private Limited dari India, yang mempunyai liputan perkhidmatan terbesar di negeri selatan Tamil Nadu. (The Malaysian Insider)

Friday, 7 October 2011

Perginya Genius Apple

 Jobs ikon teknologi era baru
Seorang wanita menunjukkan buah epal tertera nama pengasas bersama dan bekas CEO Apple Inc Steve Jobs, yang meninggal dunia kelmarin, pada majlis menghormati mendiang di San Francisco. — Foto Reuter
Seorang wanita menunjukkan buah epal tertera nama pengasas bersama dan bekas CEO Apple Inc Steve Jobs, yang meninggal dunia kelmarin, pada majlis menghormati mendiang di San Francisco. — Foto Reuter
PADA 5 Oktober menjadi tarikh kepada kelahiran sebuah lagi gajet terbaru kebanggaan Apple apabila telefon pintar iPhone 4S dilancarkan di ibu pejabat firma Apple, Amerika Syarikat (AS).

Namun, ironinya tarikh itu akan diingati bukan sahaja oleh warga Apple bahkan seantereo dunia, apabila ia adalah hari terakhir buat pengasas syarikat gergasi itu Steve Jobs. Lelaki berusia 56 tahun itu yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, menghembus nafas terakhir ekoran sakit kanser pankreas yang dihadapinya. Jobs yang menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga tercinta mengalami masalah kesihatan yang semakin merosot sejak bulan Februari tahun ini.

Dia bukan saja mengalami keguguran rambut yang melampau kesan daripada rawatan kemoterapi malah, berat badannya dikatakan merosot dari 79.37 kilogram (kg) kepada 59kg. Sebelum ini, Jobs juga pernah menjalani pembedahan hati pada dua tahun lalu selain membuang tumor pada tahun 2003.
“Dunia telah kehilangan insan yang sarat dengan visi dan kreativiti,” luah Presiden AS, Barack Obama dalam kenyataan penghormatan buat mendiang Jobs.


RANGKAIAN kedai Apple Inc. di seluruh dunia dipenuhi foto dan jambangan bunga daripada orang ramai sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Jobs.
Impian menjadi sami Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab Syria. Bagaimanapun dia tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya, sebaliknya dibesarkan oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di Silicon Valley, AS. Ia sebuah kawasan yang dikelilingi ladang aprikot.

Pencinta seluar jean jenama Levi’s itu pernah menuntut di Sekolah Menengah Cupertino di California, AS dan bersekolah di Sekolah Tinggi Homestead H.S di bandar yang sama. Kemudian, Jobs melanjutkan pengajian di Reed College, Portland, Oregon. Namun, tempoh pengajiannya di kolej seni liberal berkenaan bertahan selama satu semester sahaja kerana Jobs mengambil keputusan mengembara ke India bagi mendalami ilmu agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel Kottke.

Pada waktu itu, usia Jobs baru saja mencecah 19 tahun. Dalam memastikan proses kerohanian itu berjalan dengan sempurna, Jobs sanggup mengikuti amalan ritual keagamaan tersebut seperti mempraktikkan diet ketat dengan berpuasa dan menikmati makan buah saja.

“Secara tidak langsung, minat mendalam terhadap agama ini telah mendorong saya untuk menjadi sami di biara Jepun berbanding melibatkan diri dalam dunia komputer.

“Tetapi, guru saya, Kobun Chino telah menyedarkan saya bahawa anutan ini masih boleh diteruskan walaupun pada masa yang sama saya mengusahakan bisnes komputer,” jelas Jobs yang kembali ke Silicon Valley pada tahun 1974 dengan membawa agama Buddha.

Penglibatan dunia komputer


JOBS (kiri) dan Wozniak (kanan) sewaktu memperkenalkan salah satu produk ciptaan mereka pada tahun 1984.

Menyusuri penglibatan Jobs dalam dunia komputer dan gajet, segala-galanya berpunca selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik. Persahabatan yang terjalin itu telah membawa Jobs menyertai Kelab Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati industri komputer mempunyai potensi terbaik untuk jangka masa panjang.

Hasil perbincangan yang dilakukan maka mereka berdua sepakat melancarkan syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.

“Nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya pada memori memetik buah epal pada musim panas,” jelas Jobs yang memperoleh modal perniagaan sebanyak AS$1,300 (RM3,963) iaitu hasil daripada menjual microbus iaitu salah satu komponen komputer, manakala Woz menjual kalkulator.
Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer pertama Apple I yang bernilai AS$666 (RM2,026).

Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar Disember tahun 1980. Namun, jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan lama.


JOBS (kanan) bersama Stephen Wozniak membuka syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.
Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat sendiri, NeXT pada tahun 1986.

“Firma NeXT lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer. Kami turut memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan sejagat (WWW),” ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.

Sebahagian besar pakar IT dan penganalisis ekonomi di serata negara menyifatkan jenama Apple Inc., terus kukuh sehingga kini meskipun hampir bankrap pada tahun 1990, disebabkan kebijaksanaan dan etika kerja yang dipamerkan Jobs. Perkara itu diakui oleh pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., Azli Paat, yang menyatakan bapa kepada empat cahaya mata itu seorang yang berdisiplin, kreatif dan berwawasan tinggi. Jelas Azli, Jobs bijak mencipta telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad, yang ideal dengan perkembangan teknologi serta trend semasa.
Fenomena iPhone



JOBS merupakan tonggak utama kejayaan Apple Inc. dengan menghasilkan telefon pintar dan gajet berteknologi canggih. 


Buktinya, kemunculan telefon pintar iPhone pada empat tahun lalu telah mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, permintaan dan pembelian terhadap telefon itu amat menggalakkan sehingga mengatasi jualan produk telefon lain.

“Walaupun bukan mudah untuk mencipta telefon pintar ini tetapi, Apple sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Prinsip utama sebelum mencipta produk saya elak bertanyakan kehendak pengguna sebaliknya, lebih cenderung menghasilkan sesuatu bermanfaat untuk masa depan,” terang Jobs dalam satu temu bual.
Populariti penjualan iPhone dan iPad sekali gus menyenaraikan Apple Inc., sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi AS$300 bilion (RM912 bilion)
.
Malah, penganalisis Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu setiap tahun penjualan iPhone khususnya memperlihatkan peningkatan yang drastik.Biarpun telah meletakkan jawatan CEO Apple, pada bulan Ogos lalu tetapi, Jobs masih kekal sebagai pengerusi di syarikat berkenaan.

Ini disebabkan khidmat nasihat dan idea kreatif Jobs tetap diperlukan bagi memastikan keluaran produk terbaharu Apple, berkualiti dan terbaik. Namun, kelmarin bukan sahaja Apple malah, seluruh dunia merasai kehilangan seorang genius yang juga dianggap ikon teknologi era baru. (IH/Kosmo)

Thursday, 6 October 2011

iPhone 4S gagal pikat pengguna


Ketua eksekutif baru Apple Tim Cook pada majlis pelancaran iphone 4s

SAN FRANCISCO: Saham Apple merosot lebih empat peratus di Wall Street semalam, selepas syarikat itu mendedahkan versi terkini iPhone yang mengecewakan ramai pengguna.
Peralatan terbaru itu diumumkan Ketua Eksekutif Apple yang baru, Tim Cook.

Dikenali sebagai iPhone 4S, ia menyediakan pemproses lebih laju, “pembantu peribadi” dalaman yang bertindak balas terhadap arahan lisan dan kamera lebih bertenaga.

Bagaimanapun, penampilan itu mengecewakan kerana pengguna berharap Apple menghasilkan telefon pintar generasi baru iPhone 5.

iPhone 4S mula dipasarkan di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Perancis, Jerman, Jepen dan Britain pada 14 Oktober ini.

Di AS, iPhone 4S dijual pada harga minimum RM635 untuk model 16 gigabit atau RM1,273 utuk model 64 gigabit. iPhone model terdahulu kini boleh dibeli pada harga hanya kira-kira RM316. - AFP

Pemilik pub rasa teruja



PEMILIK pub The Red White & Blue, Karen Murphy bercakap kepada media di luar pubnya di Southsea, Portsmouth, selatan England semalam.


LONDON - Mahkamah Keadilan Eropah kelmarin membuat keputusan yang memihak kepada pemilik sebuah pub di Britain berhubung isu monopoli siaran bola sepak dalam kes yang dilihat berisiko menggugat keuntungan lumayan dunia penyiaran sukan.

