KL: Sebahagian besar daripada kesemua 1,411 buah syarikat
sistem pemasaran berbilang tingkat (MLM) yang berdaftar di negara ini
tidak menepati syariat Islam. Kebanyakannya didapati melakukan pelbagai penyelewengan dan penipuan
kepada ahli-ahlinya berdasarkan hasil penemuan Jawatankuasa Garis
Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat di
bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Antara penyelewengan yang dikenal pasti ialah mengamalkan skim
piramid, mengandungi unsur penindasan, manipulasi dan eksploitasi dalam
pelan pemasaran. Selain itu, pelan pemberian insentif yang mengelirukan, mengandungi
unsur-unsur paksaan, pembaziran, menjanjikan keuntungan tetap tanpa
usaha, mengandungi unsur syubahah atau perkara yang tidak jelas dalam
sistem yang diamalkan.
Seorang daripada ahli panel jawatankuasa tersebut yang juga
merupakan Pensyarah Kuliyyah Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, kebanyakan daripada
operasi syarikat MLM yang terdapat di negara ini berada dalam keadaan
yang meragukan.
“Kita mendapati daripada banyak sudut seperti kontrak, pelan,
pemberian bonus, komisen, cara pemasaran dan melanggar adab-adab serta
etika perniagaan.
“Walaupun masalah ini tidak dilakukan oleh semua syarikat MLM tetapi
syarikat terbabit seharusnya bertanggungjawab untuk memastikan mereka
melakukan perniagaan dengan beretika,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
semalam.
Justeru, katanya, pada Jun baru-baru ini, Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95
telah bersetuju untuk memperakukan garis panduan baharu tersebut. (Kosmo)
No comments:
Post a Comment