Dalam keputusan yang dinanti-nantikan sejak sekian lama, mahkamah berkenaan memihak kepada pemilik pub tersebut yang sebelum ini didenda kerana menyiarkan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menggunakan pembekal perkhidmatan televisyen satelit asing.

Keputusan oleh mahkamah di Luxembourg itu dilihat bakal membuka perubahan besar dalam jualan oleh pemilik dan pemasaran oleh badan penyiaran program sukan.

EPL merupakan liga bola sepak terkaya di dunia dengan perjanjian penyiaran televisyen terakhir badan bola sepak berkenaan yang akan berakhir pada musim depan membawa pulangan £3.5 bilion (RM17.23 bilion) yang mana £1.4 bilion (RM6.89 bilion) dibayar oleh stesen penyiaran asing.

Mahkamah berkenaan menyatakan dalam penghakimannya bahawa undang-undang negara yang melarang import, jualan dan penggunaan kad dekoder asing adalah bercanggah dengan kebebasan untuk membekalkan perkhidmatan.

Ia juga tidak memiliki justifikasi untuk mencapai objektif bagi melindungi hak cipta harta intelek atau objektif menggalakkan orang ramai menonton bola sepak di stadium-stadium, tambahnya.

Keputusan mahkamah berkenaan melibatkan Karen Murphy yang menguruskan pub The Red White & Blue di bandar Portsmouth selatan England dan EPL berhubung monopoli perlawanan langsung bola sepak.
Apabila Murphy mengambil alih pengurusan pub itu pada 2004, dia membatalkan lesen untuk menyiarkan perlawanan EPL melalui stesen televisyen satelit Britain, BSkyB dan melanggan perkhidmatan televisyen Greece yang jauh lebih murah.

Wanita berkenaan berkata, yuran tahunan perkhidmatan Nova sebanyak £800 (RM3,939) setahun adalah jauh lebih murah berbanding caj bulanan £700 (RM3,447) yang dikenakan oleh Sky TV.
EPL yang menjual hak penyiaran perlawanan secara langsung kepada stesen televisyen BSkyB mengheret Murphy ke sebuah mahkamah di England.

Murphy diarah membayar denda dan kos hampir £8,000 (RM39,404) ekoran kesalahannya.
Namun, pada tahun ini, dia membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) yang mewakili 27 buah negara Eropah.

Menurut Murphy kelmarin, dia teruja dengan keputusan itu selepas mengharungi satu pergelutan undang-undang yang sukar.

"Orang-orang korporat ini berasakan mereka boleh mengeluarkan wang dalam pelbagai perkara dan menang," katanya.

"Perasaan saya lega, teruja. Ia seperti Karen menentang Goliath," katanya. - Agensi

Tuesday, 4 October 2011

MLM Tidak Patuh Syariat Islam.




KL: Sebahagian besar daripada kesemua 1,411 buah syarikat sistem pemasaran berbilang tingkat (MLM) yang berdaftar di negara ini tidak menepati syariat Islam. Kebanyakannya didapati melakukan pelbagai penyelewengan dan penipuan kepada ahli-ahlinya berdasarkan hasil penemuan Jawatankuasa Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Antara penyelewengan yang dikenal pasti ialah mengamalkan skim piramid, mengandungi unsur penindasan, manipulasi dan eksploitasi dalam pelan pemasaran. Selain itu, pelan pemberian insentif yang mengelirukan, mengandungi unsur-unsur paksaan, pembaziran, menjanjikan keuntungan tetap tanpa usaha, mengandungi unsur syubahah atau perkara yang tidak jelas dalam sistem yang diamalkan.

Seorang daripada ahli panel jawatankuasa tersebut yang juga merupakan Pensyarah Kuliyyah Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, kebanyakan daripada operasi syarikat MLM yang terdapat di negara ini berada dalam keadaan yang meragukan.

“Kita mendapati daripada banyak sudut seperti kontrak, pelan, pemberian bonus, komisen, cara pemasaran dan melanggar adab-adab serta etika perniagaan.

“Walaupun masalah ini tidak dilakukan oleh semua syarikat MLM tetapi syarikat terbabit seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan mereka melakukan perniagaan dengan beretika,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Justeru, katanya, pada Jun baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 telah bersetuju untuk memperakukan garis panduan baharu tersebut. (Kosmo)